Tuesday, July 22, 2008

PERTEMUAN PEMIMPIN PAS DAN UMNO TIDAK JEJAS HUBUNGAN PAKATAN RAKYAT DI SEMUA PERINGKAT

Sekembali saya dari Ibadah Umrah Tarbawi macam-macam isu yang didengar dalam negara. Semasa di tanah suci memang kami ketandusan maklumat kerana ruang untuk acces internet begitu terhad. Kalau adapun pada talipon bimbit sahaja yang kadang-kadang jem dan buat hal juga. Apa yang mampu dilakukan hanya menghimpun doa dan munajat moga Allah kuatkan hati pejuang-pejuang Islam di tanahair yang sedang menghadapi berbagai ujian, mehnah dan tribulasi.

Lama tidak mengadap blog, bila saya buka blog-blog sahabat-sahabat dan webmaster tranungkite berbagai respon, pandangan dan kritikan tentang pertemuan antara pemimpin pas dan pemimpin UMNO. Saya rasa saya ingin jadi nasi tambah kepada respon-respon tentang isu ini, walaupun mungkin pandangan saya tidak sebernas bloggers-bloggers lain. Tapi hasil pengalaman saya yang berhadapan dengan ahli dan rakyat di peringkat akar umbi, rasa perlunya saya kongsikan pengalaman ini.

MARI KITA SOROT KEMBALI KEMENANGAN PAKATAN RAKYAT

Pada PRU 12 yang lalu parti-parti yang berlawanan dengan UMNO BN begitu berhempas pulas untuk menjatuhkan kerajaan UMNO BN. Dari pemimpinnya hinggalah ke ahli dan petugas biasa. Dalam kempen-kempen kita seringkali di 'hinghlight' kan kepada rakyat tentang kebobrokan, penyelewengan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh UMNO BN. Bermula dengan seleweng sistem kehakiman, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan juga ketidak keruan dalam mengawal harga barang terutama menaikkan harga minyak tanpa mengkaji kesan dan implikasi kepada rakyat jelata. Jelas UMNO BN di bawah kepimpinan Pak Lah begitu lemah dalam mengurus tadbir negara. Kebanyakkan pemimpin UMNO BN pula buat Malaysia ni macam mak bapak mereka punya, ikut suka hati mereka apa sahaja yang ingin mereka lakukan. Dari jentera kerajaan sampailah harta kerajaan, mereka gunakan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam ucapan-ucapan dan ceramah pemimpin kita begitu berkobar dan bersemangat untuk jatuhkan UMNO BN, atau sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga ataupun menurunkan keangkuhan pemimpin UMNO BN yang rakus dan serakah.

Alhamdulillah, tanggal 8 Mac 2008 mencatat sejarah negara kita di mana UMNO BN tumpas di beberapa negeri dan kita dapat nafikan majoriti dua pertiga di parlimen.
Tanpa ada perselisihan yang besar, ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP dapat bergabung untuk membentuk kerajaan negeri terutama di negeri Perak dan Selangor.
Maka tercapailah matlamat dan menjadi kenyataan ucapan-ucapan pemimpin kita sebelum PRU 12 dan semasa kempen PRU 12.

KEMENANGAN PR MERENCATKAN PENYELEWANGAN DAN KERAKUSAN BN

Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya ditubuhkan, maka terlantiklah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) hasil dari perbincangan ketiga-tiga parti komponen. Pembahagian dilihat begitu adil dan masing-masing boleh menerima keputusan perbincangan dan tidak ada ketidakpuasan hati yang timbul samada di peringkar pimpinan mahupun ahli biasa.

Pengambilalihan kerajaan ini jelas merencatkan kerakusan dan penyelewengan UMNO BN terutama di negeri Selangor yang dikatakan negeri yang terkaya dalam Malaysia ini.
Sebelum ini kedengaran ketidakpuasan hati pemimpin parti-parti politik pembangkang dengan cara mantan Menteri Besar Selangor memimpin negeri Selangor. Terbukti kesempatan memerintah Selangor diambil oleh Khir toyo untuk mengaut kekayaan yang ada dalam negeri Selangor ini. Laporan demi laporan diajukan kepada BPR yang telah dilakukan oleh beberapa pihak tentang kerakusan dan penyelewengan Khir Toyo tapi jelas tiada apa-apa tindakan yang diambil.Semakin lama Khir Toyo memerintah semakin kayalah beliau dan kroni-kroninya.

Bila UMNO BN dan Khir Toyo dapat di jatuhkan banyak perkara dapat diselamatkan terutama harta dan hak rakyat.Ini suatu kejayaan besar!!

KEMENANGAN BANYAK MEMBERI KEMUDAHAN

Kejatuhan UMNO BN di Negeri Pakatan Rakyat khususnya di Selangor banyak memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat, khususnya aktivis dan ahli dari kalangan Pakatan Rakyat. Bermula dengan kemudahan menggunakan dewan-dewan orang ramai, balairaya dan mimbar-mimbar masjid yangmana sudah boleh digunakan untuk dimanfaatkan oleh rakyat yang selama ini disekat hak mereka oleh Regim Khir Toyo.

Bagi PAS ruang dakwah kepada masyarakat begitu terasa mudah tanpa sekatan kerana kerajaan sebelum ini begitu menyekat ruang dakwah dan menyempitkan program-program keagamaan supaya rakyat menjadi jahil. Sesuatu yang mesti kita syukuri!! Kepada mereka yang diberi amanah memegang jawatan agama perlu lihat ruang dan peluang ini untuk memaksimakan kerja-kerja menyampaikan Islam kepada mereka yang beragama Islam khususnya orang Melayu.

Tidak ketinggalan juga tugas cegah mungkar sebagai melaksanakan perintah Allah dalam Alquran. PAS yang diberi peranan dan amanah memegang potfolio agama mestilah berperanan sebagai penutup ruang-ruang kepada mungkar berlaku dalam negeri kita. Jika rakan-rakan tersilap, PAS lah sebagai penegur dan bukan mengambil sikap membisu dan membiarkan mungkar berlaku dan berlalu begitu sahaja.Pada pandangan saya sekiranya kita mengambil sikap tegas dalam masa yang sama menjelaskan serta memahamkan rakan-rakan kemungkinan mereka boleh menerima. Apa guna menang dan apa gunanya kuasa jika Islam tidak terserlah.

BEZA PANDANGAN

Perbezaan pandangan tetap berlaku lebih-lebih lagi hubungan Pakatan Rakyat terlalu muda usianya. Mana mungkin persefahaman dapat dicapai seratus-peratus dalam waktu yang singkat.Malah perbezaan pandangan tetap wujud dan akan berterusan cuma bagaimana kita dalam PR merai dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut supaya hasilnya membawa kebaikan kepada kerajaan PR. Dalam Al Quran juga Allah berfirman yang bermaksud: SEKIRANYA AKU JADIKAN MANUSIA ITU SAMA MAKA AKAN HANCURLAH BUMI INI. Sebenarnya beza pandangan adalah sesuatu yang sihat jika kita fikir dari sudut positifnya. Sabda Rasulullah SAW: KHILAF DI KALANGAN UMATKU ADALAH SUATU RAHMAT.
Bagi PAS beza pandangan tidak ada masalah asalkan tidak keluar dari Prinsip-prinsip Islam yangmana perkara ini sudah menjadi asas kepada perjuangan PAS sebagai Gerakan Islam di Malaysia.

BEZA PANDANGAN JANGAN SAMPAI UNTUNGKAN UMNO/BN

Kejayaan PR bergabung dan menubuhkan kerajaan adalah sesuatu yang mesti kita mantapkan dan kukuhkan. Sepertimana kenyataan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, hubungan antara Pakatan Rakyat akan berterusan dan perlu dikukuhkan.

Justeru itu janganlah kita cepat melatah dengan beberapa isu yang boleh dibincangkan lagi terutama isu melibatkan tindakan dari rakan-rakan PR yang dilihat mencemar etika moral dan akhlak Islam. Bagi PAS yang faham Islam tunjukkan ketegasan dan fahamkam rakan-rakan dengan penuh hikmah. Tidak dinafikan memorandum itu penting sebagai tindakan awal menunjukkan ketidak setujuan PAS kepada sesuatu tindakan yang melanggar prinsip Islam.

Percanggahan pendapat jangan sampai merenggangkan hubungan PR. Sesuatu isu yang bercanggah mesti dicari jalan penyelesaian terbaik terutama mereka yang diberi kuasa berbincang di peringkat atasan supaya mendapatkan suatu kata putus terutama perkara yang berkait dengan Islam.

Sebagai ahli di peringkat bawahan jangan cepat bertindak dan melatah kerana kelak tindakan kita akan merugikan PR dan menguntungkan UMNO BN.

PERTEMUAN PEMIMPIN PAS DENGAN PEMIMPIN UMNO

Kenyataan Paklah tentang pertemuan tersebut adalah sebagai perangkap kepada PR khususnya PAS. Pada pandangan saya tindakan pemimpin PAS itu bukanlah sampai untuk bergabung dengan UMNO. Pertemuan ini dilakukan kerana pemimpin Pas merasakan ada perkara besar dan utama yang perlunya bersemuka dengan pemimpin UMNO iaitu isu kepentingan Islam itu sendiri kerana UMNO adalah antara dua parti terbesar terdiri dari orang Melayu dan Islam.

Jelas Paklah tidak ikhlas, kerana cara beliau mendedahkan kepada rakyat seolah-olah pemimpin PAS mahu menggadaikan prinsip Islam. UMNO memang tidak boleh dibawa berbincang.

PERTEMUAN TIDAK JEJASKAN HUBUNGAN PR

Saya sangat setuju dan tertarik dengan kenyataan bijak En Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengatakan pertemuan tersebut tidak langsung menjejaskan hubungan parti gabungan PR. Menurut beliau pemimpin tersebut ada hak untuk bertemu dan berbincang sekiranya apa yang dibincangkan adalah untuk kepentingan rakyat dan negara.

Perlu juga saya tegaskan di sini bahawa kerjasama yang baik dengan rakan PR juga wujud di peringkat akar umbi di mana rakan-rakan dari PKR sering menghubungi dan berbincang untuk mengadakan program bersama.

PENUTUP

Saya setuju dengan pandangan dan kenyataan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat supaya muzakarah tidak perlu diadakan. Ini kerana kita telah lihat sendiri betapa tidak ikhlasnya Paklah dan UMNO. Yang dibimbangi muzakarah ini akan memberikan keuntungan dan seolah-olah CPR pertolongan cemas kepada UMNO yang semakin lemah, nazak dan sesak. Pandangan saya, pemimpin PAS diharapkan mengambil kira pandangan dan keluhan ahli di peringkat bawahan yang sudah lama letih dengan kerenah UMNO ini.

Kerjasama Pakatan Rakyat mesti diteruskan dan isu-isu dalaman mesti dibawa berbincang. Kemenangan PR sudah cukup menggoyahkan UMNO, jangan pula kita kuatkan UMNO dengan mencalarkan hubungan kita dengan rakan-rakan PR.

Rakan-rakan PKR dan DAP juga mesti sama meraikan hubungan ini dengan mewujudkan perbincangan yang telus sebelum sesuatu tindakan diambil. Setiap parti komponen PR mesti menghormati Rakan Pakatan.

Sekiranya, kerjasama dijalin dengan baik insyaAllah kita akan lihat keruntuhan UMNO BN pada PRU 13 nanti. Bagi pejuang PAS mesti usaha lebih dengan kerja dakwah, tingkatkan program agama dan kerohanian, dekati masyarakat dengan program-program kebajikan, mantapkan gerakerja dan strategi menarik masyarakat khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu, usaha lebih untuk meramaikan ahli dan menambah cawangan, insyaAllah jika kita sudah mendominasi kerusi-kerusi di Selangor sudah tentu semua pihak akan akur untuk kita laksanakan Islam.

TAKBIR!!

mujahidah_61@yahoo.com










0 comments: