Saturday, June 7, 2008

UTAMAKAN DAKWAH DAN PENGUKUHAN JAMAAH

Kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor khususnya adalah suatu yang tidak dijangkakan sebahagian besar rakyat Malaysia begitu juga dengan ahli-ahli dan pendokong PR sendiri.
Banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan tersebut. Faktor yang begitu utama dan ketara ialah swing undi dari pengundi bukan Melayu yang mana undi tersebut bolehlah dikatakan sebagai undi protes dari sebahagian besar dari mereka.

Sebab itu kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR hanya di kawasan bandar dan pinggir bandar dimana majoriti peratus pengundi bukan Melayu begitu tinggi. Kebanyakan kerusi kawasan bandar ditandingi oleh PKR dan DAP. Manakala PAS bertanding di kawasan 'Malay Land' yang mana peratus pengundi Melayu melebihi 60 peratus.

Persoalannya kenapa kawasan Melayu yang PAS bertanding memberi kemenangan kepada UMNO BN?? Persoalan inilah perlu kita muhasabah dan jawab bersama sebagai ahli dan pendokong gerakan Islam. UMNO BN suka kepada kejahilan rakyat dan dalam masa yang sama mulut rakyat disumbat dengan habuan dunia hingga terhijab kebenaran di hadapan mereka. Apakah kita perlu salahkan rakyat dan UMNO seratus peratus??? Kita bagaimana? Nak duduk saja atau berpeluk tubuh sahaja?? Jawapan kedua ialah ahli dan pendokong PAS sendiri tidak cukup usaha, kurang bekerja, banyak relaks, banyak santai dan banyak rehat. Kita kurang memberi tumpuan dan kurang bersungguh-sungguh untuk mendakwah rakyat khususnya orang Melayu yang beragama Islam kepada memahami Islam yang sebenar. Pokoknya kita mesti berusaha, bersabar kemudian taufik hidayah kita serah kepada Allah swt.

Bagi PAS, politik hanyalah sebagai wadah perjuangan bagi mendaulatkan syariat Allah swt. PAS adalah gerakan Islam yang aktiviti teras mestilah dengan dakwah serta mengajak masyarakat kepada Islam. Tidak hanya masyarakat Melayu sahaja malah dakwah kita menjangkau kepada bukan Islam sekalipun.

Bagi PAS yang dasar perjuangannya Islam sudah tentulah segala tindakan dan urus tadbir organisasi mestilah berteraskan wahyu Ilahi. Sudah pasti rujukannya adalah Alquran dan Sunnah, ijmak serta qias. Sudah tentu perjuangan Islam tidak mungkin akan dapat kemenangan dengan mudah dari Allah swt.

Bagi kita apa yang dihadapkan kepada kita adalah ujian semuanya. Kemenangan adalah ujian dan kekalahan juga ujian. Sudah tentu kemenangan di Selangor adalah sedikit sebanyak sebagai ujian kepada kita. Kita diberikan kemenangan oleh Allah dengan kerusi yang paling sedikit dalam kerajaan PR di negeri Selangor sebagai ujian dan sesuatu untuk kita muhasabah.

Setiap kemenangan dan kejayaan yang akan dicapai mesti melalui banyak liku-liku dan menuntut pengorbanan yang tinggi. Dalam sejarah kisah anbia kita lihat bagaimana Hajar yang ditinggalkan oleh suaminya Nabi Ibrahim a.s di suatu tempat yang tidak ada seorang manusia pun ketika itu. Hanya tinggal beliau dengan anaknya Nabi Ismail a.s yang masih kecil. Sedangkan ketika itu Nabi Ismail sedang menyusu sehingga sampai suatu tahap Hajar kehabisan bekalan makanan dan susu beliau pun sudah kering. Dalam masa yang sama anak beliau Nabi Ismail menangis kelaparan. Apa yang dilakukan oleh Hajar hanyalah mampu berlari-lari dari Bukit Safa kemudian ke Bukit Marwah berulang-ulang. Sesekali berdoa dan mendongak ke langit kalau-kalau ada tanda-tanda hujan akan turun.

Akhirnya penat Hajar berbayar dengan kehendak Allah wujudnya mata air zam-zam di bawah kaki Nabi Ismail. Inilah kejayaan besar kepada Hajar. Setelah penat bekerja berlari-lari kesana kemari. Sekiranya Allah menghendaki dari awal, Allah boleh kurniakan air dan makanan kepada Hajar sedangkan Hajar adalah isteri Nabi. Pastilah jika beliau berdoa tanpa berusaha pun akan diperkenan oleh Allah swt. Tapi inilah pengajaran besar yang kita boleh ambil iaitu Allah menghendaki kita bekerja sebelum memberi kejayaan yang besar kepada kita.

Bagi kita pendokong gerakan Islam, dakwah adalah tugas utama kita. Sebab itu kawasan-kawasan Melayu yang PAS kalah kerana kurangnya kita berperanan dengan dakwah Islam di kawasan tersebut. Gerakerja Pilihanraya adalah gerakerja jangka pendek. Tetapi gerakerja utama dan jangka panjang kita untuk menang Pilihanraya ialah dakwah yang berterusan sehingga bila-bila. Hatta tidak berlaku pilihanraya sekalipun. Kerja dakwah bukan arahan manusia, bukan arahan pemimpin tetapi ianya adalah arahan Allah swt.

Firman Allah: ' Hendaklah segolongan dari kamu, mengajak kepada kebaikan, mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar'

Firman Allah: ' Kamu adalah sebaik-baik umat, mengajak kepada makruf dan mencegah dari mungkar'.

Sebenarnya suatu kejayaan besar kepada kita sekiranya kita dapat mem'PAS'kan orang UMNO. Ini kerana kita telah menyuluh jalan kepada mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Walaupun kita belum dikurniakan kemenangan semasa Pilihanraya tetapi pada hakikatnya mem 'PAS'kan orang UMNO sudah dikira menang.

Begitu juga dalam keghairahan kita menubuhkan Kelab-Kelab Penyokong PAS jangan lupa peluang ini kita ambil untuk dekati mereka supaya mendekati Islam dan akhirnya memeluk Islam. Kita mesti ada hasrat dan cita-cita untuk mengajar dan melihat mereka mengucap dua kalimah syahadah, bukan hanya mendapat sokongan dan undi semasa pilihanraya sahaja. Sebab itu matlamat kita terlalu jauh jangkauannya bukan setakat semasa hidup malah sehingga selepas mati nanti. Bukan setakat matlamat dunia sahaja malah sehingga akhirat.

Begitu juga aspek pengukuhan kepada Jamaah jangan dikesampingkan supaya jamaah semakin mantap dan kuat. Pentarbiyahan ahli secara berterusan mesti lakukan dengan segera dan berterusan. Amanah ini dituntut kepada kita semua terutama mereka yang digelar pemimpin. Tidak akan bermakna jawatan dan kedudukan tinggi dalam kerajaan tetapi jamaah semakin goyah dan rapuh. Nauzubillah!

Kesimpulannya, dalam keghairahan kita mengecapi nikmat kemenangan ini, harapannya jangan kita tinggal dan lupa jamaah kita dokongi. Mudah-mudahan PAS akan kekal dan utuh selagi ada dunia ini. Biarlah perjuangan kita ini ada kesinambungannya dari generasi ke generasi kerana wujudnya gerakan Islam yang matlamat jelas ke arah mendirikan Daulah Islamiyah adalah sebagai agen yang membantutkan pertumbuhan maksiat dan perlanggaran syariat Allah dan juga supaya manusia hanya bertindak dan hidup dengan kehidupan yang diredhai Allah swt sahaja.

Wallahu A'lam

0 comments: