Sunday, November 9, 2008

ANTARA HASRAT DAN CITA-CITA YANG TERCAPAI



Sekian lama dalam dunia dakwah, saya menyimpan satu hasrat dan cita-cita kiranya saya dapat Islamkan orang bukan Islam seumur hidup saya walaupun seorang dan kiranya ramai lebih baik lagi.

Tanggal 9 Nov 08, cita-cita dan hasrat saya tercapai bila saya mengajar seorang rakan dari kaum India beragama Hindu mengucap dua kalimah syahadah dan menyatakan keyakinannya kepada Islam.

Program Sembang-Sembang Remaja yang dianjurkan oleh MPP Zon 23 Majlis Bandaraya Shah Alam melakar sejarah kepada Ahli Jawatankuasa MPP Zon tersebut bila salah seorang dari AJK MPP yang beragama Hindu memeluk Islam pada hari tersebut.

Sebenarnya AJK yang kami panggil dengan nama Saravanan sememangnya sudah berminat kepada Islam. Perkenalan saya dengan beliau bila beliau menghubungi saya untuk membuat aduan tentang kes demam denggi di tempat beliau dan memohon supaya saya mengajukan permohonan beliau ke pihak MBSA untuk mendapat perasapan nyamuk di tempat beliau. Pertama kali saya mengenali beliau sebagai seorang peramah dan berterus terang serta suka kepada kerja-kerja kebajikan. Berkebetulan dalam masa yang sama salah seorang AJK MPP saya dari kaum India mewakili Ladang Elmina telah meletakkan jawatan. Oleh kerana saya memerlukan kaum India untuk berada dalam jawatankuasa MPP saya, saya menawarkan En Saravanan untuk bersama rakan-rakan lain sebagai Jawatankuasa MPP zon 23.

Beliau sering menceritakan minat beliau kepada Islam dan sering menyatakan kepada saya bahawa Tok Guru beliau ialah Ust Wan Ji. Saya memang mengenali dan rapat dengan Ust Wan Ji. Kami sering berbincang tentang pendekatan-pendekatan dakwah kepada non muslim supaya tidak tersilap langkah dalam dakwah kami dan mendedahkan kepada non muslim bahawa agama Islam bukan agama menghukum dan sebenarnya Islam adalah agama yang mudah dan indah.

Pada bulan Ramadhan yang lalu Saravanan belajar berpuasa dan tinggal puasa hanya sehari. Pada hari raya kedua beliau menghubungi saya adakah perlu diganti puasa yang tinggal malah beliau berpuasa enam pada bulan Syawal. Saya tidak pernah memaksa beliau untuk memeluk Islam walaupun beliau selalu menghubungi saya menanyakan tentang Islam.

Pada 8 Nov 08, beliau telah menghubungi saya dan menyatakan bahawa beliau telah bermimpi berada dalam masjid dan membaca Alquran sedang saya berada di sisinya. Menurutnya ada seorang lelaki berjubah memberitahu bahawa beliau tidak boleh membaca Alquran selagi tidak memeluk Islam. Katanya, dalam mimpi tersebut saya lantas menjawab dia akan memeluk Islam tidak lama lagi. Kerisauannya bertanya kepada saya tentang alamat mimpinya kepada saya. Jawapan saya ialah, ini adalah petunjuk dari Allah dan alamat yang baik. Dia menyatakan bahawa tidak sabar untuk berjumpa dengan saya untuk belajar agama Islam. Saya memberikan tarikh hari Isnin 10 Nov 08, insyaallah akan ajarkan beliau mengucap dua kalimah syahadah.

Takdir Allah menentukan beliau memeluk Islam sehari awal. Rupanya perkara memeluk Islam ini seolah-olah sama dengan saat bayi yang akan lahir atau tibanya ajal. Kita tidak dapat tentukan saat dan masa tibanya petunjuk dan hidayah Allah swt. Beliau telah melafazkan kalimah syahadah setelah saya tulis di atas kertas dan ajarkan menyebutnya di hadapan beberapa orang sahabat dan adik-adik Nisa' hanya di bawah khemah urusetia program sahaja. Kami pakat-pakat menitiskan airmata, bila saya katakan pada beliau, ' Sekarang kita sudah jadi saudara'. Beliau begitu nampak terharu sekali dan nyatakan keyakinan beliau kepada Islam.

Mudah-mudahan Allah swt beri pertolongan dan kekuatan kepada saya untuk membimbing beliau malah hasrat dan cita-cita saya sehingga beliau akan jadi pejuang agama Allah swt. Mudah-mudahan ramai lagi yang akan mengikuti jejak langkah beliau. Inilah kelebihan adanya Kelab Penyokong Pas dan Pakatan Rakyat.


Ummu Abdul


mujahidah_61@yahoo.com

1 comments:

aTie said...

Assalamualaikum Ustazah..
Terima kasih kerana telah berjaya membawa salah seorang sahabat kami ke jalan Allah......
Patutlah dia selalu cakap Ustazah ni Kakak Angkat Dia.....
Alhamdulillah........
Cuma lepas ni mungkin cabaran yang harus dia lalui berat sikit...
Kami akan bersama Ustazah dan Ustaz untuk meringankan bebannya....

a&a