Wednesday, October 22, 2008

SAMBUT HARIRAYA: JANGAN SAMPAI KITA KALAH DALAM MENANG

Di musim-musim ini, masyarakat yang rata-rata begitu ghairah dengan sambutan idulfitri dan rumah-rumah terbuka samada dari rakyat biasa, organisasi kecil, jabatan-jabatan hinggalah ke peringkat pemimpin negeri mahupun negara. Tidak ketinggalan juga parti-parti politik dalam negara mengadakan sambutan dengan mengadakan rumah terbuka idulfitri.

Hariraya bagi umat Islam adalah hari kemenangan setelah menjalani latihan intensif ke atas jiwa-jiwa mengikut peraturan yang telah ditentukan oleh Allah swt dalam Al quran. Bulan Ramadhan yang di dalamnya kita berpuasa sebenarnya bulan mendidik jiwa-jiwa ke arah pengabdian diri kepada Allah secara mutlak. Pada malam harinya kita sibuk mendirikan malam dengan solat tarawih dan dianjurkan juga bersedekah dan membaca Al Quran. Bulan Ramadhan adalah bulan tawaran istimewa untuk membeli syurga dengan amal ibadah yang ikhlas. Kejayaan menjalani Ramadhan ini akan terhasillah iman yang mantap serta iltizam yang kuat untuk memperjuangkan hidup semata-mata kerana agama dan untuk agama.

Dalam sejarah, bulan Ramadhan tentera Islam meraih kemenangan yang besar dalam peperangan badar walaupun jumlah tentera Islam begitu kecil tetapi atas kesungguhan dan iltizam Rasulullah dan para sahabat, Allah menurunkan pertolongan untuk mendapat kemenangan.

Sepatutnya begitulah kita sebagai anggota gerakan Islam yang mengakui kita memperjuangkan Islam janganlah dengan keghairahan menyambut hariraya dan mengadakan rumah-rumah terbuka melupakan kita kepada matlamat tarbiyah Ramadhan yang baru kita lalui. Sepatutnya hasil dari kemenangan tarbiyah Ramadhan kita akan lebih fokus kepada memperjuangkan Islam dan bekerja ke arah memartabatkan Islam.

Dengan kesibukan kita ahli gerakan Islam menyambut raya apatah lagi raya tahun ini yang kita sambut seolah-olah juga meraikan kemenangan cemerlang Pakatan Rakyat sehingga dapat memerintah lima negeri. Bagi kita ahli dan pendokong gerakan Islam, janganlah ujian kemenangan yang sedikit Allah turunkan kepada kita menyebabkan kita kalah dalam menang dan lupa asal kita semasa kita belum menang dulu.

Kita mesti berpegang bahawa Parti yang menguatkan kerajaan dan menguasai kerajaan dan bukan kerajaan menguasai parti. Kebimbangan saya timbul apabila melihat suasana kita meraikan kemenangan hingga dilihat tumpuan ahli kebanyakannya kepada pentadbiran kampung, program-program kampung di balai-balai raya dan dewan-dewan yang sudah dapat dikuasai sehingga markaz-markaz dilihat lesu dan sunyi. Usrah-usrah dan kuliah haraki sudah mula dilupakan.

Janganlah kita dialpakan dengan kemenangan dan jawatan-jawatan kerajaan yang dipegang. Bagi yang dilantik memegang jawatan dan diberi peranan dalam kerajaan negeri, anggaplah jawatan yang diamanahkan sebagai pemudah jalan kepada kita untuk menjalankan kerja-kerja Islam dan memacu Islam supaya Islam dapat di tempatkan pada kedudukan yang teratas sekali.

Sedarkah kita bahawa UMNO sekarang berhempas pulas untuk mengambil semula negeri Pakatan Rakyat terutamanya negeri Selangor yang kaya ini. Sebelum kita pergi jauh dan lupa kepada matlamat perjuangan kita iaitu memperjuangkan agama Allah, mari kita kembali kepada menghidupkan semula program-program jamaah seperti usrah, tamrin liqa ul fikri, kuliah haraki, qiamullail, iftar jamaie dan lain-lain program yang memantapkan ahli dan menguatkan parti. Markaz-markaz hendaklah dihidupkan semula dan program-program kampung (jkkk) mestilah di bawah pemantauan cawangan dan kawasan. Apa yang berlaku ialah kesibukan dengan jkkk dan jpd menyebabkan tenggelamnya cawangan.

Kesimpulannya, masih belum terlambat lagi bagi kita ahli gerakan Islam (PAS) untuk kembali kepada konsep perjuangan kita yang sebenar. Kita mesti bekerja keras sepertimana sebelum kita mendapat kemenangan. Kesempatan dari kemenangan kita ambil untuk melebarluaskan dakwah kita kepada seluruh masyarakat supaya kita mendapat tempat di hati masyarakat yang faham kepada agama. Begitu juga program kebajikan sebagai agenda utama mendekati masyarakat dan dalam masa yang sama usaha menambah ahli dan cawangan mesti dipertingkatkan. Begitu juga dengan Organisasi Pilihanraya seperti MTD DAN JPRK mestilah terus diaktifkan supaya tidak berlaku gerakerja pilihanraya yang last minit. Usaha mendaftarkan pemilih baru juga mesti ditingkat lebih-lebih lagi di kalangan penyokong PR.

Tahukah kita bahawa gerakerja PRU telah dimulakan oleh UMNO sekarang. Jadi ingatlah kita jangan sampai kita terlepas dan melepas pada PRU 13 nanti. Kalau cadangan-cadangan saya di atas telah kita mulakan atau kita mesti mulakan berkuatkuasa sertamerta, kita akan dapat negeri-negeri lain selain dari 5 negeri dan insyaallah boleh memerintah Malaysia.

Perpecahan dan masalah dalaman UMNO dan BN di semua peringkat, perlu diambil kesempatan untuk mengetengahkan serta memahamkan masyarakat tentang kebenaran yang kita perjuangkan supaya rakyat mudah menerima kita.

Kepada Allah jualah kita berdoa moga memelihara agamaNya dan jamaah kita serta memberi pertolongan kepada mereka yang memperjuangkan agamaNya dengan ikhlas.

Allahu Akbar!

Ummu Muaz

mujahidah_61@yahoo.com

0 comments: