Wednesday, May 28, 2008

KASIH ALLAH DAN RASUL MENGATASI SEGALA-GALANYA

Pada tanggal 21 Mei 08, jam 11.45 malam di Hospital Ampang, telah kembali ke rahmatullah kakakku yang tersayang. Beliau adalah kakakku yang sulung dari kami 13 belas orang adik beradik.

Almarhumah kakak yang diberikan nama oleh ibu dan ayah sebagai Mahanom dan nama timangan sebagai Chom sahaja dan kami adik-adik di bawahnya hanya mudah dengan panggilan kak Chom Sahaja. Almarhumah kak Chom mula dalam keadaan tidak sihat dan sakit-sakit sejak lebih kurang setahun lalu. Setelah sekian lama keluar masuk hospital doktor mengesyaki beliau mengidap Leukimia kerana kerap kehilangan darah merah pada tubuh beliau. Begitulah keadaan kak Chom keluar masuk hospital sehingga doktor tidak dapat mengesahkan penyakit sebenar beliau.

Kak Chom adalah seorang kakak dan insan yang tabah, sehingga dalam keadaan sakitpun tidak pernah mendengar beliau mengeluh. Begitu juga ketabahan Kak Chom menjaga kami semasa kami kecil-kecil dahulu, menyuapkan kami makan, memandikan kami malah sebahagian tugas ibu diambil alih oleh Kak Chom. Maklumlah ibu yang bersalin kerap, dengan anak-anak yang masih kecil sehingga tidak berkesempatan untuk melihat anak-anak yang lain. Begitu juga Kak Chom yang tabah dengan kehidupan yang susah dengan membesarkan anak-anak dengan pendapatan yang kecil. Tetapi tetap berjaya menghantar anak ke universiti dan segala masalah tidak pernah merungut apatah lagi bercerita dengan orang lain. Segala masalah, dipendamkannya sendiri dalam hatinya.

Terdahulu pada 2 Apr 2007, abangku yang sulung telah menemui ilahi. Abang memang mengidap banyak penyakit sehingga lebihkurang dua bulan beliau dalam keadaan teruk dan tidak lalu makan, terlantar di rumah sehinggalah dia diambil kembali oleh Allah swt di hadapan mataku sendiri.

Ketika itu ibu juga berkesempatan menghantarkan roh abang ke hadhrat Ilahi dengan mengajarkan abang membaca ayat-ayat suci dan abang dapat mengikuti ibu, seolah-olah ibu mengajar kami membaca Alquran semasa kecil dulu. Tidak setitik pun airmata ibu keluar. Betapa tabahnya ibu mengadap keadaan abang yang nazak dan pergi pula meninggalkan ibu buat selama-lamanya.

Setelah itu nama abang sentiasa bermain dibibir ibu. Cerita-cerita semasa abang kecil, bagaimana ibu membesarkan abang dan menyekolahkan abang. Adakalanya ibu sampai tidak berselera untuk makan kerana mengenangkan seorang anak yang disayangi telah meninggalkan ibu.

Dalam masa yang sama keadaan kesihatan ibu semakin menurun. Tubuh ibu ku lihat semakin susut.

Setiap pagi di rumahku lah tempat ibu mengadukan apa jua permasalahan ibu termasuk masalah kesihatan beliau.

Dalam masa yang sama juga aku tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada ibu kerana kesibukanku dengan kerja-kerja jamaah dan waktu hampir PRU 12. Aku terpaksa sering tinggalkan ibu, mula-mula ke muktamar di PUTIK. Aku berjanji dengan ibu hanya pergi sekejap sahaja. Sering juga aku yakinkan ibu yang kerja-kerja yang kulakukan ini adalah kerja-kerja jihad dan ibu hanya mengangguk-anggukkan kepala. ' Kalau yam buat kerja Islam ni, mak juga dapat sahamnya.' Ibu hanya menjawab, ' kalaulah mak muda nak ikut kemana-mana macam kamu juga'. Begitulah semangat ibu.

Kepulanganku dari muktamar disambut oleh ibu dengan wajah ceria. Seperti biasa ibu pasti menyelongkar beg pakaiaian ku kalau-kalau aku ada bawa buah tangan untuknya. Aku hanya berkesempatan membeli buah mempelam siam sahaja. Itupun tetap jadi perhatian ibu, dibawanya dua, tiga biji pulang. Sebenarnya ibu mengidap gastrik yang pantang memakan buah-buahan yang berasid seperti mempelam dan mangga.

Selepas itu sakit ibu nampak semakin kuat, bilamana aku akan ke Kemboja pada 7 Jun 07, beliau memberitahuku ingin ke rumah kakakku Salmah di Gombak. ' Kalau mak dah sihat nanti mak balik sini.' Ujar ibu. Aku hanya mengiyakan kata-kata ibu kerana itu pilihannya.

Masa berlalu, persiapan PRU 12 semakin rancak, setiap malam ada mesyuarat samada di Peringkat Halwa mahupun MTD. Jarang-jarang sekali aku dapat jenguk ibu. Dari rumah anak yang satu ke rumah anak yang satu lagi. Permintaan ibu diikutkan saja oleh adikberadik ku. Rumah yang akhir adalah rumah Kak Chom. Ketika ibu di rumah Kak Chom, sering bertanyakan aku. Berita yang ibu tenat beberapa kali dihantar oleh kakak-kakak ku, tapi tak kesampaian pula nak tinggalkan mesyuarat yang rasanya penting. Bila habis mesyuarat terasa ingin melihat ibu tapi waktu sudah tengah malam. Pastinya kekangan dari suami untuk keluar dari rumah di waktu tengah-tengah malam.

Dalam tempoh ibu di rumah Kak Chom aku hanya dapat jenguk ibu dua kali sahaja. Kali terakhir, aku dapat membawa ibu ke klinik. Itulah kali terakhir aku pimpin tangan ibu. Ibu diberi rawatan inhaler, iaitu bantuan pernafasan kerana pernafasan ibu tersekat kerana terlalu banyak lendir. Ketika itu ibu masih boleh berjalan lagi. Ku bawa ibu pulang ke rumah Kak Chom. Dia seolah-olah ingin mengikutku pulang ke rumahnya. Oleh kerana ibu kelihatan terlalu lemah, adik-beradikku tidak mengizinkan ibu pulang.

Aku terpaksa pulang juga walaupun ibu nampak berat untuk melepaskan aku pergi. Aku berjanji dengan ibu, ' selepas hantar mastura ke Kelantan, yam ambik mak ye.' Tiada respon darinya.
Kebetulan aku terpaksa menghantar anak ketiga ku untuk mendaftar di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri Kelantan. Ketika itu tanggal 26 Jun 07.

31 Jun 07 satu program besar yang dirancangkan pada hari tersebut iaitu Makan Malam Bersama Pemimpin untuk mencari dana untuk menghadapi PRU 12, yang mana aku mengetuai Halwa yang telah ditugaskan untuk memasak dan seolah-olah tulang belakang program tersebut.

Alhamdulillah program berjaya! Walaupun kehadiran tidak mencapai taget kami, tapi kutipan melebih dari taget kerana sebelum program tersebut kupon-kupon telah diedarkan dan dijual dengan jumlah yang banyak.

Rasa hilang penat kerana program berjaya. Selesai program, aku bersama petugas-petugas lain terus mengemaskan tempat program sebelum masing-masing pulang. Sebentar lagi aku pula akan bertolak ke Kelantan untuk menghantar anakku mendaftar di IPT Nilampuri.

Jam 1.30 pagi 1 Jul 07 kami sekeluarga bertolak ke Kelantan. Mataku sedikitpun tak mengantuk. Anak-anak di belakang semuanya lena belaka. Perjalanan ke Kelantan melalui Kuala Lipis dan Gua Musang memang tidak ada liputan telefon bimbit. Hati ini berkata-kata, apa khabar ibu?' Aku berdoa semuga ibu sihat dan aku berkesempatan berjumpa ibu selepas balik dari Kelantan nanti. Hampir sampai ke Gua Musang selepas Merapoh, aku menerima sms. Rasa berpinau mataku, rasa akan runtuh dadaku, rasa tak terjejak kakiku ke bumi bila membaca sms dari adik iparku Mokhtar Rozaidi bahawa ibu telah kembali mengadap Ilahi. Pergi buat selama-lamanya hingga tidak akan bertemu lagi di dunia ini. Kecuali diizinkan di akhirat nanti.

Aku bergegas patah balik, hajatku untuk memandikan jenazah ibu. Tapi hajatku tak kesampaian, sesampainya aku di rumah Kak Chom jenazah ibu telah selesai dimandikan. Pada mulanya ingin sahaja aku menangis semahu-mahunya tapi setelah melihat wajah ibu yang berseri dan tersenyum, aku terus batalkan niatku dan memeluk jenazah ibu dan mencium wajahnya sepuas-puasnya.

Demikianlah tiga orang yang aku sayangi dalam hidupku telah pergi mengadap Ilahi. 2 Apr 07 abangku, 1 Jul 07 ibuku dan 21 Mei 08 kakakku. Apa yang ingin ku kongsikan di sini ialah ketiga-tiga mereka tidak dapat perhatian sepenuhnya dariku. Jarang sekali aku dapat ziarah mereka semasa mereka sakit oleh kerana kesibukanku dengan tugas-tugas dakwah. Pun begitu, aku tidak menyesali apa yang berlaku. Semua kita adalah hak milik Allah, yang dipinjamkan sementara kepada kita. Walaubagaimana sayangpun kita kepada mereka, kasih sayang kepada Allah dan Rasul tetap menjadi keutamaan kepada kita dan mesti diletakkan di atas sekali.

Moga Allah merahmati ketiga-tiga roh orang-orang yang ku kasihi dan meletakkan roh mereka bersama golongan mukminin dan solihin.

Mudah-mudahan airmata kesedihanku dalam menghadapi ujian dari Allah swt ini, sehingga ketiga-tiga orang yang aku sayangi di ambil oleh Allah swt dalam waktu yang terdekat dan dalam masa yang sama kesibukanku dalam tugas-tugas dakwah dan kerja-kerja Islam dibayar oleh Allah swt dengan keampunanNya dan keredhaanNya kepada ku.

Moga Allah memberi pertolongan dengan memudahkan segala urusan serta menjadikan aku istiqomah dalam menegakkan kalimahnya.

Allahu Akbar!

Ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

0 comments: