Friday, September 19, 2008

RAMAINYA ORANG MISKIN DI NEGERI SELANGOR YANG MAJU

Seperti biasa bila tiba sahaja bulan Ramadhan, masyarakat Islam berlumba-lumba melakukan kebajikan. Selain dari mengunjungi masjid dan surau untuk solat sunat tarawikh, bulan ramadhan juga diambil kesempatan untuk melakukan amal kebajikan lain seperti menderma dan bersedekah. Maka kita akan lihat semua golongan termasuk artis-artis juga tidak ketinggalan dengan aktiviti-aktiviti kebajikan seperti meraikan anak yatim dan fakir miskin.

Bagi saya dan sahabat-sahabat kerja-kerja amal ini telah kami jalankan secara berterusan sebelum bulan Ramadhan lagi. Lebih-lebih lagi selepas kerajaan PR memerintah Negeri Selangor, kami mula membuka kaunter-kaunter maklumat rakyat untuk mengambil bancian dan maklumat terperinci penduduk supaya bantuan dari kerajaan negeri dapat disalurkan kepada mereka yang berlayakan.

Kami muslimat telah membuka kaunter maklumat rakyat bermula dari bulan Mei lagi. Ternyata tindakan kami ini mendapat sambutan dari penduduk setempat. Mereka seolah-olah terlalu mengharap sangat bantuan daripada kerajaan negeri yang baru. Berbagai luahan yang kami dengar dan ternyata sememangnya ramai rakyat yang miskin dan melarat.

Kesempatan bulan Ramadhan ini juga diambil oleh Ahli Majlis MBSA zon 23 Ustazah Mariam Abdul Rashid untuk menyampaikan bantuan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Penyampaian dilakukan melalui program yang berbeza, selain dari menghantar bantuan dari rumah ke rumah, sumbangan juga disampaikan melalui program-program yang dianjurkan di bawah anjuran Ahli Majlis Zon 23 MBSA ini. Bermula sumbangan disampaikan pada Program Forum Perdana Di Ambang Ramadhan pada 29 Ogos 2008, penyampaian dari rumah ke rumah, juga pada program berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan yang diadakan pada 17 Sep 2008. Apa yang saya ingin menarik perhatian di sini ialah, setiap sumbangan pada program-program yang berbeza dan adalah dari penerima yang berbeza, bukan penerima yang sama.

Apa yang yang saya ingin kongsikan melalui pengalaman saya di sini ialah semasa saya menyampaikan sumbangan tersebut, yang hadir menerima sumbangan sememangnya dari golongan yang benar-benar susah dan dhaif bilamana saya rasa agak tersentuh bila ada penerima sumbangan yang memakai baju koyak dan berpakaian dengan pakaian yang lusuh. Begitu juga menurut sahabat-sahabat yang pergi dari rumah ke rumah, ada di kalangan yang kami ziarah dalam keadaan terlantar dan apabila kami menyerahkan bantuan dan sedikit wang tunai, penerima tersebut mencium wang tersebut, seolah-olah tidak pernah memegang wang sebelum ini.

Pada 20 Ogos 2008 pula Dewan Muslimat Pas Kawasan Subang menganjurkan program tadarus perdana. Di samping program tersebut, penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan ibu tunggal turut diadakan. Sebelum program diadakan, kami terlebih dahulu mengambil maklumat penerima sumbangan daripada cawangan-cawangan dan kami akan pastikan penerima sumbangan mestilah mereka yang tidak menerima apa-apa bantuan dan sumbangan sebelum ini. Kami menerima jumlah penerima sumbangan yang begitu besar iaitu lebih seratus orang.

Persoalannya kenapa baru kini , setelah kerajaan PR memerintah, kita dapati di negeri Selangor ini ramai golongan yang susah dan miskin? Ternyata kerajaan UMNO BN di bawah teraju Khir Toyo gagal menangani masalah rakyat. Malah mereka tidak langsung mengambil berat masalah dan penderitaan rakyat. Mereka hanya pentingkan diri dan perut mereka sahaja. Biar rakyat menderita asalkan mereka mewah dan kaya.

Sebenarnya rakyat telah bergelut dengan masalah ini sejak UMNO BN memerintah Malaysia ini lagi. Alhamdulillah, kemenangan yang Allah pinjamkan kepada PR, memudahkan kita untuk mendekati rakyat yang sekian lama menderita dan tertindas ini. Program-program kebajikan dan kemasyarakatan perlulah diteruskan dan dipertingkatkan.

Bagi kerajaan Pakatan Rakyat, kita harus menerima amanah ini dengan mengembalikan hak rakyat yang sekian lama telah dinafikan oleh kerajaan UMNO BN supaya PR terus mendapat tempat di hati rakyat dan memberikan sokongan dan kepercayaan kepada PR untuk terus memerintah Selangor ini khususnya dan Malaysia amnya.

UMMU MUNZIR

mujahidah_61@yahoo.com

0 comments: