Wednesday, May 28, 2008

KASIH ALLAH DAN RASUL MENGATASI SEGALA-GALANYA

Pada tanggal 21 Mei 08, jam 11.45 malam di Hospital Ampang, telah kembali ke rahmatullah kakakku yang tersayang. Beliau adalah kakakku yang sulung dari kami 13 belas orang adik beradik.

Almarhumah kakak yang diberikan nama oleh ibu dan ayah sebagai Mahanom dan nama timangan sebagai Chom sahaja dan kami adik-adik di bawahnya hanya mudah dengan panggilan kak Chom Sahaja. Almarhumah kak Chom mula dalam keadaan tidak sihat dan sakit-sakit sejak lebih kurang setahun lalu. Setelah sekian lama keluar masuk hospital doktor mengesyaki beliau mengidap Leukimia kerana kerap kehilangan darah merah pada tubuh beliau. Begitulah keadaan kak Chom keluar masuk hospital sehingga doktor tidak dapat mengesahkan penyakit sebenar beliau.

Kak Chom adalah seorang kakak dan insan yang tabah, sehingga dalam keadaan sakitpun tidak pernah mendengar beliau mengeluh. Begitu juga ketabahan Kak Chom menjaga kami semasa kami kecil-kecil dahulu, menyuapkan kami makan, memandikan kami malah sebahagian tugas ibu diambil alih oleh Kak Chom. Maklumlah ibu yang bersalin kerap, dengan anak-anak yang masih kecil sehingga tidak berkesempatan untuk melihat anak-anak yang lain. Begitu juga Kak Chom yang tabah dengan kehidupan yang susah dengan membesarkan anak-anak dengan pendapatan yang kecil. Tetapi tetap berjaya menghantar anak ke universiti dan segala masalah tidak pernah merungut apatah lagi bercerita dengan orang lain. Segala masalah, dipendamkannya sendiri dalam hatinya.

Terdahulu pada 2 Apr 2007, abangku yang sulung telah menemui ilahi. Abang memang mengidap banyak penyakit sehingga lebihkurang dua bulan beliau dalam keadaan teruk dan tidak lalu makan, terlantar di rumah sehinggalah dia diambil kembali oleh Allah swt di hadapan mataku sendiri.

Ketika itu ibu juga berkesempatan menghantarkan roh abang ke hadhrat Ilahi dengan mengajarkan abang membaca ayat-ayat suci dan abang dapat mengikuti ibu, seolah-olah ibu mengajar kami membaca Alquran semasa kecil dulu. Tidak setitik pun airmata ibu keluar. Betapa tabahnya ibu mengadap keadaan abang yang nazak dan pergi pula meninggalkan ibu buat selama-lamanya.

Setelah itu nama abang sentiasa bermain dibibir ibu. Cerita-cerita semasa abang kecil, bagaimana ibu membesarkan abang dan menyekolahkan abang. Adakalanya ibu sampai tidak berselera untuk makan kerana mengenangkan seorang anak yang disayangi telah meninggalkan ibu.

Dalam masa yang sama keadaan kesihatan ibu semakin menurun. Tubuh ibu ku lihat semakin susut.

Setiap pagi di rumahku lah tempat ibu mengadukan apa jua permasalahan ibu termasuk masalah kesihatan beliau.

Dalam masa yang sama juga aku tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada ibu kerana kesibukanku dengan kerja-kerja jamaah dan waktu hampir PRU 12. Aku terpaksa sering tinggalkan ibu, mula-mula ke muktamar di PUTIK. Aku berjanji dengan ibu hanya pergi sekejap sahaja. Sering juga aku yakinkan ibu yang kerja-kerja yang kulakukan ini adalah kerja-kerja jihad dan ibu hanya mengangguk-anggukkan kepala. ' Kalau yam buat kerja Islam ni, mak juga dapat sahamnya.' Ibu hanya menjawab, ' kalaulah mak muda nak ikut kemana-mana macam kamu juga'. Begitulah semangat ibu.

Kepulanganku dari muktamar disambut oleh ibu dengan wajah ceria. Seperti biasa ibu pasti menyelongkar beg pakaiaian ku kalau-kalau aku ada bawa buah tangan untuknya. Aku hanya berkesempatan membeli buah mempelam siam sahaja. Itupun tetap jadi perhatian ibu, dibawanya dua, tiga biji pulang. Sebenarnya ibu mengidap gastrik yang pantang memakan buah-buahan yang berasid seperti mempelam dan mangga.

Selepas itu sakit ibu nampak semakin kuat, bilamana aku akan ke Kemboja pada 7 Jun 07, beliau memberitahuku ingin ke rumah kakakku Salmah di Gombak. ' Kalau mak dah sihat nanti mak balik sini.' Ujar ibu. Aku hanya mengiyakan kata-kata ibu kerana itu pilihannya.

Masa berlalu, persiapan PRU 12 semakin rancak, setiap malam ada mesyuarat samada di Peringkat Halwa mahupun MTD. Jarang-jarang sekali aku dapat jenguk ibu. Dari rumah anak yang satu ke rumah anak yang satu lagi. Permintaan ibu diikutkan saja oleh adikberadik ku. Rumah yang akhir adalah rumah Kak Chom. Ketika ibu di rumah Kak Chom, sering bertanyakan aku. Berita yang ibu tenat beberapa kali dihantar oleh kakak-kakak ku, tapi tak kesampaian pula nak tinggalkan mesyuarat yang rasanya penting. Bila habis mesyuarat terasa ingin melihat ibu tapi waktu sudah tengah malam. Pastinya kekangan dari suami untuk keluar dari rumah di waktu tengah-tengah malam.

Dalam tempoh ibu di rumah Kak Chom aku hanya dapat jenguk ibu dua kali sahaja. Kali terakhir, aku dapat membawa ibu ke klinik. Itulah kali terakhir aku pimpin tangan ibu. Ibu diberi rawatan inhaler, iaitu bantuan pernafasan kerana pernafasan ibu tersekat kerana terlalu banyak lendir. Ketika itu ibu masih boleh berjalan lagi. Ku bawa ibu pulang ke rumah Kak Chom. Dia seolah-olah ingin mengikutku pulang ke rumahnya. Oleh kerana ibu kelihatan terlalu lemah, adik-beradikku tidak mengizinkan ibu pulang.

Aku terpaksa pulang juga walaupun ibu nampak berat untuk melepaskan aku pergi. Aku berjanji dengan ibu, ' selepas hantar mastura ke Kelantan, yam ambik mak ye.' Tiada respon darinya.
Kebetulan aku terpaksa menghantar anak ketiga ku untuk mendaftar di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri Kelantan. Ketika itu tanggal 26 Jun 07.

31 Jun 07 satu program besar yang dirancangkan pada hari tersebut iaitu Makan Malam Bersama Pemimpin untuk mencari dana untuk menghadapi PRU 12, yang mana aku mengetuai Halwa yang telah ditugaskan untuk memasak dan seolah-olah tulang belakang program tersebut.

Alhamdulillah program berjaya! Walaupun kehadiran tidak mencapai taget kami, tapi kutipan melebih dari taget kerana sebelum program tersebut kupon-kupon telah diedarkan dan dijual dengan jumlah yang banyak.

Rasa hilang penat kerana program berjaya. Selesai program, aku bersama petugas-petugas lain terus mengemaskan tempat program sebelum masing-masing pulang. Sebentar lagi aku pula akan bertolak ke Kelantan untuk menghantar anakku mendaftar di IPT Nilampuri.

Jam 1.30 pagi 1 Jul 07 kami sekeluarga bertolak ke Kelantan. Mataku sedikitpun tak mengantuk. Anak-anak di belakang semuanya lena belaka. Perjalanan ke Kelantan melalui Kuala Lipis dan Gua Musang memang tidak ada liputan telefon bimbit. Hati ini berkata-kata, apa khabar ibu?' Aku berdoa semuga ibu sihat dan aku berkesempatan berjumpa ibu selepas balik dari Kelantan nanti. Hampir sampai ke Gua Musang selepas Merapoh, aku menerima sms. Rasa berpinau mataku, rasa akan runtuh dadaku, rasa tak terjejak kakiku ke bumi bila membaca sms dari adik iparku Mokhtar Rozaidi bahawa ibu telah kembali mengadap Ilahi. Pergi buat selama-lamanya hingga tidak akan bertemu lagi di dunia ini. Kecuali diizinkan di akhirat nanti.

Aku bergegas patah balik, hajatku untuk memandikan jenazah ibu. Tapi hajatku tak kesampaian, sesampainya aku di rumah Kak Chom jenazah ibu telah selesai dimandikan. Pada mulanya ingin sahaja aku menangis semahu-mahunya tapi setelah melihat wajah ibu yang berseri dan tersenyum, aku terus batalkan niatku dan memeluk jenazah ibu dan mencium wajahnya sepuas-puasnya.

Demikianlah tiga orang yang aku sayangi dalam hidupku telah pergi mengadap Ilahi. 2 Apr 07 abangku, 1 Jul 07 ibuku dan 21 Mei 08 kakakku. Apa yang ingin ku kongsikan di sini ialah ketiga-tiga mereka tidak dapat perhatian sepenuhnya dariku. Jarang sekali aku dapat ziarah mereka semasa mereka sakit oleh kerana kesibukanku dengan tugas-tugas dakwah. Pun begitu, aku tidak menyesali apa yang berlaku. Semua kita adalah hak milik Allah, yang dipinjamkan sementara kepada kita. Walaubagaimana sayangpun kita kepada mereka, kasih sayang kepada Allah dan Rasul tetap menjadi keutamaan kepada kita dan mesti diletakkan di atas sekali.

Moga Allah merahmati ketiga-tiga roh orang-orang yang ku kasihi dan meletakkan roh mereka bersama golongan mukminin dan solihin.

Mudah-mudahan airmata kesedihanku dalam menghadapi ujian dari Allah swt ini, sehingga ketiga-tiga orang yang aku sayangi di ambil oleh Allah swt dalam waktu yang terdekat dan dalam masa yang sama kesibukanku dalam tugas-tugas dakwah dan kerja-kerja Islam dibayar oleh Allah swt dengan keampunanNya dan keredhaanNya kepada ku.

Moga Allah memberi pertolongan dengan memudahkan segala urusan serta menjadikan aku istiqomah dalam menegakkan kalimahnya.

Allahu Akbar!

Ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

Friday, May 23, 2008

JANGAN AMBIL SIKAP TUNGGU DAN LIHAT

Tahun 2008 telah mencatatkan berbagai peristiwa besar kepada kepada kita. Di antara yang terbesar dari yang besar ialah kekalahan teruk BN di lima negeri. Hasil dari kerjasama yang erat dan pakatan yang baik, parti-parti komponen kerajan lima negeri telah menamakan dengan Pakatan Rakyat.

Setelah dua bulan lebih memerintah, nampaknya Pakatan Rakyat dilihat semakin mantap dan kukuh.Maka gagallah segala usaha UMNO/BN yang mengembar-gemburkan isu Melayu dan perkauman kepada rakyat Malaysia. Malah rakyat Malaysia dilihat semakin cerdik dan matang dalam bertindak dan menilai sesuatu. Peristiwa 13 Mei pastinya tidak akan berulang.

Media milik UMNO/BN yang saban hari menyiarkan propaganda fitnah kepada pemimpin PR, rupa-rupanya gagal menarik perhatian sebahagian besar rakyat Malaysia malah rakyat Malaysia semakin jemu dan muak dengan gelagat-gelagat pemimpin UMNO/BN yang menyalahgunakan ruang media untuk kepentingan peribadi mereka.

UMNO SEMAKIN GOYAH PR SEMAKIN KUKUH

UMNO dengan slogan ' BERSATU ' dilihat semakin goyah dengan berlakunya perpecahan dalaman di semua peringkat dari pemimpinnya hinggalah ke ahlinya. Masing-masing salah menyalah di antara satu sama lain. Inilah sebabnya Rasulullah saw melarang perjuangan
' assobiah' iaitu perjuangan yang berteraskan bangsa yang pastinya tidak akan dapat rahmat dan keberkatan dari Allah swt.

UMNO umpama pokok yang reput akar tunjangnya hanya menanti saat untuk tumbang atau sebuah kapal yang bocor yang dipenuhi air yang hanya menunggu saat untuk tenggelam dan lenyap. Pastinya perjuangan yang tidak berteraskan Islam tidak akan bertahan.

Berbeza dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), perjuangannya adalah atas dasar Islam dan matlamat Islam untuk mendaulat hukum dan syariat Allah swt. Sebab itu ajaran Islam mengajar kita bekerjasama dengan sesiapa yang berpaksikan kebenaran dan menegakkan keadilan walaupun berlainan ideologi. Apa yang kita lihat kerajaan PR semakin kukuh kerana matlamat yang sama iaitu untuk merobohkan kezaliman UMNO/BN.

PERPECAHAN UMNO SEMAKIN PARAH

Perpecahan UMNO semakin parah bilamana kita telah dikejutkan dengan satu lagi peristiwa besar dan bersejarah di mana Tun Dr Mahathir mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO.
Beberapa hari berikut isteri dan anak beliau mengikuti jejak langkah beliau. Media yang sebelum ini banyak menyiarkan propaganda kepada pembangkang telah beralih angin kepada berita pergaduhan UMNO sesama mereka. Apa dah jadi???

MENANTI KERAJAAN BN PINDAH KE KERAJAAN PR???

Dalam masa yang sama, ramai penyokong-penyokong PR menunggu dan mengharapkan adakah berhasil usaha DSAI, apakah benar-benar 30 orang MP Sabah akan menyeberang kepada PR dan ketika itu berubah segala-galanya termasuk PR boleh memerintah Malaysia? Terdengar persoalan-persoalan siapakah yang akan jadi PM? Masa berlalu dan habis hanya membincangkan perkara yang dah pasti iaitu UMNO berpecah dan perkara yang belum pasti PR memerintah Malaysia.

JANGAN AMBIL SIKAP TUNGGU DAN LIHAT

Dari peristiwa demi peristiwa yang berlaku, saya mencadangkan kita mesti mengambil kesempatan dari apa yang berlaku dan bersikap proaktif segera seperti berikut:-

1. Bagi kita ahli PAS dan pendokong gerakan Islam, mesti balik kepada aktiviti teras dan asal kita serta utama kita iaitu memantapkan tarbiyah dan mengukuhkan jamaah kita.
2. Kempen menambah ahli termasuk mengambil kesempatan menarik ahli UMNO dan membanyakkan cawangan PAS dan Kelab Penyokong PAS.
3. Program-program bersama rakyat mesti dilipatgandakan, memasyarakatkan PAS, ambil tahu kebajikan ahli dan rakyat yang Islam serta bukan Islam.
4. Tingkatkan kerjasama dengan Badan-badan bukan kerajaan dan NGO
5. Kritik dan tegur kesilapan pemimpin khususnya negeri PR memerintah supaya tidak berlarutan melakukan kesilapan.
6. Imarahkan masjid dengan program-program kebajikan dan ilmiah.
7. Lebarluaskan dakwah Islam dengan program-program keagamaan terutama di kawasan Melayu yang PR kalah. (Melayu tidak ampuh dengan kempen ekonomi, mereka akan berubah kecuali memahami ajaran Islam sebenar)

PENUTUP

Di samping kita sibuk dengan pembahagian jawatan dalam kerajaan negeri yang kita menang, jangan lupa asal kita dengan program-program sebelum kita menang, usrah-usrah, program-program cawangan mesti diaktifkan dan dirancakkan. Di sini saya pinjam ungkapan Tuan Guru Presiden, 'Kuatkan Jamaah, Tugas Kita Jaga Jamaah Baik-Baik'. Satu lagi ungkapan Tuan Guru Presiden yang selalu saya dengar dalam ucapan-ucapan beliau ialah, ' Jangan sampai kita di tapis oleh Allah swt' maksudnya disingkir atau terkeluar dari jamaah, Na'uzubillah. Saya tidak akan lupa ungkapan Tuan Guru ini.

Kita mesti teruskan tugas asal kita iaitu meneruskan kerja-kerja Islam, mengukuhkan jamaah dan ambil peluang terbaik dari perpecahan yang berlaku pada UMNO. Rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan jangan hanya berpeluk tubuh jadi penonton sahaja atau ambil sikap tunggu dan lihat sahaja. Kelak nanti nikmat kemenangan yang kita rasai ini akan jadi sesuatu yang bersifat sementara sahaja untuk kita dan kita akan hadapi kekalahan pada PRU akan datang. Na'uzubillahi min zaalik

Sesuatu untuk kita muhasabah bersama!!

Allahu Akbar!!!

UstazahMariam