Wednesday, June 18, 2008

DI SEBALIK SUSAH ADA NIKMAT: PERLUNYA ARUS PERDANAKAN TARBIYAH

Oleh kerana kesibukan dengan tugas-tugas jamaah dan tugas keluarga maka tidaklah aku dapat sentiasa mengadap notebook atau melayari alam siber. Hari ini baru rasa ada kelapangan untuk berkongsi pengalaman yang sedikit yang dirasakan terlalu mahal yangmana pengalaman begini tidak mungkin dapat dirasai oleh semua orang kecuali mereka yang menjadi pilihan Allah swt sahaja.

Pada 14 dan 15 Jun 08 yang lepas adalah PROGRAM BRAINSTORMING PELAN STRATEGIK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor. Jawatankuasa DMPN Selangor telah bersetuju program ini diadakan di lokasi milik Ketua DMPN Selangor iaitu bertempat di De Puncak Lui. Sememangnya telah menjadi kebiasaan kami mengadakan program cambah minda di lokasi luar dari Kuala Lumpur. Dengan kata lain di tempat-tempat yang agak berbentuk santai seperti di tepi pantai atau berhampiran dengan lokasi sungai atau rekreasi kerana tempat-tempat begini agak relakskan minda supaya percambahan minda akan lebih berkesan.

Pelan Strategik begitu penting bagi sesuatu organisasi kerana ia menentukan kejayaan organisasi dan juga sebagai garis sempadan kepada prestasi gerakerja organisasi. Gerakerja akan lebih fokus atau mempunyai halatuju serta memberi kesan yang baik ke atas produktiviti dan kelancaran sesuatu organisasi.

Apabila mendengar nama tempat De Puncak Lui maka tergambarlah dalam mindaku bahawa pastilah tempat yang selesa dan nyaman serta santai. Awal pagi lagi aku dan sahabat-sahabat bertolak ke lokasi program, maklumlah perjalanan memakan masa sejam lebih kerana jarak kawasan kami agak jauh dari tempat program. Oleh kerana aktiviti harianku penuh, samada dengan tugas dakwah, kerja-kerja jamaah, kemasyarakatan mahupun dengan urusan rumahtangga terpaksa dijalankan dengan serentak, maka pastilah begitu terasa kepenatannya dalam masa yang sama cuti hujung minggu terpaksa disambung pula dengan Program DMPN Selangor. Maka tergambar di benakku apabila aku tiba di Lokasi Program aku akan merebahkan badanku dan melelapkan mataku sekejap.

Sesampai di lokasi program, rupa-rupanya apa yang aku gambarkan meleset sekali. Tempat program yang dinamakan De Puncak Lui sememangnya di puncak sekali. Tetapi untuk sampai ke lokasi tidak boleh dengan kenderaan biasa kecuali dengan kenderaan pacuan empat roda. Aku melihat beberapa orang peserta yang baru tiba dari kawasan lain sedang berjalan kaki mendaki ke atas puncak. Kelihatan begitu sayup ke atas. Timbul pula banyak persoalan dalam benakku...apakah aku mampu mendaki ke atas dalam keadaan keletihan begini, beg-beg pakaian bagaimana pula?? Adakah akan dibawa bersama mendaki?? Hati kecil berkata lagi.. kenapalah buat program di tempat begini. Timbul soalan lagi...tak tengok dulu ke sebelum buat keputusan???

Mahu tak mahu mesti harungi juga, ini keputusan mesyuarat... mesti wala' kepada keputusan dan arahan pimpinan.Sebentar lagi kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri oleh Ketua DMPN Selangor tiba untuk mengangkut kami ke puncak. Alangkah curam dan sayupnya dengan keadaan jalan yang tidak bertar. Bedebar juga hati ni..tapi apa yang aku lihat Ketua Muslimat selamba je. Dengan wajah ceria beliau meraikan kehadiran kami. Sahabat lain berkata: ' Ketua Muslimat kena angkut kita?' malu juga rasanya.', Pemimpin macam ni lah yang kita nak, boleh kongsi susah senang dengan kita.' Sampuk sahabat lain.

Sesampai di puncak ku lihat bangunan yang separuhsiap.Kelihatan juga pekerja-pekerja yang sibuk dengan kerja-kerja menyiapkan bangunan tersebut termasuk ada sedang melakukan pendawaian elektrik.Mereka begitu tekun dengan tugas mereka seolah-olah tidak mempedulikan kehadiran kami. Timbul lagi soalan..adakah bangunan ini tempat kami akan menginap dan program akan dijalankan?? Dalam keadaan simen kasar yang belum kering dan dibentangkan tikar-tikar plastik, aku mengajak sahabat-sahabat masuk dan meletakkan beg pakaian kami disuatu sudut. Angan-anganku untuk merebahkan badan dan melelapkan mata terpaksa dilupakan saja kerana sememangnya tidak ada ruang langsung untuk merebahkan badan kerana tempat yang sempit dan terhad sedangkan peserta yang semakin memenuhi ruang-ruang dalam bangunan yang belum siap itu.

Pekerja-pekerja terus melakukan kerja mereka. Yang melakukan pendawaian nampaknya hendak memastikan pendawaian siap sebelum menjelang hari gelap. Menjelang petang, siaplah pendawaian, lampu dan kipas terpasang maka terasa lega kerana kebimbangan tidur dalam gelap hilang kerana lampu-lampu telah dapat dipasangkan.

Program bermula dengan taaruf secara game. Mengikut kumpulan dan saling menanyakan khabar disamping persoalan yang diarah untuk diajukan ialah pengalaman manis dan pahit ketika berada dalam jamaah. Begitu juga cita-cita semasa dalam jamaah. Perkenalan yang sangat menarik sehingga masing-masing terlupa akan kejutan awal bila terlihat tempat program yang serba kekurangan. Tambahan yang lebih memberikan kesan mendalam lagi bila Puan Fasilitator mengatakan apa yang kita lalui ini adalah apa yang Allah telah takdirkan untuk kita. Menurut beliau kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan dan tindakan.' Memang benar kata Puan Fasilitator tu...hingga aku teringatkan kata-kata Saidina Abu Bakar, ' semut yang kecil pun tidak akan bergerak kecuali dengan izin Allah swt.'

Barulah aku sedar diri ini, begitu banyak kelemahan dan kekurangan. Kenapa pula timbul persoalan-persoalan tadi? Terasa begitu kotornya hatiku ini...yang hanya impikan keselesaan dan kerehatan saja. Sedangkan bagi seorang pejuang tidak sepatutnya timbulkan persoalan-persolan tadi dan mengharapkan keselesaan semata-mata. Mana istilah keselesaan bila berjuang?? Baru aku merasakan bahawa kemanisan berjuang tidak boleh dirasai di tempat-tempat mewah seperti berprogram di hotel-hotel semata-mata. Kenapa aku tidak berlapang dada dari awal tadi?? Teringat ungkapan salah seorang ulama, ' Jika hendak mudah bersihkan hati mesti ada tiga sifat ini, sekiranya tiga sifat ini ada pada diri seseorang maka penyakit hati yang lain mudah untuk dihindari.' Pertama: Berlapang dada. Kedua: Pemaaf. Ketiga: Berbuat baik kepada orang yang buat jahat pada kita..Mmmm sesuatu yang payah pasti akan membawa kebaikan kepada kita. Realitinya, ramai yang sukar miliki ketiga-tiga sifat di atas. Tapi jika kita hayati sirah Rasulullah saw, inilah sifat utama Baginda sehingga baginda berjaya dalam dakwah Islam.

Selepas solat zohor, bermulalah pembentangan pertama. Ku lihat semua peserta begitu bersungguh-sungguh dan tekun dengan pembentangan dan perbincangan. Kalau betul-betullah dilaksanakan Pelan Strategik di peringkat kawasan masing-masing, aku dapat rasakan Pas akan Lead Selangor pada PRU 13 nanti. Perbincangan ditangguhkan untuk solat Asar berjamaah. Selepas itu kami dihidangkan dengan santapan malam. Masing-masing mencedok nasi dan lauk ke dalam dulang. Masing-masing membentuk kumpulan untuk mengadap juadah. Biasalah... bab makan tak payah tunjuk ajar, semua orang tau apa nak buat. Dalam pada kami khusyuk menikmati juadah, Pengarah Program bersuara, 'teringat suasana Pas zaman hujung 70an dan awal 80an, ahli-ahli dibiasakan dengan makan dalam dulang.' Sebenarnya konsep makan dalam dulang bukanlah sengaja-sengaja diadakan, atau adat semata-mata. Di samping ianya adalah Sunnah Rasulullah saw, tapi ia juga melahirkan ukhuwwah bila masing-masing bertembung jari dalam dulang menggaulkan makanan tanpa rasa jijik dan geli dan juga ianya sedikit sebanyak melahirkan sikap sayang sahabat, saling berkasih sayang dan bekerjasama serta berlapang dada.

Perbincangan diteruskan lepas solat maghrib dan selepas solat Isyak. Di celah-celah keletihan, kami diajak menyanyikan lagu Demi Matahari. Apa yang ada dalam lirik lagu Demi Matahari?? Rupa-rupanya surah Assyams yang diterjemahkan sebagai lirik lagu. Masyaallah terasa kebesaran Allah bila tadabbur terjemahan ayat tersebut.

Jam 11.30 malam tibalah waktu kembara mimpi(tidur). Maka tidurlah kami dalam keadaan berhimpit-himpit dan bersesak-sesak. Ada yang kepala mengadap kaki dan kaki mengadap kepala. Keadaan ini berlaku kerana ruang yang begitu terhad dan sempit. Walau bagaimanapun, kami lalui juga dan kami tidur begitu lena sekali.Kemungkinan mereka yang tidur di tilam empuk pada malam itu belum tentu tidur selena kami.Sesekali terlintas dalam hati ini, bagaimanalah keadaan yang sempit dalam kubur nanti.

Pagi tersebut kami qiamullail bersama. Terasa kerdil dan lemahnya diri di hadapan Allah. Segala-gala qudrat dan kekuatan hanya mengharapkan daripada Allah swt. Rupanya tak sehebat mana pun manusia ini, lebih-lebih lagi seorang pejuang...setiap gerak langkah mesti mengharapkan rahmat dan bantuan Allah swt.

Program disambung selepas aktiviti riadhah ala game lasak 'Explore Race'. Berbagai konsep yang boleh dipelajari dari game tersebut rupanya. Konsep wala', kerja berkumpulan/berjamaah, teliti, berhati-hati, tidak bertindak meng'khnzir' buta dan lain-lain nilai positif. Perbincangan disambung lagi, berbagai pandangan dari peserta yang boleh dikongsikan bersama. Di celah-celah keletihan kami, Puan Fasilitator mengajak untuk menghayati Asmaul Husna pula dalam bentuk alunan lagu. Tersentuh hati ini menghayati kesempurnaan sifat-sifat Allah Rabb.

Program ditutup dengan ucapan Ketua DMPN Selangor, di mana dalam amanat beliau mengharapkan supaya apa yang dibincangkan dibawa dan dilaksanakan di kawasan masing-masing. Menurutnya lagi, sebenarnya kemenangan yang sedikit yang dikurniakan oleh Allah ini menambahkan lagi tugas kita dan menjadi suatu tugas yang berat untuk kita pikul bagi mengisi kemenangan supaya hasilnya kita lihat Islam benar-benar memerintah. Menurut beliau juga program tersebut sengaja diadakan di tempat tersebut yang banyak kekurangan dan dalam keadaan yang tidak selesa, supaya kita dapat rasakan sesekali suasana yang perit dan susah dan juga sebagai suatu tarbiyah kepada kita supaya merasai ada manusia lebih susah daripada kita yang hidup dalam keadaan dhaif dan tidak selesa.

Program tersebut sememangnya dirancang bersama Lajnah Tarbiah dan Perkaderan DMPNS dengan menyelitkan konsep tarbiyah dimana program yang dilaksanan ala tamrin. Demgam tidak secara langsung, Program Tarbiyah dapat dijalankan serentak.

Program ditutup dengan doa munajat oleh Pengerusi Lujnah Tarbiyah dan Perkaderan DMPNS yang sangat menyentuh hati dimana kebanyakan peserta menitiskan airmata termasuk Puan Fasi sendiri.

Kami mengakhiri program dengan ber Salam Semut atau Salam Ukhuwah dimana masing-masing berpelukan dan bertangisan. Rupanya tangisanku yang sedih juga bercampur dengan gembira bila aku dapat mendakap erat sahabat yang telah lama jauh dan renggang dariku. Di sinilah aku rasa titik permulaan hati dikosongkan dari segala sangkaan-sangkaan. Sahabat tersebut seolah-olah tidak mahu melepaskan dakapanku, semakin lama semakin erat sambil menangis semahu-mahunya. Sebenarnya aku terlalu rindu dengan suasana begini sekian lama. Saat inilah yang ku tunggu-tunggu dan merasa manisnya dalam perjuangan agama Allah ini. Yang pastinya siapa yang ikhlas Allah akan satukan hati-hati mereka.

Kesimpulannya sebagai gerakan Islam, kita tidak boleh lari dari konsep tarbiyah terutama tarbiyah ruhiyyah. Tarbiyah juga adalah sebagai Sulbi/tulang belakang kepada gerakan. Jika tarbiyah lumpuh maka sedikit sebanyak akan melumpuhkan gerakan.Tarbiyah melahirkan ahli yang benar-benar ikhlas bekerja untuk jamaah tanpa mengharapkan sedikitpun habuan dunia. Sebenarnya kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor adalah sedikit sebanyak kerana ahli pas yang ikhlas bekerja tanpa memikirkan penat lelah kerana mereka semata-mata ingin melihat kemenangan Islam. Pas kuat dan mantap kerana ahli-ahli yang ikhlas dan mendapat tarbiyah. Sebab itu dalam suasana menang Tarbiyah tidak boleh dikesampingkan. Kita semua mesti memikirkan untuk meng 'ARUS PERDANA 'kan tarbiyah di semua peringkat dan pada setiap program. Dalam Ekonomi ada tarbiyah, dalam Kemasyarakatan ada tarbiyah, dalam Perpaduan Nasional ada tarbiyah, dalam Penerangan ada tarbiyah malah setiap lajnah yang bergerak mesti berkonsepkan tarbiyah.

Bagiku Program yang baru-baru ini kuhadiri bukan saja dinamakan Brainstorming Pelan Strategik tapi adalah Tamrin, dimana ada unsur-unsur tarbiyah pada program tersebut sehingga sangat terkesan dalam hatiku hingga hari ini. Aku rasakan kemungkinan bukan aku seorang sahaja yang merasakan begitu malah semua peserta merasakannya bila semasa perpisahan masing-masing mencucurkan airmata terharu. Bukan mudah menitiskan airmata kecuali sesuatu yang telah membawa kesan dan menyentuh hati.

Rupanya kesusahan yang kugambarkan di peringkat awal terselit di dalamnya kegembiraan dan nikmat daripada Allah swt. Nikmat yang ingin ku kongsikan di sini ialah bila aku dapat mendakap erat sahabat yang sangat aku rindui yang sudah begitu lama menjauhkan diri dariku dan kini tersemat dalam hatiku kasih sayang kepada mereka dan aku yakin mereka juga merasakan perkara yang sama. Semakin terasa nikmatnya dan manisnya dalam perjuangan ini.Rupa-rupanya di sebalik kesusahan terselit kegembiraan dan keseronokan....

فان مع العسريسرا, ان مع العسر يسرا

Maha Suci Allah..Segala Puji Bagi Allah Tuhan Semesta Alam!

Takbir!!

0 comments: