Friday, June 20, 2008

MEMAHAMI PERANAN SEBENAR WANITA DAN MUSLIMAH


Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita hangat tentang isu bantahan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor ke atas Konsert Sempena 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor yangmana konsert tersebut akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam.

Pelbagai respon yang kita lihat dan dengar terutama respon blogger-blogger di alam ciber. Respon yang terlalu hangat dibincangkan ialah kenyataan daripada komposer terkenal Saudara Roslan Aziz yang seolah-olah menghina atau menyelar golongan agama terutama ustaz-ustaz.Tetapi akhirnya beliau meminta maaf setelah mendapat teguran dari banyak pihak serta akur dengan statement beliau yang agak melampau, tidak menghormati golongan agama dan sedikit sebanyak sebagai suatu penghinaan kepada Islam.

Sebagai seorang wanita muslimah dan juga sebagai anggota salah satu sayap dalam Pas khususnya di negeri Selangor menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor yang diterajui oleh Ust Sallehen Muhyi. Walaupun agak lewat saya memberi respon kepada isu panas ini tetapi apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah apakah peranan wanita yang telah diciptakan oleh Allah swt di muka bumi ini? Ini kerana artis yang disebut-sebut untuk menjadi penghibur dalam konsert tersebut ialah dari golongan wanita iaitu Ratu Rock Ella dan Ratu Dangdut Mas Idayu.

Antara alasan Dewan Pemuda Pas Selangor dalam memo bantahan mereka ialah konsert tersebut sebagai suatu pembaziran dan sepatutnya kerajan negeri memberi tumpuan kepada kehidupan rakyat yang semakin tertekan akibat dari kenaikan harga minyak sekaligus peningkatan kepada kos sara hidup. Tekanan yang lebih ketara adalah menimpa kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan berstatus miskin. Jadi daripada wang dibazirkan membayar kepada artis, lebih baik digunakan untuk membantu rakyat.

Alasan berikutnya ialah dibimbangi peningkatan kepada gejala sosial yang sememangnya berada pada tahap membimbangkan dan kritikal.

Alasan ketiga yang menurut pandangan peribadi saya ialah yang dijemput ialah artis wanita kebiasaannya aksi artis ini di atas pentas tidak mengikut norma dan peradaban Islam malah jelas bercanggah dengan Islam. Contohnya:- tidak menutup aurat, aksi gelek dan pakaian yang mungkin menjolok mata.

KENAPA ARTIS WANITA YANG DIJEMPUT??

Inilah persoalan yang hendak saya ketengahkan. Kenapa artis wanita? Sebagai seorang wanita muslimah saya membantah keras diadakan konsert tersebut. Wanita bukan sebagai barang exploitasi dan untuk menjadi tontonan serta bahan penghibur semata-mata. Bagi saya tndakan dan cadangan menjemput artis wanita adalah suatu penghinaan juga kepada kaum hawa. Keadaan ini tidak selaras dan selari dengan hikmah penciptaan wanita itu sendiri.

HIKMAH ALLAH MENCIPTA WANITA

1. Wanita secara fitrah dijadikan oleh Allah sebagai agen penyambung zuriat dan generasi. Tanpa wanita yang mengandung dan melahirkan anak, tidak mungkin berkembangnya umat manusia. Fitrah tugas mengandungkan bayi itu dikhususkan kepada wanita, kerana wanita memiliki kekuatan jiwa, sifat sabar, penyayang. Sebab itu seorang ibu terasa hilang sakit melahirkan bayi setelah melihat wajah anaknya.Inilah sifat penyayang yang ada pada seorang wanita. Begitu juga susah payah mengandungkan anak, dengan keadaan serba kepayahan, beratnya anak yang dikendong dalam rahim tetapi jarang kita dengar seorang ibu merungut atau memberontak semasa mengandung. Hanya mereka yang mempunyai jiwa yang kuat sahaja boleh mengambil tugas ini.

2. Sebagai penghibur dan penyeri kepada rumahtangga. Rumahtangga akan jadi sakinah sekiranya seorang isteri benar-benar berperanan dan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri. Bukan sahaja penghibur dan pelayan kepada suami malah ibu juga mesti menghiburkan anak-anak juga.

3. Sebagai pendidik awal kepada anak-anak. Sifat sabar yang dimiliki oleh wanita sedikit sebanyak penentu kepada kejayaan mendidik anak-anak. Maka ianya akan melahirkan generasi yang memberi kebaikan dan manfaat kepada masyarakat.

4. Sebagai pembantu kepada kaum lelaki.Sebagaimana Hawa diciptakan adalah sebagai isteri dan teman kepada Nabi Asam a.s. Ada kata-kata hikmah menyatakan 'DI SEBALIK KEJAYAAN LELAKI ADA WANITA'.Lebih-lebih lagi sekiranya wanita benar-benar berperanan dalam rumahtangga dan juga masyarakat.Firman Allah bermaksud:

'Dan Lelaki beriman dan perempuan beriman, setengah menjadi penolong di antara satu sama lain, menyeru kepada makruf dan mencegah mungkar.'

PERANAN WANITA DALAM ISLAM

Jika kita meneliti dan mengkaji sejarah terutama apa yang diceritakan dalam Alquran,banyak kisah-kisah wanita yang sebahagian besarnya penyumbang kepada kejayaan Islam. Sebenarnya peranan wanita sangat penting kepada Islam dan Ummah.
Kita mengetahui kisah isteri Firaun dalam Alquran dimana beliau dapat mencegah Firaun dari membunuh Nabi Musa a.s. Firman Allah:

وقالت امرات فوعون قرت عين لى ولكو لا تقنلوه عسى ان ينفعنا او نتخذه
ولدا وهم لا يشعرون

Dan Tatkala melihat kanak-kanak itu, berkatalah isteri Firaun,' semoga menjadi cahayamata bagiku dan bagimu, janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bergguna bagi kita atau kita jadikan dia anak' padahal mereka tidak menyudahi kesudahannya.(Al Qashas 9)
Sekiranya isteri Firaun tidak menghalang Firaun membunuh Nabi Musa, sudah tentu Firaun akan membunuh Nabi Musa as seperti kanak-kanak lelaki lain.

Kita lihat pula kisah dua orang wanita di Kota Madyan yangmana salah seorang dari keduanya mengusulkan supaya ayah mereka mengambil Nabi Musa bekerja dengan mereka kerana baginda memiliki sifat amanah dan fizikal yang kuat.Firman Allah:

قالت احداهما يابت استءجره, ان مناستءجرت القوى الأمين

' Salah seorang diantara perempuan yang kedua itu berkata: ' Wahai ayah ambillah dia menjadi orang upahan (Menggembala kambing kita) sesungguhnya sebaik-sebaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang kuat lagi amanah.' (Al Qashas 26)

Kita hayati pula kisah Putri Balkis, kisah kejayaan seorang pemimpin wanita di Negara Yaman yang terkenal dengan adil dan berjiwa rakyat di mana baginda telah menerima surat dari Nabi Sulaiman yang kandungan surat tersebut ialah seruan kepada mentaati Allah dan menyembahNya, lalu baginda memanggil kaumnya untuk meminta pendapat dan musyawarah sebelum menerima seruan Nabi Sulaiman dan membuat keputusan bersama. Akhirnya kesemua kaumnya mengikutnya mentaati Allah swt.

قالت يايهاالملؤافتونى فى امرى ما كنت فا طعة امرا حتى تشهدون

Raja perempuan itu berkata: ' Wahai ketua-ketua kaum berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini,aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan persetujuan.'

Begitu juga kisah isteri Nabi Ibrahim as yang diperintahkan oleh Allah supaya meletakkan isteri baginda Hajar dan anak baginda di suatu tempat yang tidak ada manusia yang boleh hidup. Kisah yang menyayat hati bagaimana ketaatan seorang isteri kepada suami dan juga perintah Allah swt hingga akur dengan tindakan suaminya menghantarnya ke tempat tersebut bersama anak yang masih kecil, tanpa bekalan yang mencukupi, tiada orang lain yang menemankan melainkan beliau tinggal dua beranak sahaja. Tapi akhirnya ketaatan dan kesabaran Hajar dibayar oleh Allah swt dengan apa yang kita lihat hari ini di mana kota Makkah yang tidak putus-putus dikunjungi oleh manusia dan juga sebagai tempat bermulanya dakwah Islam.

Di dalam Alquran juga mengkisahkan seorang wanita yang bernama Maryam sehingga ada surah khusus dinamakan surah Maryam, di mana surah ini menceritakan ketabahan Maryam yang berhadapan dengan tohmahan dan fitnah dari kaumnya sendiri setelah Allah swt mentakdirkan beliau mengandungkan anak tanpa berkahwin iaitu mengandungkan anaknya Nabi Isa as. Dalam keadaan sentiasa diburu oleh kaumnya sendiri dan terpaksa sentiasa berada dalam keadaan bersembunyi hinggalah melahirkan anaknya dalam keadaan seorang diri.

Banyak ayat-ayat Alquran mengkisahkan tentang peranan wanita, sifat wanita sehinggakan ada surah khusus nama wanita iaitu surah An Nisa'. Ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf dan memuliakan wanita.

Manusia yang terawal masuk Islam ialah wanita iaitu Khadijah binti Khuwailid isteri Rasulullah saw yang banyak menyumbang kepada kejayaan dakwah dan perjuangan Nabi saw dalam menegakkan agama Allah swt. Beliaulah pemberi semangat kepada Nabi saw apabila pulang dalam keadaan ketakutan setelah menerima wahyu pertama darpada Allah swt. Mengingatkan Rasulullah saw bahawa baginda akan menjadi pemimpin umat. Beliau bukan sahaja pendorong dan pemberi semangat kepada Nabi saw malah habis hartanya untuk membantu perjuangan Islam sehingga saat hampir kewafatan beliau pun dimana beliau sudah tidak punya harta dan dalam keadaan sehelai sepinggang juga ingin mendermakan tulang belulang beliau untuk dijadikan senjata memerangi musuh.

Aishah ra juga memberikan sumbangan besar kepada perkembangan Islam lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu Islam. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai isteri Nabi saw malah beliau mempunyai daya ingatan yang kuat dan mempunyai kecerdikan dimana beliau banyak menyimpan hadis-hadis Nabi saw dan beliau juga sebagai salah seorang rujukan kepada sahabat-sahabat.

Manusia yang pertama syahid di mukabumi setelah kedatangan Islam ialah Sumayyah, ibu kepada Ammar bin Yasir yang sanggup mati kerana mempertahankan aqidah dan ketauhidan kepada Allah swt.

Siapa yang tidak kenal Khansa' yang digelar Ibu kepada syuhada'. Beliau mempunyai empat orang anak lelaki yang kesemuanya mati syahid di medan peperangan. Sebelum anak-anaknya pergi bertempur, beliau mengucapkan kata-kata semangat kepada anak beliau:

' Wahai anak-anakku Tiada Tuhan Melainkan Allah dan inilah kebenaran sebenar, maka untuk kalimmah itu kamu berperanglah sampai mati.Wahai anak-anakku, carilah maut nescaya kamu diberi kehidupan.'

Akhirnya kempat-empat anaknya pergi keluar berjuang dan bertempur yangmana keempat-empatnya mendapat anugerah syahid dari Allah swt. Apabila berita kematian anaknya diberitahukan kepadanya, dia sedikitpun tidak mengeluarkan airmata malah berkata:

'Alhamdulillah, Allah telah memuliakan aku dengan syahidnya putra-putraku. Semoga Allah segera memanggilku dan mempertemukan aku dengan putra-putraku yang berada dalam naungan rahmat Allah yang kukuh iaitu syurgaNya.'

Begitulah sedikit sebanyak kisah-kisah wanita mulia yang benar-benar menyempurnakan tugasnya sebagai wanita dan membenarkan janji Allah swt.

PERANAN WANITA MUSLIMAH KINI

Wanita berperanan di sepanjang zaman. Hari ini kaum wanita khususnya muslimah mesti diberi pendedahan dan maklumat tentang peranan mereka kepada agama dan masyarakat.

1. Peranan wanita sebagai ibu.Wanita mesti diberi pendidikan dan maklumat tentang bagaimana menjadi ibu yang baik dan solehah.Biasanya jika seorang ibu yang baik maka anak-anak juga akan jadi baik seperti kisah Asiah dan Nabi Musa as dan jika ibu jahat anak-anak juga akan menurutinya seperti kisah anak Nabi Nuh as dan Nabi Lut as yang mengikuti ibu mereka yang derhaka kepada Allah swt. Peluang memrintah mesti digunakan untuk mengatur program terutama program-program yang berbentuk ilmah dan dakwah kepada muslimah di semua peringkat. Hasil dan kejayaan program ialah kita akan pastikan anak-anak dan juga remaja yang akan berpisah dengan keluarga yakni yang akan duduk di asrama tidak tinggal solat lima waktu dan yang perempuanya sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Cintakan agama dan kebajikan serta cenderong kepada menuntut ilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara.Dalam ertikata lain melahirkan generasi yang gemilang akademik dan mempunyai akhlak dan budipekerti yang tinggi.

2. Peranan muslimah dalam masyarakat ummah.Sebagai wanita dan ahli masyarakat, mestilah berperanan ke arah pembentukan masyarakat ke arah masyarakat yang cintakan kebaikan dan mengamalkan nilai-nilai agama dalam kehidupan. Tugas amar makruf dan nahi mungkar bukan hanya terletak kepada lelaki sahaja, malah wanita juga harus mengambil tanggungjawab besar dalam bidang ini. Realiti dalam Pas peranan ini begitu ketara bilamana muslimat lah yang berperanan berjumpa dengan setiap pengundi dengan mengetuk rumah-rumah pengundi untuk memperkenalkan dasar Islam yang dibawa oleh Pas. Begitu juga dengan program ziarah dan kemasyarakatan, muslimat lebih kehadapan berdepan dengan masyarakat serta lebih menyelami masalah masyarakat. Keadaan ini perlulah diteruskan dan perkasakan lagi.

3. Peranan wanita dalam pembangunan negara. Jika kita lihat realiti hari ini, wanita boleh dikatakan terlibat di kebanyakan sektor. Samada sektor awam mahupun sektor swasta. Di sektor awam, kebanyakan wanita menjadi penjawat jawatan di Jabatan-jabatan Kerajaan, dalam pasukan uniform juga ada wanita, dalam sektor perubatan sebagia jururawat,doktor,ahli farmasi dan lain-lain. Di sektor swasta kebanyakan pula wanita berada di sektor perbankan di mana kebanyakan kakitangan bank terdiri dari wanita. Begitu juga di pejabat-pejabaat swasta kebanyakannya terdiri daripada wanita. Di sektor perindustrian juga majoriti pekerja kilang terdiri dari wanita malah wanita berperanan dimana-mana. Cadangan supaya wanita yang terlibat di setiap sektor ini diberi juga pendedahan kepada nilai-nilai murni dan sikap positif dan akhlak mulia supaya peranan mereka menjadi lebih berkesan. Cadangan kepada kerajaan Negeri Selangor khususnya memikirkan program-program penerapan nilai murni dan positif khususnya kepada wanita yang beragama Islam di sektor-sektor yang terlibat dan penyumbang kepada kerajaan negeri, supaya menghayati nilai-nilai agama dalam perkhidmatan.

PENUTUP

Wanita adalah amanah kepada kaum lelaki. Wanita mestilah dihargai peranan dan pengorbanan mereka. Wanita bukan sebagai alat tontonan, komersial dan sebagai penghibur kepada semua golongan. Jika hendak libatkan wanita sebagai penghibur, mestilah menghiburkan wanita juga. Mestilah berteraskan dan berpandukan syariat Allah swt. Sepatutnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak bertindak dengan menjemput artis wanita dalam program-program kerajaan. Sebab dalam Pakatan Rakyat ada tiga komponen yang bergabung yang mempunyai ideologi dan dasar yang berbeza dan salah satunya daripadanya adalah parti yang dasar dan matlamatnya Islam. Sepatutnya harus ada perbincangan sebelum membuat sesuatu keputusan supaya setiap keputusan dan tindakan mengambil kira dasar dan pandangan serta menghormati Parti Komponen dalam Pakatan. Bagi Pas, tidak akan berganjak dari prinsip dan dasar Islam dimana apa yang bercanggah dengan Islam mesti ditentang dan tidak ada kompromi dalam pelanggaran syariat Islam. Sebagai muslimat saya sekali lagi menyokong tindakan Dewan Pemuda Pas Selangor yang membantah konsert tersebut kerana saya tidak rela melihat wanita menjadi bahan tontonan yangmana perlakuan-perlakuan artis di atas pentas biasanya tidak mengikut lunas-lunas Islam.

Allah swt menjadikan wanita bukan sebagai bahan hiburan dan tontonan. Jika kita hayati ayat-ayat Al Quran dan juga sirah Nabi saw, wanita dijadikan untuk melahirkan generasi rabbani, generasi hebat yang cinta kepada agama Allah juga mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor kerana tindakan berani mereka!

ALLAHU AKBAR!

ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

0 comments: