Saturday, June 28, 2008

KURSUS UMRAH TARBAWI BIMBINGAN UST NASRUDIN TANTAWI


Pejabat Agong Pas Jalan Raja Laut, 28 Jun 08 telah di adakan kursus Umrah Tarbawi anjuran Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat Pusat. Kursus tersebut adalah untuk peserta umrah di Kawasan Lembah Kelang. Kursus tersebut telah dikendalikan dan di bawah pengurusan Ustz Maryam, Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat Pas Pusat dan di bawah bimbingan Ust Nasrudin Tantawi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat. Kursus Umrah bagi peserta dari luar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 5 Jun 08 di tempat yang sama.

Seramai empat puluh orang peserta yang menyertai Ibadah Umrah Tarbawi yangmana mereka terdiri dari pelbagai latarbelakang dan dari negeri-negeri seluruh Malaysia. Inilah Program yang julung-julung kalinya yang telah dianjurkan oleh Dewan Muslimat Pas Pusat yang mana Program ini mengandungi berbagai konsep dan objektif yang boleh memberi manfaat kepada penganjur dan peserta. Antara objektif program ialah:

1. Membantu menambah Dana Dewan Muslimat Pas Pusat
2. Membantu golongan pendapatan rendah menyertai umrah dengan tambah rendah
3. Memberikan pendedahan kepada peserta kepada sejarah perjuangan Rasulullah saw.
4. Konsep tarbiyah dan penghayatan kepada ibadah supaya membawa kesan kepada peserta.

Insyaallah program ini akan menjadi agenda tahunan kepada Program Dewan Muslimat Pas Pusat dan harapan pada masa akan datang program ini akan mendapat sambutan dan penyertaan lebih ramai lagi dari kalangan mereka yang cenderung dan cinta kepada tarbiyah dan penghayatan Islam dalam ibadah umrah mereka.

Semoga Allah swt mudahkan segala urusan dan perjalanan jamaah umrah yang akan berangkat pada 6 Jul 08 hingga 20 Jul 08 di bawah bimbingan Ust Nasrudin Tantawi serta mengurniakan Umrah yang Mabrur kepada semua yang terlibat menyertai umrah tersebut.

ربى يسر ولا تعسر ربى أتمم بالخير يا ربالعالمين

أمين يا رب

Ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

TEMAN SEJATI


SELAMA INI
KU MENCARI-CARI
TEMAN YANG SEJATI
BUAT MENEMANI
PERJUANGAN SUCI

BERSYUKUR KINI
PADAMU ILAHI
TEMAN YANG DICARI
SELAMA INI
TELAH KU TEMUI

DENGANNYA DI SISI
PERJUANGAN INI
TENANG DIHARUNGI
BERTAMBAH MURNI KASIH ILAHI

KEPADAMU ALLAH KU PANJATKAN DOA
AGAR BERKEKALLAN KASIH SAYANG KITA
KEPADAMU TEMAN KU POHON SOKONGAN
PENGORBANAN DAN PENGERTIAN
TELAH KU UNGKAPKAN SEGALA-GALANYA

TEMAN...BERSAMA-SAMA KITA SEMAIKAN PERSAHABATAN INI
DENGAN KEIMANAN
TERUSKAN PERJUANGAN DAN KESETIAAN.....

....BUKAN MUDAH UNTUK MENCARI SAHABAT YANG MAHU BERSAMA-SAMA MENANGIS DAN
KETAWA DALAM PERJUANGAN, SANGGUP BERKORBAN APA SAHAJA DAN BERSUSAH PAYAH DALAM PERJUANGAN..APA TERJADI TETAP BERSAMA MENGHARUNGI GELOMBANG DAN BADAI YANG MELANDA

ADA KALANYA AKU DITINGGALKAN SENDIRIAN..ALLAH TEMPAT MENGADU SEGALA PERMOHONAN

DI KALA AKU SENDIRIAN, ALLAH HANTARKAN SAHABAT YANG DATANG MENGHIBURKANKAN, TATKALA AKU LEMAH SAHABAT KUATKAN, TATKALA AKU KEKURANGAN SAHABAT CUKUPKAN..
INILAH MANISNYA BERJUANG UNTUK AGAMA...KITA TIDAK AKAN SENDIRIAN..ALLAH AKAN HANTAR SIAPA SAHAJA UNTUK MENOLONG AGAMANYA..KERANA JANJINYA YANG PASTI UNTUK MEMENANGKAN AGAMANYA

DALAM PERJUANGAN PASTINYA ADA YANG SUKA DAN ADA YANG BENCI
YANG PASTINYA..SAHABAT AKAN DATANG DAN PERGI

SAHABAT..BIARLAH RIBUT TAUFAN MELANDA HARAPANKU MOGA KITA TETAP THABAT SEHINGGA ALLAH MENUNAIKAN JANJINYA SUPAYA KITA MATI DI JALANNYA...

AMIN YA RABB

ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

Friday, June 20, 2008

MEMAHAMI PERANAN SEBENAR WANITA DAN MUSLIMAH


Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita hangat tentang isu bantahan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor ke atas Konsert Sempena 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor yangmana konsert tersebut akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam.

Pelbagai respon yang kita lihat dan dengar terutama respon blogger-blogger di alam ciber. Respon yang terlalu hangat dibincangkan ialah kenyataan daripada komposer terkenal Saudara Roslan Aziz yang seolah-olah menghina atau menyelar golongan agama terutama ustaz-ustaz.Tetapi akhirnya beliau meminta maaf setelah mendapat teguran dari banyak pihak serta akur dengan statement beliau yang agak melampau, tidak menghormati golongan agama dan sedikit sebanyak sebagai suatu penghinaan kepada Islam.

Sebagai seorang wanita muslimah dan juga sebagai anggota salah satu sayap dalam Pas khususnya di negeri Selangor menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor yang diterajui oleh Ust Sallehen Muhyi. Walaupun agak lewat saya memberi respon kepada isu panas ini tetapi apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah apakah peranan wanita yang telah diciptakan oleh Allah swt di muka bumi ini? Ini kerana artis yang disebut-sebut untuk menjadi penghibur dalam konsert tersebut ialah dari golongan wanita iaitu Ratu Rock Ella dan Ratu Dangdut Mas Idayu.

Antara alasan Dewan Pemuda Pas Selangor dalam memo bantahan mereka ialah konsert tersebut sebagai suatu pembaziran dan sepatutnya kerajan negeri memberi tumpuan kepada kehidupan rakyat yang semakin tertekan akibat dari kenaikan harga minyak sekaligus peningkatan kepada kos sara hidup. Tekanan yang lebih ketara adalah menimpa kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan berstatus miskin. Jadi daripada wang dibazirkan membayar kepada artis, lebih baik digunakan untuk membantu rakyat.

Alasan berikutnya ialah dibimbangi peningkatan kepada gejala sosial yang sememangnya berada pada tahap membimbangkan dan kritikal.

Alasan ketiga yang menurut pandangan peribadi saya ialah yang dijemput ialah artis wanita kebiasaannya aksi artis ini di atas pentas tidak mengikut norma dan peradaban Islam malah jelas bercanggah dengan Islam. Contohnya:- tidak menutup aurat, aksi gelek dan pakaian yang mungkin menjolok mata.

KENAPA ARTIS WANITA YANG DIJEMPUT??

Inilah persoalan yang hendak saya ketengahkan. Kenapa artis wanita? Sebagai seorang wanita muslimah saya membantah keras diadakan konsert tersebut. Wanita bukan sebagai barang exploitasi dan untuk menjadi tontonan serta bahan penghibur semata-mata. Bagi saya tndakan dan cadangan menjemput artis wanita adalah suatu penghinaan juga kepada kaum hawa. Keadaan ini tidak selaras dan selari dengan hikmah penciptaan wanita itu sendiri.

HIKMAH ALLAH MENCIPTA WANITA

1. Wanita secara fitrah dijadikan oleh Allah sebagai agen penyambung zuriat dan generasi. Tanpa wanita yang mengandung dan melahirkan anak, tidak mungkin berkembangnya umat manusia. Fitrah tugas mengandungkan bayi itu dikhususkan kepada wanita, kerana wanita memiliki kekuatan jiwa, sifat sabar, penyayang. Sebab itu seorang ibu terasa hilang sakit melahirkan bayi setelah melihat wajah anaknya.Inilah sifat penyayang yang ada pada seorang wanita. Begitu juga susah payah mengandungkan anak, dengan keadaan serba kepayahan, beratnya anak yang dikendong dalam rahim tetapi jarang kita dengar seorang ibu merungut atau memberontak semasa mengandung. Hanya mereka yang mempunyai jiwa yang kuat sahaja boleh mengambil tugas ini.

2. Sebagai penghibur dan penyeri kepada rumahtangga. Rumahtangga akan jadi sakinah sekiranya seorang isteri benar-benar berperanan dan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri. Bukan sahaja penghibur dan pelayan kepada suami malah ibu juga mesti menghiburkan anak-anak juga.

3. Sebagai pendidik awal kepada anak-anak. Sifat sabar yang dimiliki oleh wanita sedikit sebanyak penentu kepada kejayaan mendidik anak-anak. Maka ianya akan melahirkan generasi yang memberi kebaikan dan manfaat kepada masyarakat.

4. Sebagai pembantu kepada kaum lelaki.Sebagaimana Hawa diciptakan adalah sebagai isteri dan teman kepada Nabi Asam a.s. Ada kata-kata hikmah menyatakan 'DI SEBALIK KEJAYAAN LELAKI ADA WANITA'.Lebih-lebih lagi sekiranya wanita benar-benar berperanan dalam rumahtangga dan juga masyarakat.Firman Allah bermaksud:

'Dan Lelaki beriman dan perempuan beriman, setengah menjadi penolong di antara satu sama lain, menyeru kepada makruf dan mencegah mungkar.'

PERANAN WANITA DALAM ISLAM

Jika kita meneliti dan mengkaji sejarah terutama apa yang diceritakan dalam Alquran,banyak kisah-kisah wanita yang sebahagian besarnya penyumbang kepada kejayaan Islam. Sebenarnya peranan wanita sangat penting kepada Islam dan Ummah.
Kita mengetahui kisah isteri Firaun dalam Alquran dimana beliau dapat mencegah Firaun dari membunuh Nabi Musa a.s. Firman Allah:

وقالت امرات فوعون قرت عين لى ولكو لا تقنلوه عسى ان ينفعنا او نتخذه
ولدا وهم لا يشعرون

Dan Tatkala melihat kanak-kanak itu, berkatalah isteri Firaun,' semoga menjadi cahayamata bagiku dan bagimu, janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bergguna bagi kita atau kita jadikan dia anak' padahal mereka tidak menyudahi kesudahannya.(Al Qashas 9)
Sekiranya isteri Firaun tidak menghalang Firaun membunuh Nabi Musa, sudah tentu Firaun akan membunuh Nabi Musa as seperti kanak-kanak lelaki lain.

Kita lihat pula kisah dua orang wanita di Kota Madyan yangmana salah seorang dari keduanya mengusulkan supaya ayah mereka mengambil Nabi Musa bekerja dengan mereka kerana baginda memiliki sifat amanah dan fizikal yang kuat.Firman Allah:

قالت احداهما يابت استءجره, ان مناستءجرت القوى الأمين

' Salah seorang diantara perempuan yang kedua itu berkata: ' Wahai ayah ambillah dia menjadi orang upahan (Menggembala kambing kita) sesungguhnya sebaik-sebaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang kuat lagi amanah.' (Al Qashas 26)

Kita hayati pula kisah Putri Balkis, kisah kejayaan seorang pemimpin wanita di Negara Yaman yang terkenal dengan adil dan berjiwa rakyat di mana baginda telah menerima surat dari Nabi Sulaiman yang kandungan surat tersebut ialah seruan kepada mentaati Allah dan menyembahNya, lalu baginda memanggil kaumnya untuk meminta pendapat dan musyawarah sebelum menerima seruan Nabi Sulaiman dan membuat keputusan bersama. Akhirnya kesemua kaumnya mengikutnya mentaati Allah swt.

قالت يايهاالملؤافتونى فى امرى ما كنت فا طعة امرا حتى تشهدون

Raja perempuan itu berkata: ' Wahai ketua-ketua kaum berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini,aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan persetujuan.'

Begitu juga kisah isteri Nabi Ibrahim as yang diperintahkan oleh Allah supaya meletakkan isteri baginda Hajar dan anak baginda di suatu tempat yang tidak ada manusia yang boleh hidup. Kisah yang menyayat hati bagaimana ketaatan seorang isteri kepada suami dan juga perintah Allah swt hingga akur dengan tindakan suaminya menghantarnya ke tempat tersebut bersama anak yang masih kecil, tanpa bekalan yang mencukupi, tiada orang lain yang menemankan melainkan beliau tinggal dua beranak sahaja. Tapi akhirnya ketaatan dan kesabaran Hajar dibayar oleh Allah swt dengan apa yang kita lihat hari ini di mana kota Makkah yang tidak putus-putus dikunjungi oleh manusia dan juga sebagai tempat bermulanya dakwah Islam.

Di dalam Alquran juga mengkisahkan seorang wanita yang bernama Maryam sehingga ada surah khusus dinamakan surah Maryam, di mana surah ini menceritakan ketabahan Maryam yang berhadapan dengan tohmahan dan fitnah dari kaumnya sendiri setelah Allah swt mentakdirkan beliau mengandungkan anak tanpa berkahwin iaitu mengandungkan anaknya Nabi Isa as. Dalam keadaan sentiasa diburu oleh kaumnya sendiri dan terpaksa sentiasa berada dalam keadaan bersembunyi hinggalah melahirkan anaknya dalam keadaan seorang diri.

Banyak ayat-ayat Alquran mengkisahkan tentang peranan wanita, sifat wanita sehinggakan ada surah khusus nama wanita iaitu surah An Nisa'. Ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf dan memuliakan wanita.

Manusia yang terawal masuk Islam ialah wanita iaitu Khadijah binti Khuwailid isteri Rasulullah saw yang banyak menyumbang kepada kejayaan dakwah dan perjuangan Nabi saw dalam menegakkan agama Allah swt. Beliaulah pemberi semangat kepada Nabi saw apabila pulang dalam keadaan ketakutan setelah menerima wahyu pertama darpada Allah swt. Mengingatkan Rasulullah saw bahawa baginda akan menjadi pemimpin umat. Beliau bukan sahaja pendorong dan pemberi semangat kepada Nabi saw malah habis hartanya untuk membantu perjuangan Islam sehingga saat hampir kewafatan beliau pun dimana beliau sudah tidak punya harta dan dalam keadaan sehelai sepinggang juga ingin mendermakan tulang belulang beliau untuk dijadikan senjata memerangi musuh.

Aishah ra juga memberikan sumbangan besar kepada perkembangan Islam lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu Islam. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai isteri Nabi saw malah beliau mempunyai daya ingatan yang kuat dan mempunyai kecerdikan dimana beliau banyak menyimpan hadis-hadis Nabi saw dan beliau juga sebagai salah seorang rujukan kepada sahabat-sahabat.

Manusia yang pertama syahid di mukabumi setelah kedatangan Islam ialah Sumayyah, ibu kepada Ammar bin Yasir yang sanggup mati kerana mempertahankan aqidah dan ketauhidan kepada Allah swt.

Siapa yang tidak kenal Khansa' yang digelar Ibu kepada syuhada'. Beliau mempunyai empat orang anak lelaki yang kesemuanya mati syahid di medan peperangan. Sebelum anak-anaknya pergi bertempur, beliau mengucapkan kata-kata semangat kepada anak beliau:

' Wahai anak-anakku Tiada Tuhan Melainkan Allah dan inilah kebenaran sebenar, maka untuk kalimmah itu kamu berperanglah sampai mati.Wahai anak-anakku, carilah maut nescaya kamu diberi kehidupan.'

Akhirnya kempat-empat anaknya pergi keluar berjuang dan bertempur yangmana keempat-empatnya mendapat anugerah syahid dari Allah swt. Apabila berita kematian anaknya diberitahukan kepadanya, dia sedikitpun tidak mengeluarkan airmata malah berkata:

'Alhamdulillah, Allah telah memuliakan aku dengan syahidnya putra-putraku. Semoga Allah segera memanggilku dan mempertemukan aku dengan putra-putraku yang berada dalam naungan rahmat Allah yang kukuh iaitu syurgaNya.'

Begitulah sedikit sebanyak kisah-kisah wanita mulia yang benar-benar menyempurnakan tugasnya sebagai wanita dan membenarkan janji Allah swt.

PERANAN WANITA MUSLIMAH KINI

Wanita berperanan di sepanjang zaman. Hari ini kaum wanita khususnya muslimah mesti diberi pendedahan dan maklumat tentang peranan mereka kepada agama dan masyarakat.

1. Peranan wanita sebagai ibu.Wanita mesti diberi pendidikan dan maklumat tentang bagaimana menjadi ibu yang baik dan solehah.Biasanya jika seorang ibu yang baik maka anak-anak juga akan jadi baik seperti kisah Asiah dan Nabi Musa as dan jika ibu jahat anak-anak juga akan menurutinya seperti kisah anak Nabi Nuh as dan Nabi Lut as yang mengikuti ibu mereka yang derhaka kepada Allah swt. Peluang memrintah mesti digunakan untuk mengatur program terutama program-program yang berbentuk ilmah dan dakwah kepada muslimah di semua peringkat. Hasil dan kejayaan program ialah kita akan pastikan anak-anak dan juga remaja yang akan berpisah dengan keluarga yakni yang akan duduk di asrama tidak tinggal solat lima waktu dan yang perempuanya sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Cintakan agama dan kebajikan serta cenderong kepada menuntut ilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara.Dalam ertikata lain melahirkan generasi yang gemilang akademik dan mempunyai akhlak dan budipekerti yang tinggi.

2. Peranan muslimah dalam masyarakat ummah.Sebagai wanita dan ahli masyarakat, mestilah berperanan ke arah pembentukan masyarakat ke arah masyarakat yang cintakan kebaikan dan mengamalkan nilai-nilai agama dalam kehidupan. Tugas amar makruf dan nahi mungkar bukan hanya terletak kepada lelaki sahaja, malah wanita juga harus mengambil tanggungjawab besar dalam bidang ini. Realiti dalam Pas peranan ini begitu ketara bilamana muslimat lah yang berperanan berjumpa dengan setiap pengundi dengan mengetuk rumah-rumah pengundi untuk memperkenalkan dasar Islam yang dibawa oleh Pas. Begitu juga dengan program ziarah dan kemasyarakatan, muslimat lebih kehadapan berdepan dengan masyarakat serta lebih menyelami masalah masyarakat. Keadaan ini perlulah diteruskan dan perkasakan lagi.

3. Peranan wanita dalam pembangunan negara. Jika kita lihat realiti hari ini, wanita boleh dikatakan terlibat di kebanyakan sektor. Samada sektor awam mahupun sektor swasta. Di sektor awam, kebanyakan wanita menjadi penjawat jawatan di Jabatan-jabatan Kerajaan, dalam pasukan uniform juga ada wanita, dalam sektor perubatan sebagia jururawat,doktor,ahli farmasi dan lain-lain. Di sektor swasta kebanyakan pula wanita berada di sektor perbankan di mana kebanyakan kakitangan bank terdiri dari wanita. Begitu juga di pejabat-pejabaat swasta kebanyakannya terdiri daripada wanita. Di sektor perindustrian juga majoriti pekerja kilang terdiri dari wanita malah wanita berperanan dimana-mana. Cadangan supaya wanita yang terlibat di setiap sektor ini diberi juga pendedahan kepada nilai-nilai murni dan sikap positif dan akhlak mulia supaya peranan mereka menjadi lebih berkesan. Cadangan kepada kerajaan Negeri Selangor khususnya memikirkan program-program penerapan nilai murni dan positif khususnya kepada wanita yang beragama Islam di sektor-sektor yang terlibat dan penyumbang kepada kerajaan negeri, supaya menghayati nilai-nilai agama dalam perkhidmatan.

PENUTUP

Wanita adalah amanah kepada kaum lelaki. Wanita mestilah dihargai peranan dan pengorbanan mereka. Wanita bukan sebagai alat tontonan, komersial dan sebagai penghibur kepada semua golongan. Jika hendak libatkan wanita sebagai penghibur, mestilah menghiburkan wanita juga. Mestilah berteraskan dan berpandukan syariat Allah swt. Sepatutnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak bertindak dengan menjemput artis wanita dalam program-program kerajaan. Sebab dalam Pakatan Rakyat ada tiga komponen yang bergabung yang mempunyai ideologi dan dasar yang berbeza dan salah satunya daripadanya adalah parti yang dasar dan matlamatnya Islam. Sepatutnya harus ada perbincangan sebelum membuat sesuatu keputusan supaya setiap keputusan dan tindakan mengambil kira dasar dan pandangan serta menghormati Parti Komponen dalam Pakatan. Bagi Pas, tidak akan berganjak dari prinsip dan dasar Islam dimana apa yang bercanggah dengan Islam mesti ditentang dan tidak ada kompromi dalam pelanggaran syariat Islam. Sebagai muslimat saya sekali lagi menyokong tindakan Dewan Pemuda Pas Selangor yang membantah konsert tersebut kerana saya tidak rela melihat wanita menjadi bahan tontonan yangmana perlakuan-perlakuan artis di atas pentas biasanya tidak mengikut lunas-lunas Islam.

Allah swt menjadikan wanita bukan sebagai bahan hiburan dan tontonan. Jika kita hayati ayat-ayat Al Quran dan juga sirah Nabi saw, wanita dijadikan untuk melahirkan generasi rabbani, generasi hebat yang cinta kepada agama Allah juga mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor kerana tindakan berani mereka!

ALLAHU AKBAR!

ustazahmariam

mujahidah_61@yahoo.com

Wednesday, June 18, 2008

DI SEBALIK SUSAH ADA NIKMAT: PERLUNYA ARUS PERDANAKAN TARBIYAH

Oleh kerana kesibukan dengan tugas-tugas jamaah dan tugas keluarga maka tidaklah aku dapat sentiasa mengadap notebook atau melayari alam siber. Hari ini baru rasa ada kelapangan untuk berkongsi pengalaman yang sedikit yang dirasakan terlalu mahal yangmana pengalaman begini tidak mungkin dapat dirasai oleh semua orang kecuali mereka yang menjadi pilihan Allah swt sahaja.

Pada 14 dan 15 Jun 08 yang lepas adalah PROGRAM BRAINSTORMING PELAN STRATEGIK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor. Jawatankuasa DMPN Selangor telah bersetuju program ini diadakan di lokasi milik Ketua DMPN Selangor iaitu bertempat di De Puncak Lui. Sememangnya telah menjadi kebiasaan kami mengadakan program cambah minda di lokasi luar dari Kuala Lumpur. Dengan kata lain di tempat-tempat yang agak berbentuk santai seperti di tepi pantai atau berhampiran dengan lokasi sungai atau rekreasi kerana tempat-tempat begini agak relakskan minda supaya percambahan minda akan lebih berkesan.

Pelan Strategik begitu penting bagi sesuatu organisasi kerana ia menentukan kejayaan organisasi dan juga sebagai garis sempadan kepada prestasi gerakerja organisasi. Gerakerja akan lebih fokus atau mempunyai halatuju serta memberi kesan yang baik ke atas produktiviti dan kelancaran sesuatu organisasi.

Apabila mendengar nama tempat De Puncak Lui maka tergambarlah dalam mindaku bahawa pastilah tempat yang selesa dan nyaman serta santai. Awal pagi lagi aku dan sahabat-sahabat bertolak ke lokasi program, maklumlah perjalanan memakan masa sejam lebih kerana jarak kawasan kami agak jauh dari tempat program. Oleh kerana aktiviti harianku penuh, samada dengan tugas dakwah, kerja-kerja jamaah, kemasyarakatan mahupun dengan urusan rumahtangga terpaksa dijalankan dengan serentak, maka pastilah begitu terasa kepenatannya dalam masa yang sama cuti hujung minggu terpaksa disambung pula dengan Program DMPN Selangor. Maka tergambar di benakku apabila aku tiba di Lokasi Program aku akan merebahkan badanku dan melelapkan mataku sekejap.

Sesampai di lokasi program, rupa-rupanya apa yang aku gambarkan meleset sekali. Tempat program yang dinamakan De Puncak Lui sememangnya di puncak sekali. Tetapi untuk sampai ke lokasi tidak boleh dengan kenderaan biasa kecuali dengan kenderaan pacuan empat roda. Aku melihat beberapa orang peserta yang baru tiba dari kawasan lain sedang berjalan kaki mendaki ke atas puncak. Kelihatan begitu sayup ke atas. Timbul pula banyak persoalan dalam benakku...apakah aku mampu mendaki ke atas dalam keadaan keletihan begini, beg-beg pakaian bagaimana pula?? Adakah akan dibawa bersama mendaki?? Hati kecil berkata lagi.. kenapalah buat program di tempat begini. Timbul soalan lagi...tak tengok dulu ke sebelum buat keputusan???

Mahu tak mahu mesti harungi juga, ini keputusan mesyuarat... mesti wala' kepada keputusan dan arahan pimpinan.Sebentar lagi kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri oleh Ketua DMPN Selangor tiba untuk mengangkut kami ke puncak. Alangkah curam dan sayupnya dengan keadaan jalan yang tidak bertar. Bedebar juga hati ni..tapi apa yang aku lihat Ketua Muslimat selamba je. Dengan wajah ceria beliau meraikan kehadiran kami. Sahabat lain berkata: ' Ketua Muslimat kena angkut kita?' malu juga rasanya.', Pemimpin macam ni lah yang kita nak, boleh kongsi susah senang dengan kita.' Sampuk sahabat lain.

Sesampai di puncak ku lihat bangunan yang separuhsiap.Kelihatan juga pekerja-pekerja yang sibuk dengan kerja-kerja menyiapkan bangunan tersebut termasuk ada sedang melakukan pendawaian elektrik.Mereka begitu tekun dengan tugas mereka seolah-olah tidak mempedulikan kehadiran kami. Timbul lagi soalan..adakah bangunan ini tempat kami akan menginap dan program akan dijalankan?? Dalam keadaan simen kasar yang belum kering dan dibentangkan tikar-tikar plastik, aku mengajak sahabat-sahabat masuk dan meletakkan beg pakaian kami disuatu sudut. Angan-anganku untuk merebahkan badan dan melelapkan mata terpaksa dilupakan saja kerana sememangnya tidak ada ruang langsung untuk merebahkan badan kerana tempat yang sempit dan terhad sedangkan peserta yang semakin memenuhi ruang-ruang dalam bangunan yang belum siap itu.

Pekerja-pekerja terus melakukan kerja mereka. Yang melakukan pendawaian nampaknya hendak memastikan pendawaian siap sebelum menjelang hari gelap. Menjelang petang, siaplah pendawaian, lampu dan kipas terpasang maka terasa lega kerana kebimbangan tidur dalam gelap hilang kerana lampu-lampu telah dapat dipasangkan.

Program bermula dengan taaruf secara game. Mengikut kumpulan dan saling menanyakan khabar disamping persoalan yang diarah untuk diajukan ialah pengalaman manis dan pahit ketika berada dalam jamaah. Begitu juga cita-cita semasa dalam jamaah. Perkenalan yang sangat menarik sehingga masing-masing terlupa akan kejutan awal bila terlihat tempat program yang serba kekurangan. Tambahan yang lebih memberikan kesan mendalam lagi bila Puan Fasilitator mengatakan apa yang kita lalui ini adalah apa yang Allah telah takdirkan untuk kita. Menurut beliau kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan dan tindakan.' Memang benar kata Puan Fasilitator tu...hingga aku teringatkan kata-kata Saidina Abu Bakar, ' semut yang kecil pun tidak akan bergerak kecuali dengan izin Allah swt.'

Barulah aku sedar diri ini, begitu banyak kelemahan dan kekurangan. Kenapa pula timbul persoalan-persoalan tadi? Terasa begitu kotornya hatiku ini...yang hanya impikan keselesaan dan kerehatan saja. Sedangkan bagi seorang pejuang tidak sepatutnya timbulkan persoalan-persolan tadi dan mengharapkan keselesaan semata-mata. Mana istilah keselesaan bila berjuang?? Baru aku merasakan bahawa kemanisan berjuang tidak boleh dirasai di tempat-tempat mewah seperti berprogram di hotel-hotel semata-mata. Kenapa aku tidak berlapang dada dari awal tadi?? Teringat ungkapan salah seorang ulama, ' Jika hendak mudah bersihkan hati mesti ada tiga sifat ini, sekiranya tiga sifat ini ada pada diri seseorang maka penyakit hati yang lain mudah untuk dihindari.' Pertama: Berlapang dada. Kedua: Pemaaf. Ketiga: Berbuat baik kepada orang yang buat jahat pada kita..Mmmm sesuatu yang payah pasti akan membawa kebaikan kepada kita. Realitinya, ramai yang sukar miliki ketiga-tiga sifat di atas. Tapi jika kita hayati sirah Rasulullah saw, inilah sifat utama Baginda sehingga baginda berjaya dalam dakwah Islam.

Selepas solat zohor, bermulalah pembentangan pertama. Ku lihat semua peserta begitu bersungguh-sungguh dan tekun dengan pembentangan dan perbincangan. Kalau betul-betullah dilaksanakan Pelan Strategik di peringkat kawasan masing-masing, aku dapat rasakan Pas akan Lead Selangor pada PRU 13 nanti. Perbincangan ditangguhkan untuk solat Asar berjamaah. Selepas itu kami dihidangkan dengan santapan malam. Masing-masing mencedok nasi dan lauk ke dalam dulang. Masing-masing membentuk kumpulan untuk mengadap juadah. Biasalah... bab makan tak payah tunjuk ajar, semua orang tau apa nak buat. Dalam pada kami khusyuk menikmati juadah, Pengarah Program bersuara, 'teringat suasana Pas zaman hujung 70an dan awal 80an, ahli-ahli dibiasakan dengan makan dalam dulang.' Sebenarnya konsep makan dalam dulang bukanlah sengaja-sengaja diadakan, atau adat semata-mata. Di samping ianya adalah Sunnah Rasulullah saw, tapi ia juga melahirkan ukhuwwah bila masing-masing bertembung jari dalam dulang menggaulkan makanan tanpa rasa jijik dan geli dan juga ianya sedikit sebanyak melahirkan sikap sayang sahabat, saling berkasih sayang dan bekerjasama serta berlapang dada.

Perbincangan diteruskan lepas solat maghrib dan selepas solat Isyak. Di celah-celah keletihan, kami diajak menyanyikan lagu Demi Matahari. Apa yang ada dalam lirik lagu Demi Matahari?? Rupa-rupanya surah Assyams yang diterjemahkan sebagai lirik lagu. Masyaallah terasa kebesaran Allah bila tadabbur terjemahan ayat tersebut.

Jam 11.30 malam tibalah waktu kembara mimpi(tidur). Maka tidurlah kami dalam keadaan berhimpit-himpit dan bersesak-sesak. Ada yang kepala mengadap kaki dan kaki mengadap kepala. Keadaan ini berlaku kerana ruang yang begitu terhad dan sempit. Walau bagaimanapun, kami lalui juga dan kami tidur begitu lena sekali.Kemungkinan mereka yang tidur di tilam empuk pada malam itu belum tentu tidur selena kami.Sesekali terlintas dalam hati ini, bagaimanalah keadaan yang sempit dalam kubur nanti.

Pagi tersebut kami qiamullail bersama. Terasa kerdil dan lemahnya diri di hadapan Allah. Segala-gala qudrat dan kekuatan hanya mengharapkan daripada Allah swt. Rupanya tak sehebat mana pun manusia ini, lebih-lebih lagi seorang pejuang...setiap gerak langkah mesti mengharapkan rahmat dan bantuan Allah swt.

Program disambung selepas aktiviti riadhah ala game lasak 'Explore Race'. Berbagai konsep yang boleh dipelajari dari game tersebut rupanya. Konsep wala', kerja berkumpulan/berjamaah, teliti, berhati-hati, tidak bertindak meng'khnzir' buta dan lain-lain nilai positif. Perbincangan disambung lagi, berbagai pandangan dari peserta yang boleh dikongsikan bersama. Di celah-celah keletihan kami, Puan Fasilitator mengajak untuk menghayati Asmaul Husna pula dalam bentuk alunan lagu. Tersentuh hati ini menghayati kesempurnaan sifat-sifat Allah Rabb.

Program ditutup dengan ucapan Ketua DMPN Selangor, di mana dalam amanat beliau mengharapkan supaya apa yang dibincangkan dibawa dan dilaksanakan di kawasan masing-masing. Menurutnya lagi, sebenarnya kemenangan yang sedikit yang dikurniakan oleh Allah ini menambahkan lagi tugas kita dan menjadi suatu tugas yang berat untuk kita pikul bagi mengisi kemenangan supaya hasilnya kita lihat Islam benar-benar memerintah. Menurut beliau juga program tersebut sengaja diadakan di tempat tersebut yang banyak kekurangan dan dalam keadaan yang tidak selesa, supaya kita dapat rasakan sesekali suasana yang perit dan susah dan juga sebagai suatu tarbiyah kepada kita supaya merasai ada manusia lebih susah daripada kita yang hidup dalam keadaan dhaif dan tidak selesa.

Program tersebut sememangnya dirancang bersama Lajnah Tarbiah dan Perkaderan DMPNS dengan menyelitkan konsep tarbiyah dimana program yang dilaksanan ala tamrin. Demgam tidak secara langsung, Program Tarbiyah dapat dijalankan serentak.

Program ditutup dengan doa munajat oleh Pengerusi Lujnah Tarbiyah dan Perkaderan DMPNS yang sangat menyentuh hati dimana kebanyakan peserta menitiskan airmata termasuk Puan Fasi sendiri.

Kami mengakhiri program dengan ber Salam Semut atau Salam Ukhuwah dimana masing-masing berpelukan dan bertangisan. Rupanya tangisanku yang sedih juga bercampur dengan gembira bila aku dapat mendakap erat sahabat yang telah lama jauh dan renggang dariku. Di sinilah aku rasa titik permulaan hati dikosongkan dari segala sangkaan-sangkaan. Sahabat tersebut seolah-olah tidak mahu melepaskan dakapanku, semakin lama semakin erat sambil menangis semahu-mahunya. Sebenarnya aku terlalu rindu dengan suasana begini sekian lama. Saat inilah yang ku tunggu-tunggu dan merasa manisnya dalam perjuangan agama Allah ini. Yang pastinya siapa yang ikhlas Allah akan satukan hati-hati mereka.

Kesimpulannya sebagai gerakan Islam, kita tidak boleh lari dari konsep tarbiyah terutama tarbiyah ruhiyyah. Tarbiyah juga adalah sebagai Sulbi/tulang belakang kepada gerakan. Jika tarbiyah lumpuh maka sedikit sebanyak akan melumpuhkan gerakan.Tarbiyah melahirkan ahli yang benar-benar ikhlas bekerja untuk jamaah tanpa mengharapkan sedikitpun habuan dunia. Sebenarnya kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor adalah sedikit sebanyak kerana ahli pas yang ikhlas bekerja tanpa memikirkan penat lelah kerana mereka semata-mata ingin melihat kemenangan Islam. Pas kuat dan mantap kerana ahli-ahli yang ikhlas dan mendapat tarbiyah. Sebab itu dalam suasana menang Tarbiyah tidak boleh dikesampingkan. Kita semua mesti memikirkan untuk meng 'ARUS PERDANA 'kan tarbiyah di semua peringkat dan pada setiap program. Dalam Ekonomi ada tarbiyah, dalam Kemasyarakatan ada tarbiyah, dalam Perpaduan Nasional ada tarbiyah, dalam Penerangan ada tarbiyah malah setiap lajnah yang bergerak mesti berkonsepkan tarbiyah.

Bagiku Program yang baru-baru ini kuhadiri bukan saja dinamakan Brainstorming Pelan Strategik tapi adalah Tamrin, dimana ada unsur-unsur tarbiyah pada program tersebut sehingga sangat terkesan dalam hatiku hingga hari ini. Aku rasakan kemungkinan bukan aku seorang sahaja yang merasakan begitu malah semua peserta merasakannya bila semasa perpisahan masing-masing mencucurkan airmata terharu. Bukan mudah menitiskan airmata kecuali sesuatu yang telah membawa kesan dan menyentuh hati.

Rupanya kesusahan yang kugambarkan di peringkat awal terselit di dalamnya kegembiraan dan nikmat daripada Allah swt. Nikmat yang ingin ku kongsikan di sini ialah bila aku dapat mendakap erat sahabat yang sangat aku rindui yang sudah begitu lama menjauhkan diri dariku dan kini tersemat dalam hatiku kasih sayang kepada mereka dan aku yakin mereka juga merasakan perkara yang sama. Semakin terasa nikmatnya dan manisnya dalam perjuangan ini.Rupa-rupanya di sebalik kesusahan terselit kegembiraan dan keseronokan....

فان مع العسريسرا, ان مع العسر يسرا

Maha Suci Allah..Segala Puji Bagi Allah Tuhan Semesta Alam!

Takbir!!

Monday, June 9, 2008

KENAIKAN HARGA MINYAK: PETANDA KEJATUHAN BN


Kenaikan harga minyak yang telah diumumkan oleh Paklah baru-baru ni telah memberi kesan yang begitu besar dan ketara kepada rakyat Malaysia. Rata-rata kedengaran keluhan rakyat kerana kenaikan harga minyak juga membawa kesan kepada kenaikan harga barang-barang keperluan.

Paklah seolah-olah menghukum rakyat Malaysia kerana kegagalan besar BN dalam 5 negeri dan sokongan sebahagian besar sebahagian rakyat Malaysia kepada kerajaan PR. Apakah Paklah masih lagi lena atau bermimpi?? Sepertimana biasa yang kita lihat memang Paklah banyak lena dalam beberapa majlis. Apakah Paklah masih tidak sedar bahawa kekalahan PR di 5 negeri dan hampir kalah di Negeri Sembilan adalah kerana kemarahan rakyat dan protes rakyat kerana kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan??

Yang pasti kenaikan harga minyak baru-baru ini bukan sahaja menyebabkan penyokong PR yang marah malah ianya menyebabkan kemarahan ahli UMNO dan penyokong BN sendiri. Ini bermakna tidak lama lagi sokongan kepada PR akan bertambah. Kita akan sama-sama lihat berbondong-bondong ahli dan penyokong UMNO BN berhijrah menyokong PR.

Kesimpulannya, maka kita tunggulah saja saat-saat kejatuhan UMNO BN. Yang sebenarnya Paklah lah teraju utama menyebabkan sokongan kepada PR bertambah. Kalau dalam istilah Islam, sesuatu tidak akan berlaku tanpa sebab. Malaikat Izrail hendak mengambil nyawa makhluk Allah pun memohon pada Allah biarlah ada sebab. Sebab itu kalau kita dengar berita kematian mesti kita akan tanya apa sebabnya. Kadang-kadang kerana sebab jatuh dan sebab kecil saja boleh menyebabkan kematian. Yang pastinya mesti ada sebab.

Begitulah dengan kejatuhan UMNO BN yang bakal kita lihat tidak lama lagi, penyebabnya ialah Paklah tidak pandai memerintah dan tadbir ekonomi negara. Bila terdesak beliau menaikkan harga minyak. Maka sebab musabab BN akan jatuh ialah kerana kenaikan harga minyak dan harga barang menyebabkan rakyat marah dan seterusnya menolak UMNO dan BN.

KITA SAKSIKAN TIDAK BERAPA LAMA LAGI!!!!

TUNGGUUUUUU............

Ustzh Mariam

mujahidah_61@yahoo.com

Saturday, June 7, 2008

UTAMAKAN DAKWAH DAN PENGUKUHAN JAMAAH

Kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor khususnya adalah suatu yang tidak dijangkakan sebahagian besar rakyat Malaysia begitu juga dengan ahli-ahli dan pendokong PR sendiri.
Banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan tersebut. Faktor yang begitu utama dan ketara ialah swing undi dari pengundi bukan Melayu yang mana undi tersebut bolehlah dikatakan sebagai undi protes dari sebahagian besar dari mereka.

Sebab itu kawasan-kawasan yang dimenangi oleh PR hanya di kawasan bandar dan pinggir bandar dimana majoriti peratus pengundi bukan Melayu begitu tinggi. Kebanyakan kerusi kawasan bandar ditandingi oleh PKR dan DAP. Manakala PAS bertanding di kawasan 'Malay Land' yang mana peratus pengundi Melayu melebihi 60 peratus.

Persoalannya kenapa kawasan Melayu yang PAS bertanding memberi kemenangan kepada UMNO BN?? Persoalan inilah perlu kita muhasabah dan jawab bersama sebagai ahli dan pendokong gerakan Islam. UMNO BN suka kepada kejahilan rakyat dan dalam masa yang sama mulut rakyat disumbat dengan habuan dunia hingga terhijab kebenaran di hadapan mereka. Apakah kita perlu salahkan rakyat dan UMNO seratus peratus??? Kita bagaimana? Nak duduk saja atau berpeluk tubuh sahaja?? Jawapan kedua ialah ahli dan pendokong PAS sendiri tidak cukup usaha, kurang bekerja, banyak relaks, banyak santai dan banyak rehat. Kita kurang memberi tumpuan dan kurang bersungguh-sungguh untuk mendakwah rakyat khususnya orang Melayu yang beragama Islam kepada memahami Islam yang sebenar. Pokoknya kita mesti berusaha, bersabar kemudian taufik hidayah kita serah kepada Allah swt.

Bagi PAS, politik hanyalah sebagai wadah perjuangan bagi mendaulatkan syariat Allah swt. PAS adalah gerakan Islam yang aktiviti teras mestilah dengan dakwah serta mengajak masyarakat kepada Islam. Tidak hanya masyarakat Melayu sahaja malah dakwah kita menjangkau kepada bukan Islam sekalipun.

Bagi PAS yang dasar perjuangannya Islam sudah tentulah segala tindakan dan urus tadbir organisasi mestilah berteraskan wahyu Ilahi. Sudah pasti rujukannya adalah Alquran dan Sunnah, ijmak serta qias. Sudah tentu perjuangan Islam tidak mungkin akan dapat kemenangan dengan mudah dari Allah swt.

Bagi kita apa yang dihadapkan kepada kita adalah ujian semuanya. Kemenangan adalah ujian dan kekalahan juga ujian. Sudah tentu kemenangan di Selangor adalah sedikit sebanyak sebagai ujian kepada kita. Kita diberikan kemenangan oleh Allah dengan kerusi yang paling sedikit dalam kerajaan PR di negeri Selangor sebagai ujian dan sesuatu untuk kita muhasabah.

Setiap kemenangan dan kejayaan yang akan dicapai mesti melalui banyak liku-liku dan menuntut pengorbanan yang tinggi. Dalam sejarah kisah anbia kita lihat bagaimana Hajar yang ditinggalkan oleh suaminya Nabi Ibrahim a.s di suatu tempat yang tidak ada seorang manusia pun ketika itu. Hanya tinggal beliau dengan anaknya Nabi Ismail a.s yang masih kecil. Sedangkan ketika itu Nabi Ismail sedang menyusu sehingga sampai suatu tahap Hajar kehabisan bekalan makanan dan susu beliau pun sudah kering. Dalam masa yang sama anak beliau Nabi Ismail menangis kelaparan. Apa yang dilakukan oleh Hajar hanyalah mampu berlari-lari dari Bukit Safa kemudian ke Bukit Marwah berulang-ulang. Sesekali berdoa dan mendongak ke langit kalau-kalau ada tanda-tanda hujan akan turun.

Akhirnya penat Hajar berbayar dengan kehendak Allah wujudnya mata air zam-zam di bawah kaki Nabi Ismail. Inilah kejayaan besar kepada Hajar. Setelah penat bekerja berlari-lari kesana kemari. Sekiranya Allah menghendaki dari awal, Allah boleh kurniakan air dan makanan kepada Hajar sedangkan Hajar adalah isteri Nabi. Pastilah jika beliau berdoa tanpa berusaha pun akan diperkenan oleh Allah swt. Tapi inilah pengajaran besar yang kita boleh ambil iaitu Allah menghendaki kita bekerja sebelum memberi kejayaan yang besar kepada kita.

Bagi kita pendokong gerakan Islam, dakwah adalah tugas utama kita. Sebab itu kawasan-kawasan Melayu yang PAS kalah kerana kurangnya kita berperanan dengan dakwah Islam di kawasan tersebut. Gerakerja Pilihanraya adalah gerakerja jangka pendek. Tetapi gerakerja utama dan jangka panjang kita untuk menang Pilihanraya ialah dakwah yang berterusan sehingga bila-bila. Hatta tidak berlaku pilihanraya sekalipun. Kerja dakwah bukan arahan manusia, bukan arahan pemimpin tetapi ianya adalah arahan Allah swt.

Firman Allah: ' Hendaklah segolongan dari kamu, mengajak kepada kebaikan, mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar'

Firman Allah: ' Kamu adalah sebaik-baik umat, mengajak kepada makruf dan mencegah dari mungkar'.

Sebenarnya suatu kejayaan besar kepada kita sekiranya kita dapat mem'PAS'kan orang UMNO. Ini kerana kita telah menyuluh jalan kepada mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Walaupun kita belum dikurniakan kemenangan semasa Pilihanraya tetapi pada hakikatnya mem 'PAS'kan orang UMNO sudah dikira menang.

Begitu juga dalam keghairahan kita menubuhkan Kelab-Kelab Penyokong PAS jangan lupa peluang ini kita ambil untuk dekati mereka supaya mendekati Islam dan akhirnya memeluk Islam. Kita mesti ada hasrat dan cita-cita untuk mengajar dan melihat mereka mengucap dua kalimah syahadah, bukan hanya mendapat sokongan dan undi semasa pilihanraya sahaja. Sebab itu matlamat kita terlalu jauh jangkauannya bukan setakat semasa hidup malah sehingga selepas mati nanti. Bukan setakat matlamat dunia sahaja malah sehingga akhirat.

Begitu juga aspek pengukuhan kepada Jamaah jangan dikesampingkan supaya jamaah semakin mantap dan kuat. Pentarbiyahan ahli secara berterusan mesti lakukan dengan segera dan berterusan. Amanah ini dituntut kepada kita semua terutama mereka yang digelar pemimpin. Tidak akan bermakna jawatan dan kedudukan tinggi dalam kerajaan tetapi jamaah semakin goyah dan rapuh. Nauzubillah!

Kesimpulannya, dalam keghairahan kita mengecapi nikmat kemenangan ini, harapannya jangan kita tinggal dan lupa jamaah kita dokongi. Mudah-mudahan PAS akan kekal dan utuh selagi ada dunia ini. Biarlah perjuangan kita ini ada kesinambungannya dari generasi ke generasi kerana wujudnya gerakan Islam yang matlamat jelas ke arah mendirikan Daulah Islamiyah adalah sebagai agen yang membantutkan pertumbuhan maksiat dan perlanggaran syariat Allah dan juga supaya manusia hanya bertindak dan hidup dengan kehidupan yang diredhai Allah swt sahaja.

Wallahu A'lam

Thursday, June 5, 2008

mari bernasyid!





lagu : kekayaan hati

album : halawatul iman

munsyid : far east


bahagialah yang dimiliki

kekayaan hati budi

kerna Allah bersamamu

wahai para muttaqin


bahagialah yang dimiliki

kekayaan hati budi

kerna Allah bersamamu

wahai para mukhlisin


miliki hati pemurah

yang mampu menahan marah

memberi maaf dengan mudahnya


miliki hati pengasih

walau diri kan tersisih

memberi kasih tanpa memilih


hati itu bagai ladang

tempat bercucuk tanam

hati itu bagai kolam

tenang nyamannya


cari kekayaannya

dalam uzlah yang lama

di malam yang sempurna

bermunajat padanya


pengabdian yang hakiki

lewat zikir amali

dibasahi disirami

dengan rahmat illahi