Monday, August 11, 2008

PERISTIWA ISRA' MIKRAJ: JAMINAN ALLAH MEMELIHARA ISLAM


Mutaakhir ini Islam dan umat Islam semakin dicabar, contohnya tindakan Majlis Peguam yang ingin mencalar kesucian Islam dan mencabar Islam. Ini adalah suatu cabaran besar kepada Islam lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam perjuangan Islam sudah tentu cabaran dan ujian akan berterusan, bersambung-sambung dan bertali arus hinggalah ke penghujung dunia yang fana ini.

Bagi pejuang Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan tekanan dan cabaran yangmana sebenarnya ujian dan cabaran adalah suatu bahan pembinaan diri pejuang sehingga ia semakin mantap dan kuat menyebabkan perjuangan yang didokong akan semakin kukuh dan mantap.

Bila kita sorot kembali sejarah peristiwa Isra' Mikraj yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah saw, sebenarnya adalah suatu signal atau perkhabaran dari Allah swt bahawa Allah swt menjamin dan akan menjaga Islam. Setelah kewafatan dua orang yang sangat-sangat baginda kasihi sehingga baginda merasakan begitu dukacita dan merasakan bahawa Islam akan melalui suatu jalan yang sangat sukar tanpa dua orang yang dikasihi yang menyokong dan melindungi dakwah baginda. Peristiwa ini adalah juga perkhabaran dari Allah swt kepada baginda dan pada kita semua bahawa dalam perjuangan ini kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa melainkan hanyalah kepada Allah Khaliq, Maha Pencipta semesta Alam.

Pokok kemuncak kepada kemenangan umat Islam ialah bila Solat dapat dipelihara dalam kehidupan. Selagi solat terabai umat Islam tidak akan dapat pemerhatian dan perlindungan dari Allah swt. Sebab itu perintah solat adalah suatu perintah yang terus daripada Allah swt kepada Rasulullah saw. Berbeza dengan perintah-perintah lain, yangmana ianya melalui perantara Jibril as.

Bila kita hayati peristiwa ini dari permulaannya di mana Rasulullah saw di bawa ke Hijr Ismail, dibaringkan dan di belah dada suci baginda dan dibersihkan hati baginda dengan air zam-zam. Secara simboliknya kita fahami bahawa hati adalah suatu komponen penting dalam diri manusia yang perlu dijaga supaya tidak dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati seperti takabur, riak, sum'ah, ingin masyhur, ujub dan banyak lagi penyakit yang akan menghinggapi hati manusia sehingga rosak segala amalnya. Dalam ertikata lain sebelum kita mengadap Allah dalam solat kita mahupun dalam melaksanankan segala perintah Allah, mestilah dibersihkan dan dikosongkan hati kita dari lain selain dari Allah.

Saya tidaklah ingin menulis tentang peristiwa tersebut secara terperinci dalam ruangan yang begitu terhad ini, malah ramai yang sudah maklum tentang pendetailan peristiwa in tetapi hanya ingin berkongsi dan memaparkan pengalaman-pengalaman yang Rasulullah lalui sebagai pengajaran besar kepada kita pejuang Islam di mana dalam kita melaksanakan kerja-kerja Islam pasti akan ada bersama seliaan dan pertolongan Allah swt.

Rasulullah dibawa ke suatu tempat dan bersembahyang dua rakaat lalu baginda bertanya kepada Jibril apakah nama tempat tersebut maka jawab Jibril, 'Inilah Yathrib di mana engkau akan hijrah ke sini tidak lama lagi.' Pengajaran kita boleh ambil dari pengalaman Nabi saw ini ialah baginda akan ada tempat yang selamat tidak berapa lama lagi bagi meneruskan misi perjuangan agama Allah. Pengalaman ini sebenarnya sebagai menuntut supaya istiqamah dan tsabat dalam perjuangan agama Allah. Siapa yang istiqamah dan thabat dalam perjuangan Islam, maka Allah akan atur dan jamin kehidupannya. Menunjukkan sudah ada perancangan Allah untuk Islam dan pastinya Allah akan takdirkan yang terbaik untuk perjuangan Islam dan memenangkan agamaNya.

Nabi saw dibawa lagi dan bertemu dengan Nabi-nabi sebelum baginda di mana mereka juga mempunyai matlamat yang sama untuk agama Allah swt. Di situ Allah ingin beritahu Rasulullah bahawa baginda tidak keseorangan. Rasul-rasul sebelum baginda juga menghadapi perkara yang sama seperti baginda dalam dakwah mereka.

Dalam perjalanan Nabi saw, baginda berhadapan dengan sekatan-sekatan yang memanggil baginda. Orang tua sebagai simbolik dunia yang telah tua, sekatan Iblis, sekatan yahudi dan sekatan Nasrani. Inilah cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam dalam perjuangan sehinggalah ke hari kiamat.

Setelah selesai menerima perintah solat, Rasulullah kembali dengan suatu kekuatan ingin menyampaikan pengalaman baginda kepada penduduk Makkah. Walaupun ada pandangan dari sepupu baginda supaya melupakan saja niat baginda tetapi baginda tetap dengan pendirian baginda untuk memberitahu kebenaran peristiwa ini walaupun baginda tahu ramai tidak akan percaya. Segala kebenaran dan yang hak mestilah dinyatakan dengan tegas dan berpegang prinsip perjuangan.

Berkebetulan bulan berlakunya peristiwa Isra' Mikraj baru saja berlalu dan secara kebetulan ketika ini perjuangan Islam sedang berdepan dengan tekanan dan kemelut dari dalam dan luar.

PAS berdepan dengan fitnah UMNO BN yang ingin hancurkan dan memecahbelahkan PAS di semua peringkat. Sememangnya di semua peringkat lebih-lebih lagi di peringkat akar umbi sudah mula resah dengan isu PERTEMUAN PEMIMPIN PAS DENGAN PEMIMPIN UMNO yang didedahkan oleh media dengan serba kekeliruan dan fitnah yang dibesar-besarkan. Kemudian timbul pula isu CADANGAN UNTUK MENGADAKAN MUZAKARAH ANTARA PEMIMPIN UMNO DAN PEMIMPIN PAS, kemudian timbul pula topik MUQABALAH, MUBAHALAH YANG DICIPTA OLEH PAKLAH. Isu ini begitu dibesar-besarkan oleh media yang sudah menjadi 'balaci' dan alat kepada UMNO BN.

Alhamdulillah berkat kebijaksanaan kepimpinan kita, isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan lancar tanpa ada berlaku perbalahanan besar di kalangan ahli mahupun di peringkat rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Keputusan yang dibuat ialah 'say no to muazakarah', 'say no way to UMNO', kata orang utara 'tak kelapaq nak bergabung dengan UMNO'. Sebenarnya UMNO yang terhegeh-hegeh kerana kedudukan mereka sudah nyawa-nyawa ikan. Harap-harap nak bertongkat pada PAS atau kot-kot boleh dapat alat bantuan pernafasan di saat-saat mereka tengah nazak. Tapi dah tengah teruk pun tak sedar diri lagi, masih tidak ikhlas, masih lagi mahu buruk-burukan dan fitnah PAS. Akhirnya peluru UMNO satu pun tak mengena malah tersasar jauh. Maka bertambahlah teruk dan kronik penyakit mereka hingga sukar untuk diubati malah tiada ubat langsung kepada UMNO selagi mereka menolak Islam sebagai dasar. Ubat mereka ialah kembali kepada Islam atau pakat-pakat masuk PAS.

Kerjasama dengan Pakatan Rakyat tetap akan diteruskan kerana matlamat yang sama iaitu menegakkan keadilan kesaksamaan dan menumbangkan kezaliman.

Peletakan jawatan Datin Sri Wan Azizah sebagai MP Permatang Pauh adalah suatu yang dijangkakan sebagai memberi laluan kepada suaminya DSAI untuk masuk ke Parlimen seterusnya dengan harapan untuk menerajui negara.

Timbul pula kebimbangan dari kalangan ahli PAS, jika PAS tidak mendominasi pemerintahan sudah pasti cita-cita PAS untuk mendirikan pemerintahan Islam di mana tertegaknya hukum Allah tidak akan terlaksana.

Saya yakin dan pasti kedua-dua Tuan Guru kita sudah ada persedian dan perancangan yang begitu teliti untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan yang berlaku kepada Islam. Pastinya apa pun yang berlaku kita tetap berpegang dengan paksi dan prinsip Islam. Saya yakin, bagi pemimpin kita kuasa dan jawatan tidak akan bermakna jika Islam tidak dapat dilaksanakan dan pastinya setiap tindak tanduk pemimpin kita mengambil kira keridhaan Allah swt. Saya yakin kedua-dua pemimpin yang kita sayangi ini begitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan mereka serta tidak lupa juga bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan kesejahteraan kepada Islam dan umat Islam.

Kesimpulannya, jika kita ambil pengajaran dari peristiwa Isra' Mikraj, kita tidak akan keluh kesah bila berhadapan dengan isu-isu dan keadaan-keadaan yang dirasakan boleh menggugat kedudukan jamaah kita, kerana peristiwa ini adalah suatu perkhabaran dari Allah bahawa Islam pasti akan dipelihara hingga ke hari kiamat. Walau apapun keadaan kita, samada bersama dengan PR ataupun tidak bersama PR, sebagai pejuang Islam kita tetap meneruskan misi yang di bawa oleh baginda Rasulullah saw untuk memperjuangkan dan memenangkan agama Allah di muka bumi ini. Meneruskan dakwah menyeru manusia kepada agama Allah sebagai wadah. Selagi ada hayat, agama Allah tetap diperjuangkan. Samada dalam mentadbir organisasi ataupun menjadi kerajaan kita tidak akan keluar daripada garispanduan wahyu Allah dan prinsip-prinsip Islam walaupun kita terpaksa berhadapan dengan berbagai ujian dan cabaran. Bagi pejuang Islam, ujian dan cabaran adalah sunnah/biasa dalam perjuangan.Hanya mereka yang telah menyediakan hati yang bersih dan ikhlas sahaja yang sanggup berhadapan dengan ujian dan cabaran dan mereka akan kekal dan thabat dalam melaksanakan kerja-kerja ke arah memenangkan Islam.

Kita semua mesti yakin dengan janji Allah bahawa hanya perjuangan yang mengambil Islam sebagai dasar perjuangan sahaja akan kekal dan mendapat pertolongan Allah swt. Tidak mustahil selepas 16 September 08 ini PM Malaysia ialah Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Segala yang mustahil boleh berlaku jika Allah menghendaki kebaikan kepada agamaNya. Yakinlah dengan jaminan dan janji Allah swt!! Islam Pasti Menang!

Takbir!!!

UMMU AHMAD

mujahidah_61@yahoo.com

0 comments: