Sunday, August 31, 2008

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA RAMADHAN AL MUBARAK


Perutusan khas sempena Ramadan al-mubarak
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sun | Aug 31, 08 | 6:55:49 am MYT
Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.


Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya s.a.w.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan lain-lain.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Ramadan Kareem" kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.

Presiden PAS_

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK



SEMPENA DENGAN KEHADIRAN RAMADHAN SAYA DAN KELUARGA MENGAMBIL KESEMPATAN MEMOHON MAAF ATAS SEGALA KESILAPAN KEPADA SAHABAT-SAHABAT YANG MENGENALI SAYA. MOGA DIBERI KEKUATAN OLEH ALLAH SWT KEPADA UNTUK MENJALANI IBADAH DALAM BULAN MULIA DENGAN PENUH ILTIZAM SERTA UNTUK MENCAPAI REDHA DAN KEAMPUNAN DARIPADANYA.

SEMOGA SEMANGAT RAMADHAN AKAN MEMPERTINGKATKAN LAGI SEMANGAT JUANG KITA KE ARAH MEMENANGKAN AGAMA ALLAH SWT DI BUMI MALAYSIA YANG KITA CINTAI INI SETERUSNYA MEMERDEKAKAN KITA DARI SEGALA BELENGGU KEZALIMAN DAN KEHIDUPAN JAHILIYAH MODEN YANG DILAKUKAN OLEH PEMERINTAH YANG ADA.

MUDAH-MUDAHAN ALLAH BERI PERTOLONGAN KEPADA KITA KE ARAH MENCAPAI HASRAT MEMENANGKAN AGAMA ALLAH SWT.

TAKBIR!!!

Tuesday, August 26, 2008

SENJATA UMNO SEMAKIN TUMPUL DAN TAK MENGENA

26 Ogos 2008 telah terjawab segala persoalan dan teka-teki oleh rakyat Malaysia di mana kemenangan DSAI yang telah diduga oleh penyokong dan pendokong PR selama ini.

Media utama yang menjadi alat dan balaci UMNO saban hari menimbulkan teka-teki dan fitnah terhadap PR khususnya DSAI sehingga ianya telah menjadi tanda-tanya kepada rakyat apakah tindakan berani Say Fool melakukan 'mubahalah' iaitu sumpah laknat kununnya beliau di pihak yang benar kerana perbuatan sumpah tersebut berani berdepan dengan laknat Allah swt supaya dilihat benar oleh sebahagian masyarakat khususnya orang UMNO yang menjadikan media bangang kuli balaci UMNO sebagai kiblat dan rujukan.

Pengakuan berani Ust Ramlang Porigi mestilah diberi pujian kerana pastinya dia akan berhadapan dengan risiko besar iaitu kemungkinan tekanan dari UMNO dan kemungkinan beliau akan di buang kerja. Syabas ust Ramlang! Bukan macam ulama pengampu UMNO yang dengan begitu tergesa-gesa tanpa menilai dan mengkaji mengatakan bahawa sumpah Say Fool adalah benar. Alangkah rendahnya maruah mereka..Nakhaie, mufti Wilayah.. sanggup sengkongkol dengan pembawa fitnah.

Media balaci UMNO berperanan sebagai penyerang barisan hadapan UMNO dengan peluru-peluru yang disumbatkan oleh UMNO yang menyorok di belakang mereka. Bermula dari tuduhan Liwat DSAI, kemudian Mubahalah Sayfool sehari sebelum penamaan calon kemudian dibesar-besarkan dengan menemuramah ulamak-ulamak pengampu supaya rakyat percaya, kemudian penangkapan dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak kerana kununnya terlibat dengan rasuah dan penyalah gunaan kuasa supaya menjejaskan sokong rakyat kepada DSAI pada PRK Permatang Pauh.

Saya rasa UMNO masih lagi tercari-cari dan teraba-raba mencari peluru untuk menambahkan sokongan rakyat kepada mereka dan mencari jalan untuk memecah belahkan kesepaduan PR. Lihatlah ezam dengan roadshow murahan terhegeh-hegeh ke sana kemari semata-mata mencari publisiti murahan supaya rakyat berpaling dari menyokong PR. Begitu juga menghasut ahli PAS dengan mengungkit perbuatan DSAI semasa dalam UMNO yang menyerang PAS. Ezam juga adalah alat dan peluru UMNO bagi mengelirukan rakyat dengan propaganda murahannya. Insyaallah ahli PAS kebanyakannya memahami Islam dan kita mesti ada satu sikap positif iaitu sifat pemaaf yangmana ini adalah suatu sikap yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam dakwah baginda.

Kemenangan DSAI sebagai calon PKR pada PRK Permatang Pauh sebagai menjawab segala persoalan rakyat. Rakyat sudah jemu dengan janji manis UMNO BN, rakyat sudah semakin cerdik dan tahu memilih pemimpin yang mereka yakini kebenarannya. Rakyat tidak perlu digula-gulakan dengan tawaran dan janji palsu dan tidak dikelabukan dengan taburan fitnah oleh media kuli UMNO.

Sebenarnya media seperti TV3 dan RTM lah penyebab kepada kekalahan teruk UMNO BN pada PRU 12 dan PRK Permatang Pauh. Semakin TV3 dan RTM 1 menyebar fitnah semakin bertambah sokongan rakyat kepada PR.Teruskanlah wahai wartawan TV3 dan RTM...jadi alat kepada pemimpin UMNO, sebenarnya peranan kamu memenangkan PR dan kempen untuk PR.

Penutup

Sesungguhnya senjata UMNO semakin tak mengena, peluru sentiasa tersasar, apa yang dibuat serba tak kena. Ini adalah sebagai suatu isyarat bahawa tidak lama lagi UMNO BN akan jatuh dan tersungkur. Kita saksikan tidak lama...lagi. Insyaallah.

oleh:

UMMU AHMAD

mujahidah_61@yahoo.com

BAKEWANIS SERIUS DENGAN PROGRAM DAKWAH




Rabu 27 Ogos 2008 | 24 Sha'ban 1429 Hijrah
Bekawanis jadikan Ramadan bulan tarbiyah
Saidah Hairan

Tue | Aug 26, 08 | 10:07:29 am MYT
SHAH ALAM, 26 Ogos (Hrkh) - Persatuan Kebajikan Wanita Islam Selangor (Bekawanis) akan menjadikan Ramadan sebagai bulan tarbiyah dengan mengajak umat Islam melakukan ibadat dan mencintai masjid secara berterusan.


Sempena kehadiran Ramadan pada 1 September, Bekawanis dengan kerjasama Unit Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan program khatam al-Quran, di dewan Annex, SUK, Shah Alam, Sabtu lalu.

Program tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Bekawanis, Wan Hasrina Wan Hassan. Turut hadir Pengarah Unit Dakwah Jais, Ustaz Ahmad Zaki Arshad yang turut membentang kertas kerja.

Dalam pelancaran tersebut, Wan Hasrina berharap Muslimat sebagai penggerak masyarakat mengambil peluang dengan menggunakan masjid yang sudah terbuka luas untuk melaksanakan progam pendidikan terhadap masyarakat.

Katanya, selama ini masjid hanya dikunjungi oleh warga tua itu pun hanya pada waktu tertentu.

"Muslimat perlu berfikir dan merancang bagaimana mahu menarik minat golongan remaja dan belia supaya sentiasa mendampingi masjid dan mencintai pendidikan agama," katanya.

Beliau berkata, sebagai pemimpin Muslimat berperanan mendidik remaja kerana selama ini remaja tiada pembimbing yang boleh menunjuk arah dan hala tuju kehidupan mereka.

Pada 21 September merupakan program penutup khatam al-Quran tetapi ia tidak bermakna menutup segala aktiviti ibadah sebaliknya Ramadan merupakan permulaan untuk meneruskan segala pendidikan, tegasnya.

"Kesinambungan proses tarbiyah perlu dilangsungkan walaupun selepas Ramadan, melakukan ibadat bukan setahun sekali," jelasnya. - lanh_

oleh: Saidah Hairan

Posted by: Ustz Maryam Abdul Rashid

BANTAHAN KONSERT AVRIL

Kenyataan Media .
BANTAH KONSERT AVRIL


Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .

Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.

Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .

Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .

Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 ogos . Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak – anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme . Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik , bermoral dan berdaya saing , sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.

Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.

Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN , di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah?. Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?

Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak – agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .

Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah saiful bahri tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .

Yang Menjalankan Tugas
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Saturday, August 16, 2008

MUSLIMAT SEMAKIN MATANG DALAM PERBAHASAN




Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat ke 48 yang telah berlangsung pada 14 Ogos 2008 di Hill City Ipoh telah memperlihatkan kematangan muslimat dalam membahaskan usul-usul dan memberi kan hujjah-hujjah dalam ucapan penangguhan.

Muslimat nampak semakin kontemporari dalam membahas isu-isu dalaman mahupun di peringkat nasional. Setiap perwakilan negeri nampaknya mampu mengupas dan membahas ucaptema Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Ustazah Nuridah Salleh secara menyeluruh. Berbanding dengan tahun-tahun yang lalu, perwakilan nampaknya mengupas dan membahas isu yang sama di antara satu sama lain.

Perkara ini telah diulas oleh Wakil Pemerhati dari Pas Pusat AlFadhil Ust. Dato Tuan Ibrahim Tuan di mana kemampuan muslimat semakin menyerlah bila hujah-hujah dan perbahasan mampu disentuh secara menyeluruh oleh semua perwakilan. Menurut beliau mungkin perwakilan masih ada banyak lagi isu untuk diketengahkan dan dicadangkan untuk diambil tindakan oleh semua peringkat tetapi malang sekali masa yang begitu terhad kerana sudah menjadi ketetapan dan peraturan bila bersidang di hotel.

Ulasan dari Ust Dato Tuan Ibrahim ini perlulah dikaji dan dimuhasabah tentang komen beliau tentang waktu perbahasan yang terhad kerana, muktamar adalah suatu ruang dan medan untuk bermuhasabah dan medan untuk memperbaiki Organisasi dari semua aspek samada di peringkat pimpinan, ahli mahupun pada aspek gerakerja. Kemungkinan di tahun-tahun yang akan datang perkara ini tidak mungkin berulang di mana muktamar mestilah diadakan di tempat yang selesa di pelbagai sudut termasuk masa untuk berhujah yang cukup untuk perwakilan.

Apa yang saya lihat Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak dapat bersidang di tempat yang begitu selesa tanpa ada kawalan had waktu bersidang. DMPP perlulah mengkaji pekara ini supaya perbahasan dapat diajukan dengan keadaan tenang bukan dalam keadaan terkejar-kejar masa.

Sekiranya ucaptema Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat iaitu MENGISI KEMENANGAN MELESTARI KEBAJIKAN dapat dilaksanakan di seluruh peringkat Dewan Muslimat, insyaAllah kemenangan akan berpihak kepada Islam kerana realitinya muslimatlah pelaksana atau paling dekat dengan rakyat bagi menyampaikan mesej dakwah dan mesej parti.

Pelbagai Aspek telah disentuh oleh Ustazah Nuridah samada peringkat dalaman, nasional mahupun antarabangsa.

Kesimpulannya, saya begitu berpuashati dengan saranan-saranan dari ketua DMPP yang dilihat begitu mantap dan menyeluruh. Walau apapun, sebagai GERAKAN ISLAM keutamaan mestilah diletakkan kepada aspek TARBIYAH YANG MENYELURUH DAN SISTEMATIK. TARBIYAH MESTI TERKEHADAPAN DARI ASPEK-ASPEK LAIN DAN PERLUNYA MENGARUSPERDANAKAN TARBIYAH SECARA MENYELURUH supaya semua peringkat parti, rakan-rakan pakatan mahupun pihak UMNO BN sendiri serta rakyat jelata boleh melihat dan menilai bahawa PAS memang bersungguh-sungguh dan tegas dalam melaksanakan Islam samada peringkat dalaman organisasi mahupun di peringkat pemerintahan negara.

Semuga Sinar Islam akan menyerlah di seluruh negara tidak lama lagi.

Nasrun MinAllah Wa Fathun Qarib.

Sesungguhnya pertolongan Allah sangatlah dekat.

Allahu Akbar!

UMMU AHMAD

mujahidah_61@yahoo.com

MUSLIMAT PERLU KEHADAPAN TANGANI ISU WANITA




Friday, 15 August 2008
IPOH, 15 Ogos – Perwakilan DMP Selangor Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor Ustazah Mariam bt Abdul Rashid adalah antara yang berucap awal semasa sesi ucapan penangguhan. Beliau memulakan ucapan dengan meminta semua perwakilan agar menginsafi setiap kejayaan dengan bertasbih dan memohon ampun kepada Allah SWT kerana setiap kemenangan dilalui dengan kesilapan.

“Beliau menyeru perwakilan agar berlapang dada dengan menurunkan ego masing-masing, bagi merapatkan hubungan sesama ahli agar kemenangan yang dicapai terjaga baik”.

“Selain itu, saranan DMP Selangor agar Muslimat bersikap lebih lembut dan berhikmah dalam komunikasi harian dengan orang-orang UMNO, terutamanya wanita UMNO,” saran beliau.

“DMP Selangor turut mencadangkan agar Muslimat lebih ke hadapan dalam menangani isu-isu yang melibatkan wanita sepertimana Dewan Pemuda menyuarakan tentangan terhadap konsert Inul Daratista dan Avril Lavinge baru-baru ini,” tambah beliau lagi.

Di akhir penggulungan, beliau mengingatkan agar semua perwakilan bahawa, pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang menegur dan boleh ditegur oleh ahli.

SUMBER JITM DMPP

POSTED BY UMMU AHMAD

MUSLIMAT DIGESA TANGANI ISU KERUNTUHAN AKHLAK



SAFF PERWAKILAN MUSLIMAT SELANGOR KE MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KE 48

Fri | Aug 15, 08 | 1:47:22 am MYT
IPOH,15 Ogos(Hrkh) - Barisan muslimat perlu ke hadapan dalam mengetengahkan isu-isu melibatkan keruntuhan akhlak masyarakat terutamanya dalam usaha mencegah kemungkaran, kata Naib Ketua Dewan Muslimat Negeri Selangor, Mariam Abd Rashid hari ini. Iklan



"Sepatutnya, konsert-konsert hiburan seperti Konsert Ella dan Mas Idayu di Selangor serta Konsert Inul mendapat bantahan daripada Dewan Muslimat. Sebaliknya, Dewan Pemuda pula yang terkehadapan membantah konsert ini sedangkan konsert itu melibatkan kaum hawa, "ujarnya dalam sesi pergulungan Dewan Muslimat yang diadakan di Hotel Hillcity, Jalan Gopeng di sini semalam.

Sebelum itu, Mariam menegaskan supaya kemenangan yang dicapai dalam pilihan raya umum yang ke-12 yang lalu diisi sebaik mungkin.

Menurutnya, Allah SWT telah memberi tunjuk ajar kepada kita dalam usaha mengisi kemenangan ini dalam Surah Al-Fath, ayat 1 hingga 4.

"Allah SWT menyuruh kita untuk bertasbih dan memohon ampun atas kemenangan yang diperoleh,"katanya.

Justeru, tambahnya segala perselisihan yang berlaku adalah sebagai satu rahmat untuk semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Naib Ketua Muslimat Kelantan mengajak semua hadirin untuk menilai kembali sumber-sumber kekuatan yang menatijahkan kemenangan dalam pilihanraya lalu.

"Kita perlu membantu untuk menggerakkan jentera dari semua pihak dalam memenuhi segala janji-janji yang pernah kita taburkan dalam pilihan raya yang lalu," tegasnya.

Beliau mencadangkan supaya Dewan Muslimat menjadi ibu angkat bagi negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

"Hal ini mampu merealisasikan impian kita melunaskan janji pada rakyat. Turunlah dua atau tiga kali sebulan agar kita terus berjuang untuk membela rakyat marhaen," katanya. - tmj/mks. _

HARAKAH DAILY

POSTED BY UMMU AHMAD

Monday, August 11, 2008

PERISTIWA ISRA' MIKRAJ: JAMINAN ALLAH MEMELIHARA ISLAM


Mutaakhir ini Islam dan umat Islam semakin dicabar, contohnya tindakan Majlis Peguam yang ingin mencalar kesucian Islam dan mencabar Islam. Ini adalah suatu cabaran besar kepada Islam lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam perjuangan Islam sudah tentu cabaran dan ujian akan berterusan, bersambung-sambung dan bertali arus hinggalah ke penghujung dunia yang fana ini.

Bagi pejuang Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan tekanan dan cabaran yangmana sebenarnya ujian dan cabaran adalah suatu bahan pembinaan diri pejuang sehingga ia semakin mantap dan kuat menyebabkan perjuangan yang didokong akan semakin kukuh dan mantap.

Bila kita sorot kembali sejarah peristiwa Isra' Mikraj yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah saw, sebenarnya adalah suatu signal atau perkhabaran dari Allah swt bahawa Allah swt menjamin dan akan menjaga Islam. Setelah kewafatan dua orang yang sangat-sangat baginda kasihi sehingga baginda merasakan begitu dukacita dan merasakan bahawa Islam akan melalui suatu jalan yang sangat sukar tanpa dua orang yang dikasihi yang menyokong dan melindungi dakwah baginda. Peristiwa ini adalah juga perkhabaran dari Allah swt kepada baginda dan pada kita semua bahawa dalam perjuangan ini kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa melainkan hanyalah kepada Allah Khaliq, Maha Pencipta semesta Alam.

Pokok kemuncak kepada kemenangan umat Islam ialah bila Solat dapat dipelihara dalam kehidupan. Selagi solat terabai umat Islam tidak akan dapat pemerhatian dan perlindungan dari Allah swt. Sebab itu perintah solat adalah suatu perintah yang terus daripada Allah swt kepada Rasulullah saw. Berbeza dengan perintah-perintah lain, yangmana ianya melalui perantara Jibril as.

Bila kita hayati peristiwa ini dari permulaannya di mana Rasulullah saw di bawa ke Hijr Ismail, dibaringkan dan di belah dada suci baginda dan dibersihkan hati baginda dengan air zam-zam. Secara simboliknya kita fahami bahawa hati adalah suatu komponen penting dalam diri manusia yang perlu dijaga supaya tidak dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati seperti takabur, riak, sum'ah, ingin masyhur, ujub dan banyak lagi penyakit yang akan menghinggapi hati manusia sehingga rosak segala amalnya. Dalam ertikata lain sebelum kita mengadap Allah dalam solat kita mahupun dalam melaksanankan segala perintah Allah, mestilah dibersihkan dan dikosongkan hati kita dari lain selain dari Allah.

Saya tidaklah ingin menulis tentang peristiwa tersebut secara terperinci dalam ruangan yang begitu terhad ini, malah ramai yang sudah maklum tentang pendetailan peristiwa in tetapi hanya ingin berkongsi dan memaparkan pengalaman-pengalaman yang Rasulullah lalui sebagai pengajaran besar kepada kita pejuang Islam di mana dalam kita melaksanakan kerja-kerja Islam pasti akan ada bersama seliaan dan pertolongan Allah swt.

Rasulullah dibawa ke suatu tempat dan bersembahyang dua rakaat lalu baginda bertanya kepada Jibril apakah nama tempat tersebut maka jawab Jibril, 'Inilah Yathrib di mana engkau akan hijrah ke sini tidak lama lagi.' Pengajaran kita boleh ambil dari pengalaman Nabi saw ini ialah baginda akan ada tempat yang selamat tidak berapa lama lagi bagi meneruskan misi perjuangan agama Allah. Pengalaman ini sebenarnya sebagai menuntut supaya istiqamah dan tsabat dalam perjuangan agama Allah. Siapa yang istiqamah dan thabat dalam perjuangan Islam, maka Allah akan atur dan jamin kehidupannya. Menunjukkan sudah ada perancangan Allah untuk Islam dan pastinya Allah akan takdirkan yang terbaik untuk perjuangan Islam dan memenangkan agamaNya.

Nabi saw dibawa lagi dan bertemu dengan Nabi-nabi sebelum baginda di mana mereka juga mempunyai matlamat yang sama untuk agama Allah swt. Di situ Allah ingin beritahu Rasulullah bahawa baginda tidak keseorangan. Rasul-rasul sebelum baginda juga menghadapi perkara yang sama seperti baginda dalam dakwah mereka.

Dalam perjalanan Nabi saw, baginda berhadapan dengan sekatan-sekatan yang memanggil baginda. Orang tua sebagai simbolik dunia yang telah tua, sekatan Iblis, sekatan yahudi dan sekatan Nasrani. Inilah cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam dalam perjuangan sehinggalah ke hari kiamat.

Setelah selesai menerima perintah solat, Rasulullah kembali dengan suatu kekuatan ingin menyampaikan pengalaman baginda kepada penduduk Makkah. Walaupun ada pandangan dari sepupu baginda supaya melupakan saja niat baginda tetapi baginda tetap dengan pendirian baginda untuk memberitahu kebenaran peristiwa ini walaupun baginda tahu ramai tidak akan percaya. Segala kebenaran dan yang hak mestilah dinyatakan dengan tegas dan berpegang prinsip perjuangan.

Berkebetulan bulan berlakunya peristiwa Isra' Mikraj baru saja berlalu dan secara kebetulan ketika ini perjuangan Islam sedang berdepan dengan tekanan dan kemelut dari dalam dan luar.

PAS berdepan dengan fitnah UMNO BN yang ingin hancurkan dan memecahbelahkan PAS di semua peringkat. Sememangnya di semua peringkat lebih-lebih lagi di peringkat akar umbi sudah mula resah dengan isu PERTEMUAN PEMIMPIN PAS DENGAN PEMIMPIN UMNO yang didedahkan oleh media dengan serba kekeliruan dan fitnah yang dibesar-besarkan. Kemudian timbul pula isu CADANGAN UNTUK MENGADAKAN MUZAKARAH ANTARA PEMIMPIN UMNO DAN PEMIMPIN PAS, kemudian timbul pula topik MUQABALAH, MUBAHALAH YANG DICIPTA OLEH PAKLAH. Isu ini begitu dibesar-besarkan oleh media yang sudah menjadi 'balaci' dan alat kepada UMNO BN.

Alhamdulillah berkat kebijaksanaan kepimpinan kita, isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan lancar tanpa ada berlaku perbalahanan besar di kalangan ahli mahupun di peringkat rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Keputusan yang dibuat ialah 'say no to muazakarah', 'say no way to UMNO', kata orang utara 'tak kelapaq nak bergabung dengan UMNO'. Sebenarnya UMNO yang terhegeh-hegeh kerana kedudukan mereka sudah nyawa-nyawa ikan. Harap-harap nak bertongkat pada PAS atau kot-kot boleh dapat alat bantuan pernafasan di saat-saat mereka tengah nazak. Tapi dah tengah teruk pun tak sedar diri lagi, masih tidak ikhlas, masih lagi mahu buruk-burukan dan fitnah PAS. Akhirnya peluru UMNO satu pun tak mengena malah tersasar jauh. Maka bertambahlah teruk dan kronik penyakit mereka hingga sukar untuk diubati malah tiada ubat langsung kepada UMNO selagi mereka menolak Islam sebagai dasar. Ubat mereka ialah kembali kepada Islam atau pakat-pakat masuk PAS.

Kerjasama dengan Pakatan Rakyat tetap akan diteruskan kerana matlamat yang sama iaitu menegakkan keadilan kesaksamaan dan menumbangkan kezaliman.

Peletakan jawatan Datin Sri Wan Azizah sebagai MP Permatang Pauh adalah suatu yang dijangkakan sebagai memberi laluan kepada suaminya DSAI untuk masuk ke Parlimen seterusnya dengan harapan untuk menerajui negara.

Timbul pula kebimbangan dari kalangan ahli PAS, jika PAS tidak mendominasi pemerintahan sudah pasti cita-cita PAS untuk mendirikan pemerintahan Islam di mana tertegaknya hukum Allah tidak akan terlaksana.

Saya yakin dan pasti kedua-dua Tuan Guru kita sudah ada persedian dan perancangan yang begitu teliti untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan yang berlaku kepada Islam. Pastinya apa pun yang berlaku kita tetap berpegang dengan paksi dan prinsip Islam. Saya yakin, bagi pemimpin kita kuasa dan jawatan tidak akan bermakna jika Islam tidak dapat dilaksanakan dan pastinya setiap tindak tanduk pemimpin kita mengambil kira keridhaan Allah swt. Saya yakin kedua-dua pemimpin yang kita sayangi ini begitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan mereka serta tidak lupa juga bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan kesejahteraan kepada Islam dan umat Islam.

Kesimpulannya, jika kita ambil pengajaran dari peristiwa Isra' Mikraj, kita tidak akan keluh kesah bila berhadapan dengan isu-isu dan keadaan-keadaan yang dirasakan boleh menggugat kedudukan jamaah kita, kerana peristiwa ini adalah suatu perkhabaran dari Allah bahawa Islam pasti akan dipelihara hingga ke hari kiamat. Walau apapun keadaan kita, samada bersama dengan PR ataupun tidak bersama PR, sebagai pejuang Islam kita tetap meneruskan misi yang di bawa oleh baginda Rasulullah saw untuk memperjuangkan dan memenangkan agama Allah di muka bumi ini. Meneruskan dakwah menyeru manusia kepada agama Allah sebagai wadah. Selagi ada hayat, agama Allah tetap diperjuangkan. Samada dalam mentadbir organisasi ataupun menjadi kerajaan kita tidak akan keluar daripada garispanduan wahyu Allah dan prinsip-prinsip Islam walaupun kita terpaksa berhadapan dengan berbagai ujian dan cabaran. Bagi pejuang Islam, ujian dan cabaran adalah sunnah/biasa dalam perjuangan.Hanya mereka yang telah menyediakan hati yang bersih dan ikhlas sahaja yang sanggup berhadapan dengan ujian dan cabaran dan mereka akan kekal dan thabat dalam melaksanakan kerja-kerja ke arah memenangkan Islam.

Kita semua mesti yakin dengan janji Allah bahawa hanya perjuangan yang mengambil Islam sebagai dasar perjuangan sahaja akan kekal dan mendapat pertolongan Allah swt. Tidak mustahil selepas 16 September 08 ini PM Malaysia ialah Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Segala yang mustahil boleh berlaku jika Allah menghendaki kebaikan kepada agamaNya. Yakinlah dengan jaminan dan janji Allah swt!! Islam Pasti Menang!

Takbir!!!

UMMU AHMAD

mujahidah_61@yahoo.com

Saturday, August 2, 2008

SUATU PERINGATAN BUAT PARA DU'AT


Bahawa sesungguhnya keimanan, keikhlasan, keberanian, kesabaran dan bersikap optimis adalah perkara asas dalam pembentukan psikologi pendakwah dan sebagai persediaan dalam berdakwah. Sesungguhnya sifat ini tidak akan terkumpul melainkan di dalam jiwa mukmin yang merasai kemanisan iman dan menyerahkan dirinya untuk Islam. Ia akan tetap dan terus bergerak ke arah matlamatnya sehingga Allah mengizinkan kemenangan atau sebelum ia menemui Allah dan tetap berada di jalan perjuangan yang dipenuhi dengan rintangan, ujian, pertarungan dan penderitaan.

Sekiranya seluruh sifat-sifat tersebut sentiasa menyusuli dan mendampingi liku-liku perjalanan dakwah, nescaya ianya akan memindahkan seseorang daie ke suatu titik perjalanan yang mana apabila ia melangkahi jalan tersebut, maka tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan telah menelurusi jalan tersebut, membekali dengan bekalan ketakwaan, menyinari jiwa dengan sinaran kerohanian dan jadilah seorang daie sebagai insan yang soleh, mukmin yang bertakwa dan manusia yang ikhlas.

Bahkan apabila ia berjalan maka ia akan dapati kemudahan dalam perjalanan tersebut, apabila ia bercakap maka kata-katanya mempengaruhi, apabila ia beramal maka akan menjadi contoh dan teladan (qudwah), apabila ia muncul di khalayak ramai, maka di dalam pandangan air mukanya ada suatu tarikan dan apabila ia memberi pandangan maka di dalamnya ada sesuatu yang terang dan bersinar.

Sekiranya tahap yang disebutkan di atas ditentukan pengambilannya, daripada tarbiyyah kepada mujahadah, maka ianya akan menjadi suatu kekuatan utama kepada para daie.

Seterusnya ia akan menjadi perangsang kepada ketinggian kerohanian serta sebagai pusat arah tujusn matlamat pentarbiyyahannya. Bahkan ianya akan menjadi penggerak yang pertama bagi kesedarannya dalam memikul tanggunjawab dan amanah. Ia juga sebagai matlamat utama dalam perjalan dakwahnya untuk istiqamah dan juga pemberi peringatan paling utama kepada segala kesalahan dan penyimpangannya dari kebenaran.

Di sebaliknya apabila jiwa para pendakwah kekosongan daripada petunjuk-petunjuk kerohanian yang sempurna ini maka sesungguhnya kehidupannya akan menjadi kehidupan yang kosong. Maka ia tidak akan ada keberkesanan dan sumbangan kepada jalan dakwah. Malah akan membawanya kepada kebinasaan dan kesia-siaan dan tenggelam dalam kegelapan sifat ujub, munafik, riak, takabbur lalu tersungkur ia ke dalam kemelut yang di penuhi lumpur-lumpur yang melalaikan. Lantaran itu, ia akan terjerumus ke dalam sifat-sifat mementingkan diri sendiri (keakuan)'selfish', keangkuhan serta ketakburan. Maka tindakannya hanya berusaha dengan segala kemampuannya untuk menarik manusia kepada kepentingan peribadinya bukan kepada Allah swt. Ia juga akan membina seluruh kemuliaan hanya untuk dirinya bukan untuk akhirat.

Maka natijah dari segalanya akan berlakulah kegelinciran dan kejatuhan serta berlakulah kebinasaan. Maka tidak boleh tidak kita mesti kembali kepada jalan kerohanian.

Apakah penunjuk jalan ke arahnya?

Apakah sokongan yang mengukuhkannya?

Apakah kesannya dalam pembinaan, pengislahan (pemulihan) dan perubahan?

Setiap persoalan boleh kita jawab dan akan dapati jalan penyelesaiannya. Bahkan hanya jalan kerohanian (tarbiyyah ruhiyyah) sahajalah insyaallah akan menyuluh jalan kita untuk menyampaikan dan mendekatiNya.

Hanya Allah jualah yang menerangi jalan (yang Lurus) dan hanya kepadnya pergantungan dan pertolongan.

Tarbiah Ruhiyyah atau jalan kerohanian tidak mungkin kita perolehi melainkan dengan TAQWA. Sediakan hati untuk memberi dan menerima, mengajar dan belajar, menegur dan ditegur. Muhasabah (lihat kelemahan diri) dan mujahadah sebagai asas. Antara jalan ke arah kejayaan duat ialah:

- sentiasa muraqabah dengan Allah
- mengingati mati dan apa yang berlaku selepas mati
- mengingati akhirat dan keadaan-keadaannya
- membaca Al Quran dengan khusyuk dan tadabbur
- sentiasa menghayati sirah Nabi saw dan perjalanan hidupnya yang murni
- sentiasa mendampingi orang-orang salih yang dipilih oleh Allah
- sentiasa mengekalkan zikrullah pada setiap waktu dan keadaan
- menangis ketika keseorangan di tempat sunyi dan di tengah malam sunyi kerana takutkan Allah
- sentiasa melazimkan diri dengan amalan-amalan sunat

Jika kita istiqamah dengan sifat-sifat di atas serta amalan ruhiyyah seperti di atas maka akan ada kesan kepada dakwah kita dan Islam akan menempa kemenangan!

Suatu peringatan untuk diri saya dan semua sahabat-sahabat para du'at. Bukan mudah meraih syurga Allah, terkadang syaitan datang merosakkkan hati kita tanpa disedari. Hanya dengan jiwa-jiwa yang bersedia ditarbiyyah saja akan istiqamah dan memperolehi kejayaan .

Maha Suci Allah!!

UMMU AHMAD

mujahidah_61@yahoo.com