Tuesday, December 15, 2009

MAJLIS PECAH TANAH PUSAT TARBIAH ISLAM SUBANG(PUTIS) OLEH TUAN GURU PRESIDEN PAS




Pada 13 Dis 09, Pas Kawasan Subang telah melakarkan suatu sejarah Perjuangan Pas Kawasan Subang di mana Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah turun ke kawasan Subang untuk menyempurnakan Majlis Pecah Tanah, Pusat Tarbiyah Islam Subang (PUTIS)dan juga melancarkan Dana Bangunan PUTIS.

Kandungan ucapan Tuan Guru Presiden ialah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pas Kawasan Subang di atas jemputan kepada program yang mengandungi agenda penting dan bermakna iaitu agenda ke arah pelaksanaan amal kebajikan yang berpanjangan hingga manusia meninggal dunia. Tg Presiden membacakan hadis yang masyhur, apabila mati seorang anak adam maka terputuslah segala amal kecuali 3 perkara, sumbangan yang diberi kebaikan berpanjangan, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepada Allah kebaikan orang tuanya apabila ia meninggal dunia.

Apabila kita mendirikan markaz tarbiyah yangmana di dalamnya terkandung ketiga-tiga perkara yang jadi tonggak kepada kerja Islam yang menyeluruh. Menurut TG Presiden, pandangan teori lain selain Islam ,permulaan membangun negara dan bangsa ialah kemajuan ekonomi tetapi menurut Islam, permulaan kemajuan manusia ialah permulaan membangun manusia dengan membangun rohani, keimanan dan akhlak yang mulia dan ilmu yang memberi manfaat,di samping membangun tubuh badan yang sihat dan masyarakat yang baik.

Permulaan membangun manusia telah mulakan oleh Islam 1400 tahun lebih dulu yang berjaya menyelamatkan manusia, dari di belenggu kezaliman dua kuasa besar iaitu Parsi dan Rom. Kejayaan membangun manusia sehingga berjaya menjatuhkan kedua kuasa besar ini. Kejayaanini bukan sahaja pertolongan Allah, kekuatan tentera tetapi kejayaan dengan akhlak yang mulia dan memberi ilmu yang bermanfaat sehingga keseluruhan masyarakat sekeliling dan rakyat tidak menyokong pemerintahan tersebut sehingga menerima Islam dan membina generasi yang berakhlak mulia bagi meneruskan pemerintahan yang adil kepada semua.

Majlis hari ini bukan sahaja memecah tanah tetapi selepas itu memecah pemikiran manusia yang dibelenggu dengan fahaman karut yang tidak boleh menyelamatkan diri mereka sehingga dilanda dengan berbagai masalah yang dihadapi hari ini. Bukan sahaja di peringkat bawahan dengan masalah sosial dan jenayah yang meningkat, malah ianya juga melanda sehingga ke peringkat pemimpin negara yang melanda seluruh negara dengan masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sehingga ada bekas pemimpin negara menyatakan parti pemerintah telah busuk sampai ke usus.

Sebagai parti Islam yang mempunyai tanggungjawab yang besar untuk Islam, bukan sahaja bertanding dalam pilihanraya, tetapi mempunyai agenda besar untuk Islam iaitu bagi mengingatkan manusia tentang Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Islam bukan sahaja sekadar sembahyang puasa hingga haji tetapi Islam adalah ajaran menyeluruh merangkumi politik, ekonomi sosial sehingga memerintah negara.

Apabila Islam di hilangkan peranannya maka timbullah berbagai masalah yang melanda umat hari ini. Pas mempunyai kewajipan untuk mengembalikan manusia kepada Islam yang fikiran telah di jajah oleh penjajah khususnya tentang pemerintahan Islam. Dalam masa yang sama Pas memperkenalkan Islam dengan orang bukan Islam tanpa memaksa mereka menukar agama dengan memberikan peluang kepada Islam memerintah negara. Kenapa mereka boleh memberi ruang kepada komunis yang zalim untuk memimpin dan bersusah payah sehingga lari ke dalam hutan sehingga bering berlapar? Sudah tenttu mereka boleh menerima Islam. Hari ini orang bukan Islam sanggup bersama-sama dengan Islam dan Pas memberi ruang kepada mereka menubuhkan Kelab Penyokong Pas untuk mereka bersama-sama mendokong perjuangan Pas.

Maka pembinaan markaz Pas bukan sahaja untuk memberi ilmu dan membangun ahli Pas tetapi untuk membangun masyarakat dan memberi kebajikan menyeluruh kepada masyarakat.

Presiden mengucapkan syabas kepada Pas Subang dengan kejayaan permulaan memecah tanah dan pembinaan bangunan serta memberi ruang kepada kita untuk menyumbang kepada Islam.

Selepas majlis pecah tanah, Tuan Guru Presiden dan rombongan dibawa ke Dewan MBSA Kampung Melayu Subang untuk program hi tea dan YDP Subang, Tuan hj Mesni Dahlan telah menyampaikan cebderahati kepada TG Presiden dan Dato' Pesuruhjya Pas Selangor.

Moga dengan terbinanya PUTIS nanti perkembangan dan kemajuan Islam semakin mantap di Kawasan Subang ini seterusnya menyumbang kepada skonganrakyat kepada Islam.

Takbir!

PENTINGNYA TARBIYAH DI ERA KEMENANGAN




SALAM I LOVE YOU, GAME UKHUWAH DAN MALAM TAUTAN KASIH CUNGKIL BAKAT MUSLIMAT DI SAMPING BERHIBUR MENGIKUT SYARIAT.

KEMENANGAN ADALAH SUATU UJIAN DARIPADA ALLAH SWT KEPADA KITA UNTUK MELIHAT SEJAUH MANA KUASA YANG DIPINJAM OLEH ALLAH KEPADA KITA INI DAPAT KITA JADIKAN SEBAGAI SUATU JALAN DAN RUANG YANG MUDAH UNTUK KITA PERTAHANKAN ISLAM DAN BERPEGANG KEPADA PRINSIP ISLAM SETERUSNYA BERILTIZAM UNTUK MELAKSANAKANNYA.

DI SAMPING ITU, KEMENANGAN MESTILAH DIURUS DENGAN SEBAIKNYA DENGAN MENJADIKAN KEMENANGAN SEBAGAI PELUANG UNTUK KITA MEMPERKUKUHKAN PARTI KERANA APABILA MEMERINTAH, KITA MEMPUNYAI BANYAK SUMBER, SAMADA DARI SUDUT MENDAPAT SOKONGAN DENGAN RUANG DAKWAH YANG TERBUKA DAN MUDAH MALAH PELUANG DISUDUT MATERIAL UNTUK MEMPERKUKUHKAN DANA PARTI.

BIASANYA DENGAN KEMENANGAN DAN ADANYA KUASA, PEJUANG AKAN LEKA DAN HANYUT DENGAN RENTAK KEMENANGAN DAN BIASANYA RAMAI YANG GUGUR SETELAH MENANG, TIDAK KURANG JUGA RAMAI YANG TIDAK HIRAUKAN TUNTUTAN DAN ARAHAN JAMAAH.

SEBAB ITU,PENTINGNYA TARBIYAH DI ERA KEMENANGAN DAN ISTIQAMAH MELAKSANAKANNYA SECARA BERTERUSAN. SETELAH MEMRINTAH,PROGRAM TARBIYAH MESTILAH DILIPATGANDAKAN LAGI KERANA DI ERA KEMENANGAN FITNAH BEGITU SUBUR DAN BERLELUASA BERLAKU DI KALANGAN AHLI JAMAAH SENDIRI, TERUTAMA MEREKA YANG MEMPUNYAI JAWATAN DALAM KERAJAAN SANGAT TERDEDAH KEPADA FITNAH DAN TOHMAHAN. MEREKA AKAN SENTIASA DIPERHATIKAN, DAN DIINTAI CARA HIDUP MEREKA KALAU-KALAU ADA PERUBAHAN SETELAH ADA JAWATAN. KELEMAHAN DAN KESILAPAN MEREKA AKAN SENTIASA DICARI UNTUK DIFITNAH DAN DISEBARKAN WALAUPUN BERITA ITU BELUM TENTU SAHIH.

APA YANG MENYEDIHKAN, FENOMENA INI BERLAKU DI KALANGAN AHLI JAMAAH SENDIRI.MASA YANG ADA HABIS DIGUNAKAN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH DALAMAN DAN MENYELESAIKAN PERTELINGKAHAN SESAMA SENDIRI BERBANDING DENGAN MENYUSUN GERAKERJA DAN STATEGI MELAWAN MUSUH.

MEHNAH DAN CABARAN DI ERA KEMENANGAN BUKAN DATANG DARI MUSUH TETAPI DARI KALANGAN AHLI JAMAAH SENDIRI MALAHAN YANG LEBIH MALANG SAHABAT DAN TEMAN RAPAT PUN BOLEH MENJADI MUSUH DALAM SELIMUT.

KHILAF DAN PERSELISIHAN DI KALANGAN AHLI JAMAAH DI SEMUA PERINGKAT ,TERLALU MUDAH BERLAKU DAN BEGITU TERBUKA KEPADA UMUM, KERANA MASING-MASING INGIN MENUNJUKKAN KEHEBATAN MASING-MASING SUPAYA MENDAPAT PERHATIAN UMUM.

OLEH ITU SEMUA PERINGKAT PARTI MESTILAH MEMBERI PERHATIAN KEPADA PENTARBIYAHAN,SAMADA AHLI BAWAHAN HINGGALAH KE PERINGKAT PIMPINAN DAN YANG BERJAWATAN DALAM KERAJAAN JUGA TIDAK KETINGGALAN. SEMUA AHLI PARLIMEN, ADUN, AHLI MAJLIS, JKKK, NAZIR MASJID WAJIB MENGIKUTI PROGRAM TARBIYAH YANG DIANJURKAN.

AKHIR-AKHIR INI KITA SERING MENYEBUT TENTANG PEMERKASAAN PARTI. SEBENARNYA PARTI AKAN MANTAP DAN PERKASA SEKIRANYA TARBIYAH BERJALAN SECARA KONSISTEN DAN SEMUA PIHAK MEMBERI PERHATIAN DAN MENYIAPKAN DIRI UNTUK DITARBIYAH.

SESUNGGUHNYA, TARBIYAH ADALAH ASAS KEPADA GERAKAN ISLAM UMPAMA SEBUAH BANGUNAN YANG PERLU KEPADA ASAS YANG KUKUH. SEKIRANYA ASAS FOUNDATION BANGUNAN LONGGAR DAN LEMAH MAKA MUDAHLAH RUNTUHNYA SESEBUAH BANGUNAN. TARBIYAH JUGA ADALAH NADI KEPADA PERJUANGAN ISLAM DAN USRAH SEBAGAI PENYAMBUNG HAYAT KEPADA KEKUATAN DAN KEUTUHAN JAMAAH.

PAS BERTAHAN HINGGA 50 TAHUN LEBIH KERANA ADANYA TARBIYAH DAN AHLI YANG IKHLAS BEKERJA UNTUK JAMAAH.INILAH YANG MEMBEZAKAN PAS DENGAN PARTI LAIN. TARBIYAH PERLU DIPERKASAKAN DAN SEMESTINYA DIARUSPERDANAKAN, SUPAYA WALAU DALAM KEADAAN MACAMANA PUN, SAMADA MENANG ATAU KALAH, PAS TETAP UTUH, SEMAKIN TEGAP DAN MANTAP DARI SEHARI KE SEHARI HINGGA DITERIMA OLEH SEMUA GOLONGAN MASYARAKAT DAN SUDAH TENTU KEMENANGAN YANG BESAR AKAN MENANTI KITA.

Dalam suasana kemenangan di negeri Selangor, Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor tidak meminggirkan tarbiyah kerana tarbiyah adalah asas yang kukuh untuk menguatkan parti demi mempertahankan kemenangan.

Tamrin adalah salah satu juzuk daripada tarbiyah yangmana objektifnya adalah untuk menyelaras fikrah ahli yang telah mengikuti usrah di peringkat masing-masing. Alhamdulillah, tamrin yang berlangsung tiga hari dua malam mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan daripada muslimat kawasan berjumlah 130 orang.

Tamrin yang bertemakan Rapatkan Saf Pertahan Kemenangan dengan modul yang berkonsepkan memantapkan kepimpinan muslimat dan juga merapatkan ukhuwah kerana kejayaan jamaah adalah bermula dari kepimpinan yang baik dan juga gerakerja yang lancar yang dilaksanakan berasaskan ukhuwah yang erat dan mantap.

Pengisian pertama dimulakan dengan ceramah motivasi oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor YB Dato' Dr Hasan Ali yang sangat memberi penekanan kepada muslimat supaya bersungguh-sungguh berkerja demi mempertahankan kemenangan dan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Menurutnya dengan kuasa yang ada kita boleh kuasai masjid dan surau untuk melaksanakan program-program dakwah dan mengimarahkan majlis-majlis ilmu untuk menarik masyarakat kepada Islam. Menurut YB Dato Hasan lagi, yang membezakan Pas dengan parti lain terutama UMNO ialah dasar dan prinsip Islam yang konsisten diperjuangkan oleh Pas.

Dato PJ menyimpulkan ucapan beliau dengan memetik beberapa ucapan Dato Seri Tuan Guru Presiden, antaranya:

1. Pas mestilah tidak berdolak dalik dalam membawa Islam dan memimpin ummah, dalam masa yang sama meraikan penganut agama lain.
2. Pas mesti tegak atas kekuatan sendiri dan tidak boleh menumpang kekuatan orang lain dengan menghidupkan program tarbiyah sebagai asas kekuatan parti dengan menghidupkan usrah di semua peringkat, berusaha meramaikan ahli dan membanyakkan cawangan.
3. Sebagai sebahagian parti yang memerintah, Pas mesti menjaga 3 perkara:;
a. Keutuhan dalaman parti dengan menjaga prinsip wala' kepada kepimpinan
b. Jangan memusuhi pegawai-pegawai kerajaan.
c. Mesti menjaga hubungan dengan istana.
Dato Hasan mengakhiri ucapan dengan katanya, ahli Pas jangan leka dengan lagu kemenangan hingga tidak bekerja serta memberi pengiktirafan kepada muslimat dengan sumbangan besar kepada setiap pilihanraya, samada pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum dan beliau menyatakan bahawa beliau sentiasa menyokong usaha muslimat serta diakhiri dengan harapan beliau supaya muslimat mengenepikan perkara kecil dan remeh temeh hingga merencatkan perjalanan gerakerja dan mengutamakan matlamat yang besar iaitu untuk memartabatkan Islam di negeri Selangor.

Pembentang seterusnya ialah Al fadhil Ust Idris Ahmad dengan memulakan ucapan beliau dengan ungkapan 'Kemenangan adalah tarbiyah secara praktikal'. Setelah ada kuasa kita dapat melihat wajah sebenar manusia.
Tarbiyah sangat penting di era kemenangan kerana 1. peranan tarbiyah adalah untuk menutup apa-apa yang lompang pada parti 2. Untuk menjaga ahli supaya tidak lari dan leka setelah memerintah 3. Untuk menjamin dan memantapkan parti.
Di era kemenangan pemimpin mesti lebih banyak menjaga hubungan dengan Allah, banyak muhasabah diri dan menjadi qudwah hasanah kepada ahli dan rakyat.
Jika tarbiyah tidak berjalan dengan baik akan menimbul banyak masalah dalaman pada parti. Antara harapan Ust Idris supaya muslimat bukan sahaja menjalankan usrah di semua peringkat tetapi juga tidak meninggalkan usrah dan tarbiyah untuk anak-anak ahli dan golongan remaja.

Muslimat Selangor sangat bertuah kerana kesudian Naib Presidan 1 Pas untuk bersama dengan Muslimat Selangor dengan memberi taujihat yang sangat berkesan dan menyentuh hati para peserta dengan pengisian tajuk Pemimpin: Suatu Amanah dan Tanggungjawab.
Dato Tuan Ibrahim memulakan taujihat dengan menyatakan, ' Kita lebih bimbang allah uji kita dengan kemenangan kerana lebih ramai yang gugur setelah menang.'

Usrah sebagai nadi dan tamrin menyatupadukan ahli usrah. Menurut beliau lagi, kepimpinan adalah elemen penting sebagai amanah dan menekankan, untuk melantik kepimpinan, jangan beri kepada mereka yang tidak mampu. Beliau juga mengaitkan dengan kisah Abu Dzar yang meminta jawatan dari Rasulullah saw tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya kerana ada beberapa kelemahan pada Abu Dzar yang Rasulullah sudah maklum. Kata Rasulullah kepada Abu Dzar: ' SEsungguhnya kamu lemah sedang jawatan adalah suatu amanah daripada Allah swt, jangan sampai jawaatan menyebabkan kamu bersedih di akhirat nanti.'
Pemimpin mesti ada kemampuan untuk mengurus iaitu mengurus organisasi, mengurus keluarga, mengurus masa dan mengurus diri.
Kepimpinan yang baik ialah yang mampu menyediakan kepimpinan yang lebih baik daripadanya untuk mengambil alih tempatnya. Jangan jadi macam UMNO jika ada yang lebih baik dan berkemampuan dan berpontensi akan segera dicantas. Ini akan menyebabkan organisasi menjadi lemah dan bermasalah.
Antara ucapan beliau, pemimpin mesti ada ciri-ciri berikut untuk menghadapi mehnah dan ujian besar: 1. menjaga hubungan dengan Allah dengan Solat tahajud, Amalan tertentu yang tetap seperti zikir ma'thurat dan diamalkan dengan istiqamah dan hadir majlis ilmu.
2. Kekuatan hubungan dengan ahli..dengan menjadi ikon yang mampu diterima oleh ahli, mesti ada sifat tawadhu walaupun sudah ada kedudukan dan jawatan dan juga menjaga kebajikan serta mengiktiraf dan meraikan usha ahli bawahan.
3. Kepimpinan mesti menjaga agenda perancangan kerja yang disusun kerana kita hanyalah matarantai perjuangan supaya segala yang telah disusun dapat dilaksanakan ke arah penerusan dan kesinambungan perjuangan.
Beliau mengingatkan peserta bahawa kepimpinan adalah suatu amanah jamaah, jadi jangan melakukan suatu perkara yang merugikan jamaah dengan mematuhi fakktor berikut:
- mesti mematuhi keputusan
- jaga amanah mesyuarat
- jangan paksa mesyuarat terima keputusan kita sebaliknya memaksa diri utnuk menerima keputusan mesyuarat/jamaah.
4. Pemimpin mesti memahami bahawa jawatan adalah suatu amanah yang akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti. Mestilah tunaikan amanah sebaik-baiknya.

Ust tuan Ibrahim menyimpulkan ucapan dengan memberikan harapan dan saranan kepada muslimat supaya bersungguh-sungguh memperkukuhkan parti untuk mendapat kemenangan yang lebih besar. Beliau juga mengingatkan, di waktu kita menjaga sokongan bukan Melayu, jangan tinggal untuk mendapat sokongan orang Melayu kerana sokongan orang Melayu sangat penting kepada Pas. Akhirnya, beliau mengingatkan, muslimat jangat menhabiskan masa kepada perkara remeh dan perkara furu' sebaliknya mengutamakan prinsip dan dasar serta tidak melupakan program yang mengeratkan ukhuwah.

Tamrin muslimat Selangor diselitkan dengan slot membina ukhuwah serta mencungkil bakat muslimat dengan slot Malam seribu satu malam. Program yang berbentuk hiburan dan menggabungkan tenaga Nisa/muslimat muda dan muslimat veteran di mana ada yang berdikir barat, ada yang bersajak, bernasyid, boria, lakunan dan berpantun. Program yang sangat-sangat menghiburkan muslimat yang begitu terasa mengikat ukhuwah. Tidak ketinggalan juga game lasak dan berbentuk ukhuwah juga.

Tamrin ditutup dengan salam jamaie, masing-masing berpelukan dan menitiskan airmata juga di selang selikan dengan lagu Doa Rabitah sebagai lagu tema tamrin. Pastinya tamrin ini sangat-sangat meninggalkan kesan di hati peserta dan kenangan indah. Muslimat Selangor kembali ke kawasan masing-masing dengan suatu semangat untuk pertahankan kemenangan di Selangor dan untuk mendapat kemenangan yang lebih besar pada Pas.

Takbir!

Monday, November 16, 2009

Perkembangan Islam Lebih Baik Di Zaman Pakatan Rakyat – Khusrin
Posted on Monday, November 16 @ 02:56:21 PST by CyberSniper


oleh: Alternatif News Network

Shah Alam, 15 Nov – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haji Mohammed Khusrin Bin Haji Munawi bersyukur melihat perkembangan Islam yang positif di negeri Selangor di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat berbanding dengan zaman pemerintahan UMNO yang lalu.



“Alhamdulillah, sejak kerajaan baru memerintah Negeri Selangor, kita dapat lihat banyak program yang dapat dibuat seperti forum perdana diperingkat negeri, daerah dan mukim. Dan kita lihat dari segi pengimarahan masjid bertambah baik berbanding dengan pemerintahan dulu” kata beliau sewaktu ditemui di Masjid Negeri Shah Alam semalam selepas Forum Perdana Ehwal Islam yang menampilkan Dato’ Dr Hasan Ali sebagai moderator, Dato’ Dr. Haron Din dan Dato’ Ismail Kamus sebagai ahli panel.


Menegenai tuduhan ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungip bahawa mungkin ada tangan-tangan ghaib dibelakang JAIS ketika berlaku insiden penangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri kerana tiada tauliah, Khusrin menafikannya. Beliau mendakwa tidak pernah menerima arahan daripada sesiapa untuk membuat tangkapan berkenaan.

“JAIS telah mengikuti aktiviti yang dibuat oleh Dr. Asri sejak tahun 2006 lagi. Dan kita telah memberi ruang yang cukup kepada beliau termasuk memberi peringatan. Dan apa yang kita buat adalah berdasarkan undang-undang”, tegas beliau. – ANN

Friday, October 30, 2009

KONSISTEN TARBIYAH SYARAT MENANG

Apabila Pas kalah teruk dalam PRU 11 tahun 2004 dan menang di Kelantan seperti telur di hujung tanduk dengan majoriti 2 kerusi, juga jatuhnya Kerajaan Pas Terengganu, di tambah lagi rakan kerjasama politik DAP selepas itu keluar dari BA dan ditambah lagi kekalahan Pas pada pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir hingga majoriti Kerajaan Pas Kelantan dengan satu kerusi sahaja. Namun dengan kesungguhan kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz, alhamdulillah kerajaan Pas Kelantan dapat bertahan.

Ketika itu, walaupun Pas kalah teruk dan rakan DAP keluar dari BA, semua peringkat dalam Pas tetap tenang dan berlapang dada menerima keputusan pilihanraya dengan penuh kesedaran serta menerima kekalahan dengan jiwa yang menginsafi segala kelemahan dan kekurangan diri untuk dimuhasabah.

Maka, ungkapan-ungkapan yang terkeluar ketika itu terutama dari pimpinan teratas ialah Pas sudah mula meninggalkan tarbiah, tarbiah di seluruh peringkat terlalu lemah bingga melahirkan ahli yang tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memenangkan jamaah.

Sudah tentu selain dari itu kita semua maklum dengan penipuan UMNO BN yang menggunakan SPR juga membawa masuk pengundi hantu dan juga menggunakan seluruh jentera kerajaan bagi mencapai hasrat jahat mereka untuk terus menzalimi rakyat dengan terus memrintah negara ini.

Ada juga sinis-sinis ungkapan-ungkapan yang manyatakan kenyataan-kenyataan pimpinan Pas terutama Tuan Guru Presiden yang menyebabkan kekalahan. Tapi semua itu tidaklah menjadi bualan yang meluas atau perbincangan umum khususnya di kalangan ahli sendiri. Perkara tersebut tenggelam dan lenyap begitu sahaja.

Yang pasti dan jelasnya rata-rata menyatakan kekalahan teruk pas adalah kerana Pas sudah cenderung kepada politik berbanding memberi penumpuan kepada aspek tarbiah.

Menyedari hakikat ini, di peringkat Pas Pusat yangmana ketika itu Lajnah Tarbiah dipimpin oleh Tuan Guru Presiden sendiri bersama kesungguhan Ust Idris Ahmad, berusaha menganjurkan program tarbiah di peringkat pusat iaitu Konvensyen Tarbiah dengan pembentangan kertas kerja tarbiah, seperti menyegarkan semula (refresh) manhaj tarbiah dan juzuk tarbiah yang lain kemudian mengarahkan negeri-negeri mengadakan di peringkat negeri pula dan diperturunkan di peringkat kawasan dan cawangan.

Ketika itu perjalanan tarbiah sangat lancar dan berkesan. Di peringkat Pas Selangor pula telah melancarkan Tahun Tarbiah pada tahun 2005, dimana pelaksanaannya di peringkat kawasan dan cawangan. Kuliah-kuliah haraki begitu hidup di Markaz-markaz. Begitu juga dengan usrah gabungan dan Liqa ul Fikri serta Tamrin semua peringkat.

Sehinggakan ada ungkapan salah seorang pimpinan yang satu ketika dulu sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Perkaderan Dewan Pemuda Pas Pusat yangmana sekarang sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat juga murabbi saya, adinda saya, Ustaz Nasrudin Tantawi menyatakan dengan ungkapan 'KITA MESTILAH MENGARUSPERDANAKAN TARBIAH'. Saya rasa Ustaz Nasrudin masih konsisten dengan tindakan dan ungkapannya jika kita baca penulisan beliau dalam blog beliau jelas masih konsisten dengan aspek tarbiah.

Rasanya ketika itu, tidak tersebut atau terlintas kerjasama dengan DAP, kecuali menjalinkan hubungan baik dengan rakan Parti Keadilan serta menambah mantap lagi kkerjasama setelah DSAI dibebaskan dari penjara.

Seluruh peringkat Pas sehingga jentera pilihanraya seperti biasa, bila setahun sebelum PRU akan lebih agresif dengan gerakerja pilihanraya, ceramah-ceramah penerangan begitu giat diadakan di samping tidak ketinggalan dengan program tarbiah dan munajat dengan menghidupkan markaz-maarkaz.

Tidak terfikir dan terlintas pun tentang kemenangan ketika itu. Begitulah gigih dan ikhlasnya ahli Pas, bekerja tanpa ada kepentingan. Siapa sahaja yang jadi calon pilihanraya, mereka akan bekerja bertungkus lumus walaupun parti lain yang bertanding selain Pas, mereka tetap ikhlas dengan matlamat untuk menangkan calon dan asalkan UMNO BN dapat dijatuhkan.

Mac 2008, mencatat peristiwa bersejarah kepada negara dan sejarah hitam kepada UMNO BN, dimana BN terlepas lima negeri ke tangan pembangkang. Maka ketiga-tiga parti sepakat menubuhkan kerajaan campuran demi satu matlamat mengambil kuasa pemerintahan BN.

Bagi saya sebagai seorang aktivis dan ahli biasa Pas, kemenangan ini memang tidak diduga. Tidak terlintas dibenak saya pembangkang dapat memrintah negeri Selangor khususnya. Merasakan kemenangan dalam keadaan kita masih agak belum bersedia untuk mengurus kemenangan tersebut.

Segala yang mustahil boleh berlaku sekiranya di sana adanya satu kuasa yang semua makhluk tidak boleh campurtangan iaitu kuasa Allah swt. Kemenangan ini adalah anugerah Allah swt kerana kesucian hati pejuang yang bekerja dengan ikhlas di samping menyedari dan menginsafi segala kelemahan diri dengan iltizam untuk memperbaiki serta kembali kepada Rabb pemilik kita dengan kembali kepada asas, prinsip dan asas jamaah ialah menganggap bahawa tarbiah sangat-sangat penting dan tonggak kekuatan jamaah juga untuk memenuhi syarat mendapat rahmat dan kemenangan dari Allah swt.

Inilah asasnya, inilah sebenarnya formula kemenangan yang Allah pinjamkan sedikit pada kita pada PRU 12 lalu. Siapakah yang lebih berkuasa membuka dan melembutkan hati-hati pengundi untuk menyokong dan memangkah parti kita (Pas)? Jawapannya Allah swt lah yang membuka hati semua pengundi, semua bangsa samada Melayu, Cina atau India mengundi kita. Benar ada sedikit usaha kita dengan penubuhan Kelab Penyokong Pas..tapi kenapa dengan ahli Kelab Penyokong Pas yang begitu ramai sekarang, kita kalah pula di Bagan Pinang? Persoalannya sama-sama kita jawab sendiri.

Sebenarnya Allah swt berhak memelihara Hizbullah, kumpulannya..kitalah Pas. Kekalahan di Bagan Pinang satu peringatan dari Allah kepada kita pejuang Pas supaya tidak leka dan lalai dengan kemenangan. Supaya tidak merasa bangga dengan banyak kalinya menang sebaliknya perlu kita semua ingat, kemenangan semua itu adalah anugerah Allah swt kepada kita. Kekalahan di Bagan Pinang sebagai suatu didikan dari Allah supaya kita semua kembali kepada asas dan prinsip perjuangan kita sebagai gerakan Islam iaitu mengutamakan/'meng arusperdana kan tarbiah dalam semua aspek gerakan kita.

Janganlah kekalahan di satu DUN N31 Bagan Pinang menyebabkan kita bertelagah, saling tuding menuding antara sesama kita ahli jamaah, menimbulkan khilaf dan konflik yang meluas yang kemungkinan melemahkan seluruh organisasi. Ianya memungkinkan juga membuka ruang yang luas kepada musuh untuk memutar belit kenyataan-kenyataan sebahagian dari pimpinan untuk memberikan gambaran buruk parti kita kepada rakyat seluruhnya dengan ertikata lain konflik terbuka ini seolah-olah memberi peluru kepada musuh untuk menembak kita.

Akhirnya..marilah kita semua kembali meletakkan diri kita sebagai ahli jamaah gerakan Islam seperti selepas kekalahan PRU 11 2004, dengan menginsafi segala kekurangan dan kelemahan kita semua, menghentikan tuding-menuding antara ahli jamaah sebaliknya kembali kepada konsep ukhuwah fillah. Janganlah meletakkan kepentingan diri, jawatan, kedudukan di atas, melainkan meletakkan kepentingan jamaah lebih utama dari segala-galanya. Utamakan pengukuhan jamaah kita, kerjasama erat di kalangan sesama ahli jamaah dahulu bukan lebih pentingkan kerjasama dengan orang luar dari kita. Kembali kepada pemerkasaan tarbiah di semua peringkat. Usrah, tamrin, liqa ul fikri dan lain-lain juzuk tarbiah wajib diadakan di seluruh peringkat.

Sebagai mukmin, pastinya kita menerima kekalahan dengan takdir, qada dan qadar Allah setelah kita berusaha bersungguh-sungguh.Janganlah jangkauan politk yang berlebihan menyebabkan kita lupa pada asas pegangan aqidah kita. Sekiranya kita menerima kekalahan di Bagan Pinang dengan penuh muhasabah serta memperbaiki segala kelemahan, insyaallah Allah swt akan kurniakan kepada kita (Pas) kemenangan yang lebih besar lagi pada PRU 13 nanti. Tapi sebaliknya sekiranya kita tidak berkesudahan dengan kemelut masalah dalaman dan tidak mahu mengaku kelemahan diri, tidak mustahil Allah swt akan menarik balik kemenangan yang ada pada kita.

Apa yang pasti, kemenangan adalah hak mutlak Allah swt..Dia berhak mengurniakannya pada kita sekiranya kita penuhi syarat-syarat sebagai 'Hizbullah'. Ingatlah hati-hati manusia adalah di dalam penguasaan Allah swt. Kalau Allah mahu Allah boleh balikkan semua hati pengundi untuk menyokong Islam. Yakinlah bahawa pertolongan Allah dan kemenangan sangat dekat..

Allahu Akbar!

mujahidah61

Monday, October 12, 2009

PRK BAGAN PINANG: MEDAN UNTUK MUHASABAH KEPADA PAS


Setiap kali berlaku Pilihanraya kecil di mana-mana kawasan, UMNO/BN sememangnya tidak ada isu hendak diketengahkan kepada rakyat. Selain dari menaburkan janji pembangunan dan keselesaan ekonomi kepada rakyat, UMNO/BN akan memburuk-burukkan pemimpin pakatan rakyat dan strategi UMNO/BN yang sudah menjadi budaya dan sebati dengan cara mereka ialah dengan merasuah pengundi dengan menaburkan wang. Berbagai-bagai kaedah dan strategi dilakukan oleh mereka, termasuk melakukan penipuan dengan membawa masuk pengundi hantu.

Inilah yang ketara berlaku di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, walaupun perkara ini dilakukan di PRK lain, tetapi di Bagan Pinang mereka melakukan aksi terdesak dan lebih ganas lagi. Sebagai jentera pilihanraya saya lebih awal lagi berada di Bagan Pinang.Sebelum penamaan calon lagi.Apa yang kita dapati bahawa diperingkat awal malah hingga hari-hari terakhir kempen, pengundi memang menyatakan sokongan kepada PR/PAS. Adalah mustahil dan pelik jika dikatakan jentera PR tidak 'touch' pengundi. Boleh dikatakan setiap hari dan tidak putus-putus petugas muslimat mengadakan ziarah dari rumah ke rumah. Selain dari berkempen, muslimat membawa bantuan barangan makanan. Rasanya selepas ini boleh di katakan 6 bulan pengundi-pengundi khususnya di kawasan estet tidak perlu memberi barangan makanan yang terlalu mewah yang telah disumbang oleh jentera PR/Pas.

UMNO/BN sudah terdesak dan tidak ada jalan lain melainkan dengan menggunakan budaya ugutan, mengupah samseng dan juga merasuah pengundi dengan memberi wang tunai di saat-saat akhir hari pengundian terutama kepada pengundi kawasan estet yang sudah tentu terpengaruh juga dengan hasutan BN kerana keadaan kehidupan mereka yang dalam keadaan susah dan sangat-sangat terhimpit dengan masalah kewangan. Saya pasti, mereka faham dengan penerangan jentera Pas, bukan mereka tidak tahu Tan Sri Isa Samad adalah perasuah, tapi mereka terpaksa mengundi BN kerana faktor ugutan dan tawaran wang tunai BN yang mengelabui mereka. Bermakna kemenangan BN di Bagan Pinang bukanlah kerana kekuatan BN yang semulajadi tetapi dengan berbagai taktik negatif dan kotor termasuk menakut-nakutkan pengundi dengan provokasi-provokasi samseng yang membuat kekecohan dan pergaduhan di beberapa tempat.

Selain daripada itu, sudah tentu faktor pengundi pos di kalangan anggota tentera yang menjadi penentu dan membantu kemenangan BN. Pembuangan undi secara terbuka yang dilaksanakan oleh SPR kepada pengundi tentera di Bagan Pinang adalah sebenarnya sebagai suatu lakonan semata-mata seolah-olah mereka telus. Siapa tahu di sebalik itu apa yang berlaku, sebagaimana yang kita selalu dengar pengakuan dari beberapa orang bekas-bekas tentera yang menyokong Pas, mengatakan bahawa ada pihak lain yang memangkahkan untuk mereka.

Tidak cukup dengan menggunakan SPR, BN menggunakan jentera kerajaan yang lain seperti sebahagian anggota polis di kalangan SB yang menjadi mata dan telinga kepada BN yang menyusup masuk ke pusat operasi jentera PAS, dan sudah tentu menyalurkan maklumat strategi kepada BN. Buktinya sudah ada semasa di PRK Permatang Pasir, seorang anggota SB dengan aksi yang mencurigakan, telah menyusup masuk untuk mendengar taklimat yang diadakan kepada jentera Pas, yang akhirnya disedari oleh salah seorang petugas Pas kerana beliau turun dari kereta polis, lalu petugas-petugas Pas telah memberi amaran dan menghalau beliau keluar dari pusat operasi tersebut.

Sebenarnya kemenangan BN di Bagan Pinang bukanlah kerana BN kuat, tetapi kerana budaya ugutan, samseng, provokasi, taburan wang, menggunakan jentera kerajaan sebagai jentera mereka dan media perdana sebagai alat mereka menyalurkan propaganda yang berkempen untuk mereka. Apa yang kita lihat di Bagan Pinang, jentera mereka di kalangan wanita UMNO, puteri UMNO dan juga jentera dari komponen BN yang lain. Mereka tidaklah begitu ramai dan tidak begitu kelihatan turun berjumpa dengan pengundi. Berbanding dengan jentera dan petugas dari PR yang begitu ramai yang datang dari seluruh pelusuk tanahair untuk membantu kempen PRK Bagan Pinang ini.
Jika diukur dengan jentera dan kelebihan menyentuh pengundi setiap hari, memang kemenangan berpihak kepada PR/PAS. Dengan ertikata lain, jika diukur secara normal gerakerja pilihanraya sudah tentu BN akan kalah teruk kerana kelemahan mereka yang terlalu banyak.

Kemungkinan jika pilihanraya umum, BN tidak ada keupayaan untuk melakukan sepertimana di Bagan Pinang kerana mereka terpaksa memberi tumpuan seluruh negara.
Kita tidak hairan dengan kemenangan BN di Bagan Pinang kerana kemenangan bukan kerana mendapat sokongan sebenar dari pengundi, tetapi kerana penipuan, taburan wang dan fakator pengundi pos.

Bagi pengundi di Bagan Pinang, terimalah seorang wakil rakyat Bapak Rasuah. Jangan harap Tan Sri Isa Samad akan menjenguk pekerja-pekerja ladang selepas ini jauh sekali menghulurkan sumbangan dan bantuan malah kemenangan beliau adalah pembuka jalan kepada beliau untuk meneruskan kerja lama beliau iaitu melakukan rasuah dan merompak harta dan hak rakyat Negeri Sembilan. Kehidupan rakyat akan kembali seperti biasa, yang bekerja di ladang dengan kesusahan mereka, yang berniaga di gerai-gerai kecil tepi jalan yang kebanyakan orang Melayu akan kembali dengan perniagaan mereka yang tentera akan kembali dengan tugas-tugas mereka, tiada apa-apa perubahan berlaku malah janji akan tinggal janji.

Bagi kita petugas-petugas PR/PAS, sudah tentu kekalahan di Bagan Pinang tidak boleh dipandang mudah dengan menuding jari kepada UMNO BN semata-mata penyebab kepada kekalahan ini. Yang pastinya kita juga perlu mengkoreksi atau muhasabah, faktor penyebab kepada kekalahan ini. Bedah siasat mesti dilakukan segera. Bagi saya, kekalahan di Bagan Pinang kepada Pas adalah medan untuk kita muhasabah banyak perkara dengan memperbaiki banyak kelemahan-kelamahan yang sememangnya sudah wujud sedikit sebanyak sebelum Pilihanraya, semasa tempoh kempen dan semasa hari mengundi. Antara kelemahan yang perlu dibaiki ialah:-

1. Sebelum hari mengundi/sentiasa/ berterusan.

Kita perlu menyelesaikan segala masalah dalaman dengan merujuk kepada pimpinan dan kembali kepada konsep jamaah Islam serta perlu berlapang dada jika ada khilaf-khilaf yang berlaku dan kembali kepada konsep ukhuwah Islamiyah.


2. Semasa tempoh berkempen.

a. Jangan ada terlalu banyak arahan-arahan yang bertindih atau ramai pihak yang ingin menjadi ketua, sekiranya dirasakan jentera pembantu lebih baik, terutama dari negeri yang telah menang, eloklah menyerahkan urusan gerakerja kempen kepada jentera pembantu di samping jentera tempatan memberi kerjasama dan maklumat-maklumat berkenaan dengan suasana, keadaan dan maklumat pengundi.

b. Program munajat hendaklah diadakan setiap hari/qiamullail berjamaah serta sentiasa berzikir dan bagi petugas Pas, penggantungan hanyalah kepada Allah swt.

d. Tingkatkan kawalan pusat-pusat operasi PR/PAS dengan mengenalpasti identiti petugas dengan memastikan pendaftaran petugas mestilah dimaklumkan kepada YDP/SU kawasan untuk jentera pembantu untuk mengesan SB yang menyamar.

3. Semasa Hari Mengundi

a.Mesti ada skuad pemantau yang cekap bagi memantau jentera lawan di depan pusat pengundi yang lengkap denga kamera canggih di mana kemungkinan ada pengundi yang sama keluar masuk pusat mengundi beberapa kali, petugas perayu undi BN yang tidak menunjukkan identiti mereka yang merayu undi ke dalam kawasan mengundi atau berhampiran dengan pusat mengundi yang menawarkan wang tunai kepada pengundi jika mereka mengundi BN.
b. Mesti ada skuad khas yang menjaga laluan lain atau pintu masuk lain pusat mengundi selain dari laluan utama dan pintu masuk utama pusat mengundi kerana kemungkinan pengundi hantu akan di bawa masuk dari pintu belakang atau mana-mana penjuru pusat mengundi yang mempunyai pintu masuk.

3. Selepas Hari Mengundi PRK Bagan Pinang.

a. Kembali menguatkan jamaah/parti dengan memantapkan pengurusan dan gerakerja Parti ke negeri masing-masing terutama negeri yang telah memerintah seperti Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekalkan dan mempertahankan kemenangan pada PRU 13 nanti.

b. Program-program tarbiyah dan pembinaan ahli mesti ditingkatkan dan berterusan. Usrah, tamrin,liqa ul fikri, qiamullai, munajat dan lain-lain program tarbiyah wajib dilaksanakan dengan berterusan.

c. Usaha menambah ahli dengan mendekati masyarakat dengan program dakwah dan memberi kefahaman Islam dan menerangkan tentang penyelewengan UMNO BN.

d. Mendekati rakyat dengan program-program kebajikan dan kemasyarakatan supaya terus menyokong dan menambahkan sokongan rakyat kepada PR

C. Menambahkan ahli Kelab Penyokong Pas samada dari kalangan kaum India dan Cina atau bangsa-bangsa lain dengan mengadakan program bersama-sama dengan mereka serta mendekati mereka dengan memahami budaya mereka.

d. Mantapkan dan tingkatkan kerjasama dan hubungan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

e. Sentiasa wala' kepada pimpinan dan arahan-arahannya.

Kesimpulannya, bagi kita pejuang agama Allah, kekalahan dalam pilihanraya bukanlah bermakna kita kalah dalam perjuangan kerana kita semua maklum bahawa UMNO/BN bukanlah kuat mana malah mereka memang terlalu lemah sepertimana faktor-faktor yang diberikan di atas. Sesungguhnya kemenangan adalah hak mutlak Allah swt. Allah boleh anugerahkannya kepada kita jika kita telah memenuhi syarat-syarat untuk mendapat kemenangan. Jadi, kekalahan di Bagan Pinang, kita terima dengan fikiran positif dan berlapang dada dengan beriltizam untuk memenuhi segala syarat-syarat kemenangan ditentukan oleh Allah swt.

Kekalahan di Bagan Pinang adalah medan untuk kita muhasabah dan bertindak segera demi untuk mempertahankan kemenangan di empat negeri dan menawan negeri-negeri lain di negara kita untuk kita memerintah Malaysia yang kita cintai serta mengembalikan hak rakyat Malaysia yang telah lebih 50 tahun dirompak oleh UMNO BN. Jika kita mengambil tindakan segera, untuk menguatkan parti, tidak mustahil, PR akan menumpaskan UMNO BN pada PRU 13 nanti kerana UMNO BN tidaklah kuat mana dan sebenarnya mereka terlalu lemah.

ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

SIS TIADA AUTORITI BERCAKAP TENTANG ISLAM

Akhir-akhir ini SIS begitu lantang dengan kenyataan mereka yang menentang dan membantah hukuman sebat yang dikenakan ke atas Kartika.Dalam masa yang sama juga mengkritik kaedah pelaksanaan hukuman tersebut dengan hujah akal semata-mata dan langsung tidak ada factor ilmiah. , jauh sekali merujuk kepada Al Quran dan Hadith mahupun ijmak ulamak. Sebagai salah satu sayap dalam Parti Islam se Malaysia (PAS), yang juga berperanan untuk memperjuangkan hak-hak dan keadailan untuk wanita di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor menyelar dan membantah sekeras-kerasnya pandangan dan kritikan SIS di atas factor dan hujah berikut:-

1. SIS tidak ada autoriti dan kelayakan untuk mengkritik apatah lagi bercakap tentang hukum Islam kerana mereka bukan berlatarbelakangkan pendidikan agama, kerana hukum Islam atau syariah Islam, bukanlah ciptaan manusia tetapi ianya adalah arahan dan perintah Allah swt di dalam Al Quran dan setiap pandangan tentang Islam khususnya berkenaan dengan hukum dan undang-undang Islam mestilah dirujuk kepada mereka yang arif tentang Alquran, hadith dan ilmu fiqh .

2. SIS wajib belajar semula dan mesti tahu bahawa soal hukuman dalam Islam tidak membezakan antara lelaki dan wanita sepertimana Allah menjanjikan balasan syurga dan ganjaran pahala kepada lelaki dan perempuan yang melakukan kebajikan dan amal soleh begitu sebaliknya jika mereka yang melakukan dosa dan maksiat dibalas dengan catatan dosa dan balasan azab. Cuma kaedah dan pelaksanaan hukuman berbeza antara lelaki dan wanita. Tidak timbul soal zalim dan penganiayaan kepada pesalah, kerana Allah swt telah mengingatkan kita semua melalui Al Quran mengenai laranganNya, terutama tentang larangan meminum arak yang sangat-sangat dipandang keji oleh Islam dan balasan serta hukuman jika melanggarnya.

3. SIS mesti fahami bahawa Allah swt menciptakan manusia, sudah tentu Allah Maha Pencipta tahu tentang system manusia. Sistem akal, sistem nafsu dan seluruh system saraf manusia semua adalah dalam pengetahuan Allah swt. Sudah tentu Maha Pencipta mengetahui penyakit dan masalah hambaNya dan tahu penawar dan cara untuk merawat dan menyelesaikan masalah manusia. Di antara perkara yang boleh mengobat dan merawat penyakit manusia juga menyelesaikan masalah manusia ialah melalui hukuman dan undang-undang Islam.

4. SIS mesti fahami bahawa tujuan hukuman ialah sebagai balasan dunia kepada mereka yang melanggar larangan Allah swt dan juga sebagai pendidikan terhadap pesalah dan masyarakat sekeliling. Dengan ini tidak timbul persoalan hukuman yang terlalu keras yang akan meninggalkan trauma psikologi terhadap pesalah kerana pelaksanaan sebatan cara Islam tidak sama dengan pelaksanaan cara sivil.

Berkaitan dengan isu hukuman yang dikenakan ke atas Kartika, Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor berpendiriaan bahawa:-

1. Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor menghargai dan memuji sikap keterbukaan Kartika yang telah memberi pengakuan secara telus yangmana beliau telah menyesal akan tindakan dan perbuatan beliau dan menerima hukuman dan hakikat tuntutan perundangan Islam.

2. Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor memandang isu ini mempunyai dua kesan:-

a. Membuka mata masyarakat untuk membincangkan tentang hukum Islam secara menyeluruh sebagai perbincangan umum.

b. Isu ini telah mencabar sejauh mana keseriusan kerajaan Malaysia yang dipimpin olhe BN untuk melaksanakan hukum dan undang-undangIslam

Dewan Muslimat berpandangan bahawa seluruh pihak perlu memandang isu ini secara serius dengan membuat penelitian semula terhadap system perundangan di Malaysia serta mengkaji model undang-undang yang sesuai dengan masyarakat Malaysia, berlandaskan dengan Al Quran dan Sunnah bagi memastikan masyarakat seluruhnya kembali kepada kehidupan beragama


ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

Monday, September 28, 2009

KONVOI RAMADHAN BERSAMA RAKYAT ANJURAN PAS SELANGOR






PADA RAMADHAN TAHUN INI PAS SELANGOR MENGANJURKAN KONVOI RAMADHAN BERSAMA RAKYAT DI MANA SELURUH KEPIMPINAN PAS SELANGOR TERMASUK DATO' PESURUHJAYA SENDIRI TURUN HAMPIR SELURUH SELANGOR. ANTARA OBJEKTIF IALAH MERAKYATKAT PAS DI SELANGOR, SUPAYA RAKYAT MELIHAT PAS BOLEH BERSAMA-SAMA RAKYAT SERTA BERKONGSI PENDERITAAN DAN KESUSAHAN RAKYAT, DI SAMPING ITU PELUANG DIAMBIL UNTUK MENYAMPAIKAN SEDIKIT SUMBANGAN DARI PAS SELANGOR KEPADA KUMPULAN YANG BERHAK MENERIMANYA.

PROGRAM YANG JULUNG-JULUNG KALI DIADAKAN MENDAPAT SAMBUTAN BAIK OLEH SELURUH PIMPINAN KAWASAN DAN KEMERIAHAN BEGITU TERASA BILAMANA KONVOI DISAMBUT DAN DIIRINGI PULA DENGAN KUMPULAN MOTOSIKAL UNIT AMAL DI SETIAP STESEN DESTINASI. APA YANG DAPAT DILIHAT PADA PROGRAM INI IALAH, KERJASAMA YANG JITU DAN MANTAP DARI SEMUA PIHAK TERMASUK DEWAN PEMUDA, DEWAN MUSLIMAT, DEWAN ULAMA DAN UNIT AMAL DAN NISA' TERMASUK KELAB PENYOKONG PAS DAN MASYARAKAT SELURUHNYA...

INSYAALLAH PAS SELANGOR BERSAMA PR AKAN MENGORAK LANGKAH LAGI UNTUK BERSAMA-SAMA DENGAN RAKYAT SELANGOR SUPAYA PR TERUS MENDAPAT TEMPAT DI HATI RAKYAT SELANGOR DAN TERUS MEMERINTAH SELANGOR PADA PRU AKAN DATANG...INSYAALLAH