Friday, September 19, 2008

RAMAINYA ORANG MISKIN DI NEGERI SELANGOR YANG MAJU

Seperti biasa bila tiba sahaja bulan Ramadhan, masyarakat Islam berlumba-lumba melakukan kebajikan. Selain dari mengunjungi masjid dan surau untuk solat sunat tarawikh, bulan ramadhan juga diambil kesempatan untuk melakukan amal kebajikan lain seperti menderma dan bersedekah. Maka kita akan lihat semua golongan termasuk artis-artis juga tidak ketinggalan dengan aktiviti-aktiviti kebajikan seperti meraikan anak yatim dan fakir miskin.

Bagi saya dan sahabat-sahabat kerja-kerja amal ini telah kami jalankan secara berterusan sebelum bulan Ramadhan lagi. Lebih-lebih lagi selepas kerajaan PR memerintah Negeri Selangor, kami mula membuka kaunter-kaunter maklumat rakyat untuk mengambil bancian dan maklumat terperinci penduduk supaya bantuan dari kerajaan negeri dapat disalurkan kepada mereka yang berlayakan.

Kami muslimat telah membuka kaunter maklumat rakyat bermula dari bulan Mei lagi. Ternyata tindakan kami ini mendapat sambutan dari penduduk setempat. Mereka seolah-olah terlalu mengharap sangat bantuan daripada kerajaan negeri yang baru. Berbagai luahan yang kami dengar dan ternyata sememangnya ramai rakyat yang miskin dan melarat.

Kesempatan bulan Ramadhan ini juga diambil oleh Ahli Majlis MBSA zon 23 Ustazah Mariam Abdul Rashid untuk menyampaikan bantuan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Penyampaian dilakukan melalui program yang berbeza, selain dari menghantar bantuan dari rumah ke rumah, sumbangan juga disampaikan melalui program-program yang dianjurkan di bawah anjuran Ahli Majlis Zon 23 MBSA ini. Bermula sumbangan disampaikan pada Program Forum Perdana Di Ambang Ramadhan pada 29 Ogos 2008, penyampaian dari rumah ke rumah, juga pada program berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan yang diadakan pada 17 Sep 2008. Apa yang saya ingin menarik perhatian di sini ialah, setiap sumbangan pada program-program yang berbeza dan adalah dari penerima yang berbeza, bukan penerima yang sama.

Apa yang yang saya ingin kongsikan melalui pengalaman saya di sini ialah semasa saya menyampaikan sumbangan tersebut, yang hadir menerima sumbangan sememangnya dari golongan yang benar-benar susah dan dhaif bilamana saya rasa agak tersentuh bila ada penerima sumbangan yang memakai baju koyak dan berpakaian dengan pakaian yang lusuh. Begitu juga menurut sahabat-sahabat yang pergi dari rumah ke rumah, ada di kalangan yang kami ziarah dalam keadaan terlantar dan apabila kami menyerahkan bantuan dan sedikit wang tunai, penerima tersebut mencium wang tersebut, seolah-olah tidak pernah memegang wang sebelum ini.

Pada 20 Ogos 2008 pula Dewan Muslimat Pas Kawasan Subang menganjurkan program tadarus perdana. Di samping program tersebut, penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan ibu tunggal turut diadakan. Sebelum program diadakan, kami terlebih dahulu mengambil maklumat penerima sumbangan daripada cawangan-cawangan dan kami akan pastikan penerima sumbangan mestilah mereka yang tidak menerima apa-apa bantuan dan sumbangan sebelum ini. Kami menerima jumlah penerima sumbangan yang begitu besar iaitu lebih seratus orang.

Persoalannya kenapa baru kini , setelah kerajaan PR memerintah, kita dapati di negeri Selangor ini ramai golongan yang susah dan miskin? Ternyata kerajaan UMNO BN di bawah teraju Khir Toyo gagal menangani masalah rakyat. Malah mereka tidak langsung mengambil berat masalah dan penderitaan rakyat. Mereka hanya pentingkan diri dan perut mereka sahaja. Biar rakyat menderita asalkan mereka mewah dan kaya.

Sebenarnya rakyat telah bergelut dengan masalah ini sejak UMNO BN memerintah Malaysia ini lagi. Alhamdulillah, kemenangan yang Allah pinjamkan kepada PR, memudahkan kita untuk mendekati rakyat yang sekian lama menderita dan tertindas ini. Program-program kebajikan dan kemasyarakatan perlulah diteruskan dan dipertingkatkan.

Bagi kerajaan Pakatan Rakyat, kita harus menerima amanah ini dengan mengembalikan hak rakyat yang sekian lama telah dinafikan oleh kerajaan UMNO BN supaya PR terus mendapat tempat di hati rakyat dan memberikan sokongan dan kepercayaan kepada PR untuk terus memerintah Selangor ini khususnya dan Malaysia amnya.

UMMU MUNZIR

mujahidah_61@yahoo.com

UMNO YANG SERBA TAK KENA

Sebut pasal ISA kita tidak hairan dan tidak pelik dengan kerjabuat kerajaan BN khususnya UMNO yangmana ianya sudah menjadi kebiasaan mereka.ISA Merupakan senjata terakhir UMNO bagi mengukuhkan kedudukan mereka dengan kata lain menyelamatkan kedudukan mereka untuk terus memerintah.

Agak terlewat saya respon kepada penangkapan YB Teresa Kok dan wartawan Akhbar Sin Chew Jit Poh. Bulan Ramadhan ni tak berkesempatan untuk menulis dan mengadap blog walaupun di dalam benak saya pasti saya akan luahkan atau melontarkan pandangan saya tentang isu penangkapan ISA baru-baru ini.

Secara peribadinya saya sangat-sangat benci dan menentang ISA yang zalim. Apatah lagi penangkapan baru-baru ini melibatkan wanita. Walaupun YB Teresa dan Wartawan Sin Chew telah dibebaskan, sebagai rakyat Malaysia kita mesti terus menerus menentang kezaliman undang-undang rimba ini sehingga ianya dihapuskan.

Bagi saya, tidaklah menghairankan sangat jika YB Teresa Kok membantah tulisan jawi di papan tanda jalan, sememangnya dia tidak faham tulisan tersebut. Lagipun logiknya saya lihat tulisan tersebut diletakkan di kawasan majoriti penduduk yang berbangsa cina yang memang tidak faham jawi. Jika YB Teresa memadamkan tulisan tersebut patutlah sebab dia berbangsa cina yang tidak faham jawi. Apa yang kita nak hairan orang Melayu pun ramai tak pandai jawi.

Kalau Teresa Kok hapuskan tulisan jawi hanya pada papan tanda sahaja tetapi kesilapan UMNO lebih berat dan besar bila menghapuskan terus pembelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah. Angkara siapa? Siapa lagi Menteri Pelajaran pada tahun 1973, Tan Sri Khir Johari. Sehingga menyebabkan ramai di kalangan orang Melayu yang buta jawi. Akhirnya akhbar Utusan Zaman dan Utusan Melayu Versi Jawi telah tidak diminati dan apa yang kita lihat kini semakin tenggelam dan pupus malah terkubur.

Dato' Seri Abd Hamid Albar telah mengeluarkan kenyataan penangkapan ini ada kaitan dengan isu perkauman dan tangkapan atas siasatan yang dibuat oleh pihak polis.
Ada juga yang menyatakan berkait dengan isu azan yang kununnya ada kaitan dengan penghinaan kepada agama Islam.

Sepatutnya Dato' Ahmad Ismail yang mesti ditangkap. Beliau yang memanaskan isu Melayu dan bangsa Cina. Begitu juga dengan isu azan, sepatutnya Khir Toyo lah yang patut ditangkap kerana membesar-besarkan perkara ini malah menimbulkan fitnah besar.

Kalau berkait dengan isu Islam, sepatutnya pemimpin UMNO yang patut ditangkap kerana mereka jelas menentang hudud dan hukum Islam. Pernah suatu ketika dulu Dr Mahathir menghina hukum Islam. Menghina hukum mencuri potong tangan, katanya, 'Nanti ramailah yang makan sup tangan di Kelantan'. Begitu juga dengan Dato Zaid Ibrahim sendiri suatu ketika dulu menentang dan menurut kenyataannya akan menghalang pelaksanaan hukum hudud habis-habisan.

Sebenarnya inilah sikap double standard UMNO. Pada hemat dan pandangan saya apa yang berlaku seperti kes Dato Ahmad Ismail dan Khir Toyo adalah tektik lama yang mereka gunakan untuk memanaskan isu perkauman supaya bangsa cina bangkit menentang. Seperti sejarah yang berlaku sebelum 13 Mei 1969 dan sebelum peristiwa Ops Lalang. Isu Ahmad Ismail adalah bagi membangkitkan semangat kemarahan bangsa asing khususnya kaum Cina kemudian pada hemat mereka bangsa cina akan keluar ke jalan-jalanraya dan bertindak agresif. Cubaan UMNO ternyata gagal lagi, rupanya rakyat sudah cerdik dan boleh menilai, tidak siapa pun yang bangkit dengan agresif kerana rakyat sudah tahu jika kita bertindak sedemikian, ianya akan menguntungkan UMNO.

Rupa-rupanya apa sahaja yang dibuat oleh UMNO serba tak mengena. Isu-isu perkauman ini juga sengaja dibesar-besarkan untuk menenggelamkan penyakit kemelut dan masalah dalaman yang dihadapi oleh UMNO. UMNO BN masih tak sedar diri lagi dengan menggunakan saluran media perdana khususnya tv3 dan rtm sebagai alat propaganda mereka. Akhirnya rakyat semakin meluat dan benci dengan tindakan UMNO BN ini dan media perdana yang tak sedar diri juga menjadi penyebab sumpahan dan kebencian rakyat kepada UMNO BN.

Selepas ini isu apa pula yang akan dibesar-besarkan oleh UMNO BN. Selagi mereka terus menerus memfitnah, selagi itu menambahkan kebencian rakyat kepada mereka. Cukuplah tu wahai pemimpin UMNO BN! Jangan cari talian hayat lagi, kelak kamu akan binasa. Cubalah fikirkan bagaimana nak bantu rakyat dan memajukan ekonomi negara. Selagi PR difitnah, selagi itu kedudukan UMNO BN akan merudum. Yang pastinya juga BN tidak mungkin akan dapat undi dari kaum cina dan india dan beransur-ansur orang Melayu juga sudah mula meluat dan mungkin, isu-isu yang dibawa oleh UMNO akan mengurangkan sokongan orang Melayu kepada mereka.

Mungkin 16 Sep yang disebutkan oleh DSAI bukanlah 2008, tapi 16 Sep selepas-selepas ini atau selepas PRU 13 di mana UMNO BN akan tumbangkan dan kerajaan PR akan menerajui negara insyaallah.

UMMU MUNZIR

mujahidah_61@yahoo.com

Wednesday, September 10, 2008

PERANAN WANITA DALAM DAKWAH


Hukum berdakwah wajib syarie dan ianya tidak gugur selagi tidak wujud kerajaan yang bertanggungjawab terhadap mempraktikkan dan mempertahankan Islam. Malah setelah penubuhan negara Islam pun masih wajib untuk mempertahankan kedaulatan Islam. Sebarang kecuaian untuk tidak melakukannya adalah dosa.

Dalam suasana masalah dan kemelut mayarakat hari ini maka hukum kewajipannya adalah Fardu `ain, bukan kifayah. Kalau kifayah pun ia masih wajib dilakukan kerana persoalan berkaitan pelaksanaan Islam dan penegakan negara Islam belum selesai. Apa pun hukum kewajipan berdakwah, mukmin mestilah melakukannya, kerana jika benar ia fardu `ain dan kita tidak melakukannya, kita akan berdosa. Jika kita melakukannya kita telah melangsaikan kewajipan di samping mendapat ganjaran. Kalau benar ia fardu kifayah dan kita melakukannya kita akan mendapat pahala.

Dalam semua keadaan melakukannya adalah laba. Dalam keadaan tertentu tidak melakukannya mungkin akan mendapat dosa. Timbul pula persoalan samaada ada perbezaan hukum di antara lelaki dan wanita dalam berdakwah. Apakah ianya hanya wajib kepada lelaki sahaja dan tidak perempuan?

Berdasarkan nas yang terdapat dalam Al-Quran surah at-Taubah ayat 71; Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Daripada ayat di atas dapat diambil pengajaran tentang tuntutan dan perintah dakwah itu perlunya ada kesepaduan dan kerjasama antara lelaki dan wanita dalam mengajak manusia kepada Islam serta pengukuhan hukum-hukumnya. Penjelasan di atas menunjukkan bahawa tidak syak lagi wanita Islam mempunyai peranan istimewa dan amat penting dalam melaksanakan amal dakwah bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan dalam sesetengah keadaan peranan wanita lebih penting, malah mengatasi peranan lelaki, terutama dalam bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Ini kerana kaum wanita mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Jelas bahawa kewajipan dakwah sama sahaja antara lelaki dan wanita. Semua hujah yang mewajibkan dakwah terpakai ke atas wanita dan semua hujah wajib amal jama`ie terpakai ke atas wanita. Kewajipan wala' `ammah dan khassah juga wajib ke atas wanita.

Hakikat masa kini menunjukkan bahawa penglibatan wanita dalam dakwah dan kerja-kerja
kemasyarakatan amat penting, kerana wanita adalah salah satu dari sumber kekuatan Islam. Jika kita tidak menggunakan kekuatan ini ianya akan menjadi satu pembaziran ke atas kekuatan yang ada. Ini kerana musuh-musuh Islam mengambil peluang dari suasana kini dengan menggunakan wanita dalam usaha menentang Islam, malah melihat wanita sebagai pintu masuk paling penting dalam usaha merosakkan Islam.

Oleh itu kaum wanita mesti disedarkan. Dalam hubungan ini wanitalah yang paling sesuai menyedarkan wanita. Lebih-lebih lagi pengundi yang berdaftar juga lebih 50% terdiri dari wanita.

Masyarakat Islam terawal memberikan contoh yang praktikal mengenai peranan wanita di dalam dakwah. Ummu 'Atiyyah al-Ansariyyah umpamanya menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki di dalam menimba ilmu.Beliau begitu terkenal kerana keaktifannya di dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam di kalangan pelbagai qabilah pada zaman Nabi s.a.w. Baliau pernah diseksa dan dipenjarakan. Namun semangatnya tidak patah.

Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjudul Ila Ibnati, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif di dalam dakwah. Ini disebabkan penjajah Barat mengeksploitasi wanita di dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan di dalam melariskan kemungkaran yang ditaja oleh musuh Islam melalui media massa, sama ada media cetak mahupun media elektronik. Menurut penelitian beliau, wanita adalah orang yang paling layak diketengahkan untuk menjalankan operasi dakwah di kalangan kaum sejenis mereka.Mereka lebih memahami tabiat, kedudukan dan permasalahan yang dihadapi kaum sejenis mereka. Dengan itu mereka lebih berupaya menembusi hati-hati madu' dengan pendekatan yang bersesuaian serta lebih serasi dengan fitrah mereka.

Dengan penegasan oleh nas syarak mengenai kewajipan dakwah yang tidak membatasi gender , pengamalan wanita di awal Islam, kenyataan dan amalan wanita Islam kini tiada lagi alasan bagi wanita untuk tidak terlibat dalam kerja-kerja dakwah.

Alasan untuk memfokuskan usaha mendidik anak di rumah tidak boleh lagi dijadikan hujah untuk tidak terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah. Amatlah malang jika ada wanita yang tidak bersedia terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah dengan berbagai hujah syar`ie sedangkan dalam masa yang sama kebanyakan dari mereka bekerja di luar rumah dengan menjawat jawatan-jawatan kerajaan.

Medan-medan Dakwah bukan terbatas pada menyampaikan ceramah di masjid-masjid, memberi tazkirah di dalam liqa' mingguan atau memberi syarahan di dalam suatu perhimpunan. Sebaliknya dakwah merangkumi usaha-usaha membentuk tingkah laku dan gaya hidup , memiliki akhlak mulia, tutur kata yang baik, kasih sayang yang mendalam, persaudaraan yang jujur, kegigihan dalam bekerja, sabar ketika bencana, teguh setia menanggung suka dan derita berkongsi dukacita dengan orang lain dan prihatin kepada masalah masyarakat. Jelas kepada kita, medan dakwah cukup luas dan pelbagai. Setiap orang boleh dan berhak malah wajib memainkan peranan dalam mana-mana medan dakwah. Seorang Dai'e bertanggungjawab menyesuaikan diri, kemampuan, kesesuaian masa, tempat, kebolehan serta kelebihan yang dimiliki untuk kerja-kerja dakwah.

Seseorang wanita tidak harus memenjarakan dirinya di dalam permasalahan keluarga dan rumah tangganya yang sempit, sehinggakan seolah-olah rumah itulah sahaja dunianya, suami dan anak-anaknya sahajalah segala-galanya dalam hidup ini. Akhirnya dia menjadi seorang muslimah yang tidak mempunyai wawasan, tidak mengendahkan masa depan
agama dan ummahnya. Lama kelamaan dia menjadi wanita biasa yang larut di dalam masyarakat, lupa pada tanggungjawab serta cita-cita untuk membangunkan rumah tangga dan masyarakat Muslim yang soleh dan musleh

Keseimbangan antara tanggungjawab dakwah dengan urusan rumah tangga amatlah dituntut. Sebagai daie'yah yang memiliki kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab dakwah, muslimah mukminah mestilah mengatur kehidupannya secara seimbang. Rumahtangga tidak harus diabaikan kerana dakwah. Begitu juga sebaliknya dakwah tidak harus dikorbankan kerana sibuk melayani suami serta kerenah anak-anak. Seorang muslimah mesti memahami keutamaan bagi setiap perkara, masa dan keadaan. Ketika anak-anak masih kecil, tumpuan mesti diberikan kepada mereka,didik mereka supaya menjadi pelapes yang bakal meneruskan risalah dan kerja-kerja perjuangan Islam. Namun pada masa yang sama muslimah tidak boleh meninggalkan medan dakwah sepenuhnya atas alasan mendidik anak. Tindakan ini akan membawa kerugian kepada seorang muslimah dari segi pendedahan, pengalaman dan pahala.

Dalam membuat pengimbangan antara kegiatan dakwah dan urusan rumah tangga, wanita mestilah benar-benar mengetahui tahap kemampuan maksimum yang boleh atau mampu diberikannya kepada kegiatan dakwah. Dia juga mesti benar-benar tahu tahap maksimum urusan rumahtangga yang boleh dikongsi dengan kegiatan dakwah. Dia mesti tahu batas yang kalau dilanggar, rumah tangganya akan mengalami kemudaratan. Dia juga mesti tahu tahap kegiatan dakwah yang kalau ditinggalkannya akan memudaratkan dakwah. Dalam menentukan kedua-dua tahap ini wanita mesti jujur terhadap dirinya, keluarganya dan dakwah yang dipikulnya. Pertimbangannya juga akan dipengaruhi bantuan dan kerjasama suami.

Seperti penjelasan di atas, kegiatan dakwah adalah kewajipan lelaki dan wanita. Pengurusan rumah tangga, termasuk mendidik anak-anak juga adalah tanggungjawab bersama lelaki dan wanita, cuma sifat semula jadi wanita membuatkannya lebih berkesan dalam mengurus rumah tangga, terutama mendidik anak-anak. Oleh itu menyerahkan 100% urusan rumah tangga dan mendidik anak-anak kepada isteri di samping memintanya memainkan peranan aktif dalam kegiatan dakwah di luar rumah adalah satu ketidakadilan kepada wanita. Berdasarkan hakikat ini maka:

1. Suami mestilah peka dan sedar tentang peranan dan hak isteri dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatan.
2. Suami mestilah membuang sikap dan pendirian bahawa oleh kerana peranan asasi dan terpenting wanita ialah membentuk generasi Muslim maka wanita mestilah berfungsi dan berperanan dalam rumah tangga sahaja.
3. Suami mestilah membenarkan isteri terlibat dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatan
4. Suami mestilah memberikan kerjasama yang secukupnya bagi menjamin isteri dapat memainkan peranan yang sempurna dalam urusan rumah tangga dan kegiatan dakwah.
5. Suami mestilah sedia berkorban dan bertolak ansur dalam hal-hal mengenai hak dan kewajipan dalam rumah tangga.
6. Isteri tidak mengambil kesempatan ke atas sikap kerjasama, tolak ansur dan kesediaan suami berkorban.

Sesungguhnya kita sangat berhajat kepada Muslimat daie'yah yang memahami betapa ummah amat memerlukan dakwahnya, sumbangan tenaga serta kepakaran yang ada padanya bagi membimbing wanita-wanita Islam dan mendidik mereka agar beriltizam dengan ajaran Islam. Kita sangat berhajat kepada muslimat yang prihatin terhadap hal ehwal masyarakat dan umat Islam yang memahami tugas yang diamanahkan kepadanya,
yang bercita-cita untuk mengangkat dirinya ke martabat du'at yang berjuang dan berjihad mendaulat serta mempertahankan deen yang agung ini.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan kepada kita suatu manhaj dan sumbernya yang terpelihara. Ia menjadi asas pembinaan tamadun Islam yang menjadi agama penutup kepada agama-agama langit terdahulu. Tamadun ini mengadaptasi tabiat manhaj rabbani tersebut. Iaitu suatu manhaj yang sifatnya sentiasa menyumbang dan memenuhi keperluan manusia sehingga hari kiamat. Menerusi hakikat inilah kaum wanita menjalankan aktivitinya dalam kehidupan masyarakat Islam. Ia bertindak sebagai satu komponen penting dalam sistem dan tamadun Islam. Kaum wanita turut menyertai anggota masyarakat lain dalam memperkayakan sudut-sudut amali bagi tamadun yang hebat ini.

Penyertaan kaum wanita berlaku dalam aspek-aspek berikut:

1. Melibatkan diri dalam sayap Jamaah Islam iaitu melalui Gerakan Muslimat.
2. Menubuhkan dan Mengaktifkan Institusi Khidmat Masyarakat yang melibatkan wanita.

Contoh yang terawal memulakan kerja-kerja ini ialah Asma' binti Yazid al-Ansariyyah. Beliau pernah menjadi wakil bagi kaum wanita juga dipanggi duta kaum wanita yang pergi menemui Rasulullah s.a.w. untuk menanyakan tentang kewajipan wanita dalam masyarakat dan peranan mereka dalam kerja-kerja kebajikan kemasyarakatan. Ini dapat difahami daripada kata-kata beliau: Aku adalah utusan kepada seluruh kumpulan kaum wanita yang berada di belakangku. Mereka semua sependapat denganku. Lalu Rasulullah s.a.w. memuji beliau kerana kepintaran dan keprihatinannya terhadap agama.

Semua ini menunjukkan kaum wanita dibenarkan berpersatuan sendiri dan mengeluarkan pendapat dalam permasalahan-permasalahan penting, terutama yang bersangkutan dengan
kaum wanita, kepentingan agama dan kepentingan dakwah.

Antara program yang boleh jalankan untuk meluaskan medan dakwah:
a. Menuntut ilmu - mengadakan program-program Ilmiah/terlibat dengan institusi pengajian tinggi
b. Mewujudkan Peluang Pekerjaan
c. Mengadakan Program sempena Perayaan, Sambutan dan Kesihatan wanita
d. Menghadiri perhimpunan-perhimpunan penting yang membincangkan soal wanita
e. Mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin dan anak yatim
f. Mengadakan program khusus untuk ibu-ibu tunggal/ibu-ibu bermasalah.
d. Mewujudkan tabung/dana operasi gerakan.

Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan, Allah s.w.t. menyifatkan harta sebagai paksi serta asas kehidupan masyarakat Islam. Malah Islam meletakkan antara matlamat syara' ialah memelihara harta. Islam juga memperundangkan hukum-hukum tertentu berkaitan dengan pemeliharaan harta seperti zakat,sedekah, wasiat, waqaf dan sebagainya. Peraturan ini tidak khusus kepada lelaki sahaja, malah turut melibatkan kaum wanita. Terlalu banyak contoh-contoh yang terkandung di dalam sirah mengenai keterlibatan wanita secara langsung di dalam memberi sumbangan material sama ada zakat, sedekah, hadiah pembebasan hamba dan lain-lain.

Dari apa yang dibentangkan di atas, jelas kepada kita bagaimana wanita berperanan memberikan saham kepada dakwah masyarakat menerusi institusi dan aktivitinya tanpa merosakkan nilai dan etika yang ditetapkan syarak. Ianya telah dikembangkan menerusi pelbagai usaha dalam ruang lingkup yang seimbang dan difahami dengan sebaiknya oleh
wanita Islam. Mereka memberikan komitmen sebagaimana komitmen mereka terhadap amal ibadat yang lain.

Kebanyakan wanita hari ini telah terikut-ikut dengan pemikiran dan perilaku yang diimport sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga akhirnya membawa kepada pelanggaran batas serta sempadan yang telah digariskan Allah dan Rasul.

Oleh itu, Islam memerlukan Kumpulan Muslimat/Badan atau Pusat Khidmat masyarakat yang menjaga dan mengambil berat kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan aspek-aspek kewanitaan. Melaluinya tenaga wanita dapat disalurkan dan digembeleng kepada masyarakat secara tersusun menurut konsep Islam.

Penutup

Jika program yang melibatkan wanita dalam dakwah dan kemasyarakatan dapat diperkasakan, maka kita akan lihat akan lahir generasi yang hebat yang akan memperjuangkan dan memartabatkan Islam. Bagi menjayakan misi ini, kerjasama dari semua pihak, ahli masyarakat, jamaah Islam dan juga para suami sangat-sangat diperlukan bagi memberi dorongan dan semangat kepada wanita untuk bersedia berkorban demi Deen dan wakafkan diri untuk dakwah demi untuk melihat kemenangan Islam.

Sesungguhnya telah terbukti bahawa wanita dianugerahkan oleh Allah swt dengan jiwa yang kuat. Sebab itu Allah swt meletakkan bahawa hanya wanita yang mampu mengandungkan dan melahirkan anak. Bukan mudah membawa kandungan ke sana ke mari kalau tidak dengan jiwa yang kuat. Telah terbukti bahawa insan yang mula-mula syahid mempertahankan Aqidah ialah wanita iaitu Sumayyah. Hajar yang ditiggalkan seorang diri dengan anak yang kecil di tempat yang tiada manusia hidup. Berkat kekuatan jiwanya Islam menempa kejayaan hingga hari ini kota Makkah menjadi kunjungan yang tak henti-henti. Ummahatul Mukminin Saidatina Khadijah, habis hartanya untuk Islam dan membantu perjuangan Nabi saw sehinggakan hampir wafat pun ingin menderma lagi dengan tulang belulang beliau untuk perjuangan Islam dan ramai lagi wanita-wanita hebat dalam sejarah kegemilangan Islam yang melahirkan mujahid-mujahid di jalan Allah.

Persoalannya, adakah kita boleh lahirkan wanita yang boleh menyumbang untuk kegemilangan dan kecemerlangan Islam masakini? InsyaAllah kita boleh lakukannya dengan syarat janganlah hidup kita hanya bermatlamatkan dan berkiblatkan dunia hinggakan aktiviti kehidupan hanya untuk mencari kemewahan, kekayaan dan keselesaan diri hinggakan alpa dengan masalah yang melanda umat.

Muslimat yang sedar tentang perkara ini mestilah kembali dan bangkit membela Islam dan wajib melibatkan diri dalam medan dakwah. Jangan hanya pentingkan diri dan keluarga sahaja kerana kita tidak akan dapat lahirkan generasi yang hebat untuk Islam secara maksima jika kita tidak bekerja mengubah suasana masyarakat kepada Islam. Sebab itu peranan wanita dalam dakwah sangat-sangat penting dan tidak boleh diremehkan kerana boleh jadi kerja kuat muslimat akan menjadi penentu kepada kemenangan Islam.

Takbir!!

UMMU MUAZ

mujahidah_61@yahoo.com

Thursday, September 4, 2008

SUKAN KEMERDEKAAN MENDAPAT SAMBUTAN DARI REMAJA DAN BELIA




Karnival sukan di Paya Jaras dapat sambutan hangat
Saidah Hairan
Tue | Sep 02, 08 | 12:14:13 pm MYT
PAYA JARAS, 2 Sept (Hrkh) - Pembentukan sahsiah dan pembinaan jati diri dapat diterapkan terhadap golongan belia dan remaja jika mereka digalakkan menyertai aktiviti sukan dan program luaran.


Perkara itu diperkatakan Ahli Majlis Perbandaraan Shah Alam (MBSA) Zon 23, Mariam Abdul Rashid dalam program karnival sukan sempena sambutan Kemerdekaan ke-51 di Dewan MBSA, Paya Jaras, Ahad, 31 Ogos lalu.

Beliau berkata, karnival sukan yang julung kali diadakan itu mendapat sokongan padu daripada penduduk setempat terutama golongan belia dan remaja.

"Mereka berharap karnival sukan seperti ini dapat dianjurkan lebih kerap supaya remaja dan belia di Paya Jaras terhindar daripada gejala sosial," katanya.

Beliau tidak menyangka karnival sukan tersebut mendapat sokongan padu daripada masyarakat setempat khususnya remaja dan belia Paya Jaras.

Lebih 500 orang menyertai pertandingan seperti futsal kategori kanak-kanak dan belia, sepak takraw serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Karnival sukan yang dirasmikan oleh Pegawai Khas ahli Parlimen Subang, Tengku Nazaruddin dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 23 MBSA dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Dun Paya Jaras.

Karnival sukan diserikan dengan perasmian tarian naga oleh Persatuan Hong Teck, gendang kebudayaan India iaitu Urmi dan kompang serta demonstrasi pencak silat kanak-kanak.

Posted by:

Ustazah Maryam Abdul Rashid
Mujahidah_61@yahoo.com