Saturday, August 2, 2008

SUATU PERINGATAN BUAT PARA DU'AT


Bahawa sesungguhnya keimanan, keikhlasan, keberanian, kesabaran dan bersikap optimis adalah perkara asas dalam pembentukan psikologi pendakwah dan sebagai persediaan dalam berdakwah. Sesungguhnya sifat ini tidak akan terkumpul melainkan di dalam jiwa mukmin yang merasai kemanisan iman dan menyerahkan dirinya untuk Islam. Ia akan tetap dan terus bergerak ke arah matlamatnya sehingga Allah mengizinkan kemenangan atau sebelum ia menemui Allah dan tetap berada di jalan perjuangan yang dipenuhi dengan rintangan, ujian, pertarungan dan penderitaan.

Sekiranya seluruh sifat-sifat tersebut sentiasa menyusuli dan mendampingi liku-liku perjalanan dakwah, nescaya ianya akan memindahkan seseorang daie ke suatu titik perjalanan yang mana apabila ia melangkahi jalan tersebut, maka tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan telah menelurusi jalan tersebut, membekali dengan bekalan ketakwaan, menyinari jiwa dengan sinaran kerohanian dan jadilah seorang daie sebagai insan yang soleh, mukmin yang bertakwa dan manusia yang ikhlas.

Bahkan apabila ia berjalan maka ia akan dapati kemudahan dalam perjalanan tersebut, apabila ia bercakap maka kata-katanya mempengaruhi, apabila ia beramal maka akan menjadi contoh dan teladan (qudwah), apabila ia muncul di khalayak ramai, maka di dalam pandangan air mukanya ada suatu tarikan dan apabila ia memberi pandangan maka di dalamnya ada sesuatu yang terang dan bersinar.

Sekiranya tahap yang disebutkan di atas ditentukan pengambilannya, daripada tarbiyyah kepada mujahadah, maka ianya akan menjadi suatu kekuatan utama kepada para daie.

Seterusnya ia akan menjadi perangsang kepada ketinggian kerohanian serta sebagai pusat arah tujusn matlamat pentarbiyyahannya. Bahkan ianya akan menjadi penggerak yang pertama bagi kesedarannya dalam memikul tanggunjawab dan amanah. Ia juga sebagai matlamat utama dalam perjalan dakwahnya untuk istiqamah dan juga pemberi peringatan paling utama kepada segala kesalahan dan penyimpangannya dari kebenaran.

Di sebaliknya apabila jiwa para pendakwah kekosongan daripada petunjuk-petunjuk kerohanian yang sempurna ini maka sesungguhnya kehidupannya akan menjadi kehidupan yang kosong. Maka ia tidak akan ada keberkesanan dan sumbangan kepada jalan dakwah. Malah akan membawanya kepada kebinasaan dan kesia-siaan dan tenggelam dalam kegelapan sifat ujub, munafik, riak, takabbur lalu tersungkur ia ke dalam kemelut yang di penuhi lumpur-lumpur yang melalaikan. Lantaran itu, ia akan terjerumus ke dalam sifat-sifat mementingkan diri sendiri (keakuan)'selfish', keangkuhan serta ketakburan. Maka tindakannya hanya berusaha dengan segala kemampuannya untuk menarik manusia kepada kepentingan peribadinya bukan kepada Allah swt. Ia juga akan membina seluruh kemuliaan hanya untuk dirinya bukan untuk akhirat.

Maka natijah dari segalanya akan berlakulah kegelinciran dan kejatuhan serta berlakulah kebinasaan. Maka tidak boleh tidak kita mesti kembali kepada jalan kerohanian.

Apakah penunjuk jalan ke arahnya?

Apakah sokongan yang mengukuhkannya?

Apakah kesannya dalam pembinaan, pengislahan (pemulihan) dan perubahan?

Setiap persoalan boleh kita jawab dan akan dapati jalan penyelesaiannya. Bahkan hanya jalan kerohanian (tarbiyyah ruhiyyah) sahajalah insyaallah akan menyuluh jalan kita untuk menyampaikan dan mendekatiNya.

Hanya Allah jualah yang menerangi jalan (yang Lurus) dan hanya kepadnya pergantungan dan pertolongan.

Tarbiah Ruhiyyah atau jalan kerohanian tidak mungkin kita perolehi melainkan dengan TAQWA. Sediakan hati untuk memberi dan menerima, mengajar dan belajar, menegur dan ditegur. Muhasabah (lihat kelemahan diri) dan mujahadah sebagai asas. Antara jalan ke arah kejayaan duat ialah:

- sentiasa muraqabah dengan Allah
- mengingati mati dan apa yang berlaku selepas mati
- mengingati akhirat dan keadaan-keadaannya
- membaca Al Quran dengan khusyuk dan tadabbur
- sentiasa menghayati sirah Nabi saw dan perjalanan hidupnya yang murni
- sentiasa mendampingi orang-orang salih yang dipilih oleh Allah
- sentiasa mengekalkan zikrullah pada setiap waktu dan keadaan
- menangis ketika keseorangan di tempat sunyi dan di tengah malam sunyi kerana takutkan Allah
- sentiasa melazimkan diri dengan amalan-amalan sunat

Jika kita istiqamah dengan sifat-sifat di atas serta amalan ruhiyyah seperti di atas maka akan ada kesan kepada dakwah kita dan Islam akan menempa kemenangan!

Suatu peringatan untuk diri saya dan semua sahabat-sahabat para du'at. Bukan mudah meraih syurga Allah, terkadang syaitan datang merosakkkan hati kita tanpa disedari. Hanya dengan jiwa-jiwa yang bersedia ditarbiyyah saja akan istiqamah dan memperolehi kejayaan .

Maha Suci Allah!!

UMMU AHMAD

mujahidah_61@yahoo.com

0 comments: